Porogh merupakan permainan tradisional yang jarang dikenali oleh generasi hari ini.
Lima orang krew Radio Televisyen Malaysia (RTM1) Kuala Lumpur berkampung selama empat hari di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit bagi menyiapkan program dokumentari ‘orang kita’ yang bersiaran melalui TV1 setiap Khamis jam 2 petang.
Program ini menyingkap sejarah kehidupan, keunikan dan kepayahan hidup yang dilalui datuk nenek mereka sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Ketua projek, Encik Ahmad Faizal Mohd Said berkata, sepanjang berada di negeri ini, pihaknya memilih dua kampung iaitu Kampung Tirok, Serada dan Kampung Bukit Wan, Batu Rakit yang dianggap memiliki keistimewaan tersendiri mengenai budaya dan makanan eksotik masyarakat setempat.
“Contohnya di Kampung Bukit Wan terdapat sejenis makanan yang popular pada zaman pemerintahan Jepun iaitu Ubi Gadong sebagai ganti nasi untuk menyambung kelangsungan hidup pada zaman itu,” katanya.
Domuntari berkenaan juga telah mengangkat kembali permainan porogh sejenis sukan tradisional yang menjadi kegilaan orang muda pada tahun 1940an yang kini dilupakan malah sudah tidak dikenali lagi oleh generasi hari ini.
Permainan ini menggunakan tempurung kelapa dan bermain secara berkumpulan (3 on 3) dan kalah menang sebuah pasukan dikira melalui empat peringkat seperti kuis (gelek), tipung (campak), legok (berjalan ke arah lawan dengan mendongak ke atas) serta tik ( tuju buah membelakangi lawan).
Manakala di Kampung Tirok pula masyarakat keturunan Cina disitu hampir 95 peratus menjalani kehidupan masyarakat Melayu dari pelbagai sudut termasuk budaya, makanan, dialek, cara berpakaian malah rupa paras serta gelaran nama juga disebut mek (perempuan) dan awang (lelaki).
“Semua ini akan menjadi bahan khazanah dan disimpan dalam arkib Kementerian Penerangan dan Komunikasi,” katanya.
Program ini telah menjelajah keserata pelusuk negara termasuk Sabah dan Sarawak dan sehingga ini sudah 32 episod berjaya disiapkan untuk tatapan umum.