Halaman

06 December 2011

Kerajaan negeri seia sekata dengan Pusat

Oleh; Esah Abdullah

Setakat ini kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan Skim Gaji Minima (SGM) kepada kakitangan Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan sedia mematuhi dan mengikuti sekiranya kerajaan pusat melaksanakannya.

Menteri Besar berkata demikian ketika menjawab soalan lisan YB Haji Abdul Wahid Endut (Pas Batu Buruk) di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Menjawab soalan tambahan dari wakil yang sama, apakah keputusan berkenaan kerana syaikat GLC di negeri ini mengalami kerugian atau banyak yang telah ditutup sambil memberi contoh kerajaan Selangor.

Menteri Besar mengulangi pendirian kerajaan akan mengikut keputusan yang dibuat kerajaan pusat dan Pas tidak perlu membuat perbandingan dengan Selangor negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat (PR).

“Kita kerajaan Barisan Nasional (BN) seia dan sekata dengan Pusat, jadi apa yang Pusat buat kita akan ikut dan Pas perlu telus kalau nak kritik, janganlah tunjuk yang hebat saja yang tak hebat sorok, macam di Kelantan buat ke tidak,” katanya.

Dakwaan kakitangan kerajaan di negeri ini ramai yang berpendapatan bawah RM1,000 turut disangkal oleh Menteri Besar dengan memberi contoh gaji seorang driver RM1.200 sebulan campur Cola (RM1,500) belum masuk elaun lain lagi.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya mengingatkan wakil Pas, jangan cuba berbohong dalam dewan yang mulia ini.




PAS bangkit isu Hudud kerana demam pilihanraya

Oleh FAUZI MOHD



Dato’ Seri Ahmad Said menempelak sikap hipokrit pemimpin PAS yang menimbulkan isu perlaksanaan hukum Hudud disebabkan mereka membayangkan negara bakal menghadapi pilihan raya umum dalam masa terdekat.

Menurut Menteri Besar, PAS tiada pilihan melainkan terus mendendangkan isu berkenaan bagi memastikan penyokong parti itu tidak lari daripada perjuangan PAS dengan beranggapan parti itu serius mahu laksanakan hukum berkenaan.

Katanya, percaturan politik parti pembangkang itu sebenarnya tidak berkesan apabila menganggap rakyat mudah terkeliru dengan rentak bermusim pemimpin parti itu.

“Isu (hudud) ini tidak muncul pada musim panas mahupun musim tenkujuh. Juga tidak timbul pada musim kemarau atau musim hujan. Bahkan isu hukum hudud ini tidak langsung kedengaran pada musim lain seperti musim haji atau musim durian sekalipun.

“Isu hudud hanya muncul dengan segala hujah dan polemiknya apabila tiba musim pilihanraya. PAS tidak ikhlas perjuangkan Islam. Mereka fikir mahu menang pilihanraya walaupun terpaksa mempermainkan hukum-hukum Allah,” katanya mengulas sesi perbahasan yang agak panas di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Perdebatan hangat antara wakil kerajaan dan pembangkang tercetus apabila Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB. Khazan Che Mat menjawab soalan wakil Rhu Rendang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu bertanyakan soalan tentang bila perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yang diluluskan ketika pemerintahan PAS di Terengganu antara tahun 1999 hingga 2004.

Antara wakil yang terlibat dalam sesi yang agak tegang itu Alias Abdullah (BN-Alor Limbat) Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepuh) Dato’ Rosol Wahid (BN-Ajil), Dato’ Harun Taib (PAS-Manir) dan Mohd Nor Hamzah (PAS-Bukit Payong).

Dato’ Seri Ahmad menambah, Kerajaan negeri tidak akan melenting dengan isu berkenaan dan beranggapan ia mainan politik yang perlu dikitar semula bagi mengekalkan sokongan penyokong parti itu terhadap perjuangan PAS.

Katanya, pemimpin PAS perlu sedar lakonan mereka menjadi bahan jenaka kerana rakyat sudah tahu parti itu tidak mampu berbuat apa-apa selagi tanpa persetuan rakan politiknya iaitu PKR dan DAP.

“Bagaimana pemimpin DAP dan PKR menolak Hudud tidak perlu saya beritahu kerana rakyat sudah tahu.

“Rakyat sudah letih mendengar pemimpin PAS bercakap dan berceramah. Siapa PAS dan sejauh mana pengaruh PAS dalam Pakatan Rakyat boleh dilihat di Selangor, Pulau Pinang dan satu ketika dulu di Perak,” jelas beliau.

Sementara itu, YB. Khazan dalam jawapannya memberitahu, Kerajaan tidak mampu berjanji bila masa yang sesuai untuk melaksanakan enakmen berkenaan dan tidak sesekali terpengaruh rentak wakil PAS berhubung isu itu.

Katanya, ia akan dilaksanakan apabila persediaan sudah lengkap berkaitan prasarana, soal teknikal dan pendapat para ulama agar ia bertepatan dengan maqasid syariah iaitu matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syariat demi kepentingan umat keseluruhannya.

"PAS sangat berharap supaya Kerajaan menjawab tidak akan laksana hukum Allah itu untuk dijadikan isu untuk pilihanraya bahawa UMNO zalim tolak hudud, sedangkan pakatan mereka sendiri menolak Hudud. Itu jelas memainkan hukun Allah untuk manafaat politik mereka," ujarnya.


Peranan media mampu menangkis tohmahan negatif

Oleh: Suriati Ali

Pengamal media di Terengganu di minta melaksanakan tugas secara telus dalam menyampaikan maklumat kerajaan supaya masyarakat dapat mengetahui dan menerimanya secara positif.



Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat, berkata peranan orang media atau pemberita cukup penting kerana apa yang ditulis itu bukan saja dapat disebarkan kepada umum malah mampu menangkis tomahan negatif daripada pihak tidak bertanggungjawab.

“Masyarakat mudah menerima apa disampaikan melalui akhbar berbanding mendengar ceramah politik atau kenyataan daripada pihak tertentu,” katanya ketika berucap di Majlis Malam Mesra Media 2011 di Motel Desa, Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu, malam tadi.



Lebih 50 pengamal media dari pelbagai agensi hadir memeriahkan majlis anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu.

YB Haji Khazan turut memberitahu, orang media juga mempunyai peranan penting bagi memperbetulkan keadaan, sekiranya masih terdapat lompang atau apa-apa kecacatan yang dilaksanakan kerajaan.



Pejabat Daerah Besut meraikan 170 penerima bantuan rumah PPRT

Oleh: Mohammad Ishak


YB Nawi menyampaikan hamper kepada seorang penerima

BUKAN sahaja mendapat anugerah rumah secara percuma malah pemilik rumah Program Rakyat Termiskin (PPRT) di daerah Besut terus diberi perhatian oleh kerajaan.

Pejabat Daerah Besut (PDB) semalam mengambil inisiatif mengumpul 170 penerima rumah di bawah skim PPRT sejak 2008 untuk diraikan dalam satu majlis khas yang berlangsung di Dewan
Majlis Daerah Besut (MDB), Gong Kemuntong, Jertih.

Penerima terbabit mewakili empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, Hulu Besut, Kota Putera dan Kuala Besut diberikan hamper berupa bahan makanan untuk keperluan keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad, yang mewakili tiga ADUN lain menyampaikan sumbangan hamper berkenaan kepada semua penerima terbabit. Hadir sama ialah Ketua Penolong Pegawai Daerah Besut,Alias Mamat.

Alias berkata, program itu bertujuan meraikan penerima bantuan rumah PPRT selain sebagai tanda ingatan kerajaan terhadap golongan berkenaan.

Seorang penerima, Aziz Abas, 65, dari Kampung La, berkata beliau gembira dengan penghormatan yang diberikan oleh penganjur kerana menjemput semua penerima bantuan dalam majlis itu.

Katanya, beliau yang menerima bantuan rumah baru selepas rumahnya dihanyutkan banjir pada 2009 bersyukur kerana kerajaan sentiasa prihatin terhadap golongan miskin dan mengadakan pelbagai program untuk mambantu rakyat.

“Walaupun diberi hamper berupa makanan tetapi ia amat bermakna kepada golongan miskin malah jemputan ini satu penghormatan kepada kami,” katanya.


05 December 2011

16 pelumba basikal Terengganu galas harapan di Kejohanan GP Kebangsaan

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 16 pelumba basikal Terengganu dipertaruhkan untuk menggalas harapan memburu tempat pada Kejohanan GP Kebangsaan di Muar, Johor pada 31 Disember ini, kata Persatuan Lumba Basikal Negeri Terengganu.

Jurulatihnya, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata, tersenarai enam pelumba wanita, empat pelumba lelaki dan enam pelumba kategori junior.

Katanya, peserta akan bertolak ke Muar pada 27 Disember ini dengan kayuhan basikal pergi dan balik sejauh kira-kira 800 kilometer.

“Selain latihan untuk ke Sukma 2012, kayuhan itu sebagai latihan dan persediaan menghadapi kejohanan itu,” katanya hari ini.

Tambah Syed Mohd Hussaini, selain Pahang yang bakal member saingan sengit sebagai tuan rumah, turut menjadi cabaran kepada Terengganu Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah dan Johor.

Katanya, Terengganu dijangka menghantar 12 pelumba lelaki dan 12 pelumba wanita untuk menyertai kejohanan lumba basikal Sukma tahun depan.

“Muka lama bakal beraksi tahun depan di Sukma 2012 ialah Adiq Husaini, Sofian Nabil Omar, Khairul Azizi, Mohd Zulhimi Hafiz, Nor Amirul Fakaruddin Marzuki dan Mohd Fahmi Irfan Zailani,” jelasnya.

Kilang keluli RM1.8 bilion beroperasi 2013 di Kemaman


Oleh FAUZI MOHD

Eastern Steel Sdn. Bhd. hari ini memulakan pembinaan fasa pertama kilang keluli bersepadu bernilai RM1.8 juta di Taman Perindustrian Berat Kemaman di Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, syarikat tempatan, Hiap Teck Venture Bhd. dan China Shougang Group, yang memeterai perjanjian pembinaan kilang di bawah Eastern Steel akan membina kilang berkenaan secara berperingkat.

"Peringkat pertama fasa satu kilang itu, dengan keupayaan pengeluaran tahunan 700,000 tan metrik keluli, dijangka siap menjelang pertengahan 2013 pada kos RM750 juta.



"Peringkat dua melibatkan pelaburan sebanyak RM1.05 bilion lagi, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran kilang kepada 1.5 juta tan metrik setahun," katanya pada Majlis Perasmian dan Pecah Tanah kilang berkenaan di Awana Kijal, Kemaman hari ini.

Turut hadir, Duta Repblik China ke Malaysia, Chai Xi, Pengerusi Eastern Steel dan Hiap Teck Venture, Tan Sri Alwi Jantan, Pengerusi Shougang Group, Zhu Jimin dan Ketua Pegawai Eksekutif ECER, Datuk Jebasingam Issace John.

Tambah Dato' Seri Ahmad, pembinaan dalam tempoh 18 bulan itu merupakan pelaburan pertama China Shougang dalam kilang keluli di luar China dan pelaburan asing langsung China terbesar di Malaysia setakat ini.

Katanya, kilang itu terletak di kawasan seluas 1,200 ekar itu menghasilkan keluli berkualiti tinggi yang dihasilkan mengguna teknologi relau bagas akan menampung pasaran-pasaran hiliran dan juga serantau.



"Ia menyediakan sehingga 2,000 peluang pekerjaan baru kepada penduduk sekitar di mana aspek teknikal akan diterajui pekerja mahir dari Shougang yang akan melatih pekerja tempatan termasuk latihan kepada penuntut Kolej Universiti Tati," ujarnya.

Ke arah itu katanya, Pelabuhan Kemaman bersebelahannya kini sedang dinaiktaraf dengan kemudahan pelabuhan yang menyeluruh, dermaga laut dalam, zon bebas dan boleh menampung lebih banyak kapal-kapal yang lebih besar.

"Jalan-jalan turut dilebarkan untuk laluan kenderaan berat dan Jambatan Bukit Kuang sedang dalam pembinaan semula serta pelaksanaan projek-projek tebatan banjir di tempat berisiko banjir," jelasnya.

SIDANG DEWAN UNDANGAN NEGERI (HARI PERTAMA))

Peruntukan RM50 juta untuk dana pinjaman perumahan

Oleh:Suriati Ali



Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi memudahkan rakyat di Terengganu yang belum memiliki rumah membuat pinjaman perumahan.

Mereka yang memenuhi syarat dan berkelayakan, boleh memohonnya melalui Dana Pinjaman Perumahan Rakyat, bermula tahun depan.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata skim itu kini masih diperhalusi terutama mengenai kaedah pelaksanaan dan syarat-syarat pinjaman.



Katanya, setiap pemohon boleh meminjam sehingga kadar RM50,000 dan apa yang istimewanya pinjaman tersebut berteraskan undang-undang syariah.

“Langkah ini membuktikan kerajaan sangat prihatin kepada keperluan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dari segi mendapat kemudahan rumah,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan Bajet 2012 di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, bajet yang diperuntukkan tahun ini iaitu RM1.950 billion adalah yang tertinggi setakat ini berbanding tahun lepas (RM1.887 billion).

Katanya, kerajaan negeri tidak boleh mengelak untuk mengeluarkan belanja yang besar, jika kita kecilkan bajet, ini bermakna tiada pembangunan untuk rakyat.

“Daripada jumlah bajet yang dikeluarkan itu, kira-kira RM600 juta dibelanjakan untuk pembangunan dan selebihnya untuk pengurusan.

“Di Terengganu, kita sememangnya terpaksa mengeluarkan belanja yang cukup besar. Di negeri lain tiada yayasan tetapi di negeri ini kita wujudkan empat yayasan semata-mata untuk menjaga kebajikan dan membela nasib rakyat,” katanya.

Menurutnya, di negeri sebelah Pantai Barat, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mereka mempunyai banyak duit sehingga RM100 juta bagi setiap tahun, tetapi di Terengganu tidak, jika ini berlaku kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan belanja.

“Terdapat beberapa perkara baru semata-mata untuk kesejahteraan rakyat, termasuk menwujudkan Dana Pinjaman Perumahan Rakyat membabitkan peruntukan RM50 juta.

“Bagi golongan belia dan remaja pula, kira-kira RM30 juta dibelanjakan.Daripada jumlah itu RM48 juta bagi membina gelanggang futsal di setiap DUN dan selebihnya untuk pelbagai program,” katanya.

Katanya, pelbagai projek sudah dilaksanakan kerajaan negeri, contohnya dalam membina rumah, tiada kerajaaan sebelum ini mampu membina rumah berjumlah 10,000 dalam tempoh tiga tahun di mana setiap rumah itu tidak kurang daripada jumlah harga RM100,000.

“Kerajaan negeri memberikan subsidi sehingga 50 peratus bagi rumah kos rendah yang dibina, manakala bagi Pangsapuri Ladang Gemilang berharga RM150,000, dijual dengan harga RM75,000.

“Begitu juga dengan kadar sewa hanya dikenakan RM300. Kita buat kajian kalau rumah di kawasan itu biasanya mencecah RM600 hingga RM700. Bagaimanapun kadar sewaan ini hanya dibuka kepada mereka yang terlibat dalam perpindahan itu sahaja,” katanya



Desak pembangkang bangkit usul benar

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato, Seri Haji Ahmad Said mendesak pihak pembangkang supaya bersikap telus dan benar jika ingin membentang setiap usul pada sidang Dewan Undangan Negeri.

Katanya, apa yang diusulkan oleh Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi tadi (Pas-Batu Buruk) jelas sama sekali bohong dan hanya bersikap ingin memburukkan imej kerajaan supaya rakyat melihat apa yang dilaksanakan itu adalah satu penyelewengan bukannya kebajikan.

“Di samping itu, saya ingin meminta Jabatan Audit Negara supaya mengeluarkan kenyataan benar dalam mana-mana akhbar bahawa pada 2007, 2008 dan 2010 kita beri wang tunai dan bukannya pakaian sekolah.



“Pada tahun 2009 saja, Ahli- ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memutuskan untuk mengagihkan pakaian sekolah di atas pelbagai faktor,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan Bajet 2012 di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini.

Menurutnya, sewaktu kita mengagihkan wang tunai untuk membeli pakaian, ibu bapa bersikap yang tidak bertanggungjawab dengan membelanjakan wang tunai itu kepada perkara tidak berfaedah.

“Ketika agihan pakaian sekolah juga timbul pelbagai masalah, ada yang mendakwa tidak padan dengan saiz pakaian, apabila diminta tukar mereka tidak mahu.

“Disebabkan tidak mahu masalah membabitkan pakaian sekolah terus di putar belit, kerajaan negeri memutuskan untuk kembali mengagihkan bantuan itu dalam bentuk wang tunai pada tahun 2011 dan 2012,” katanya.



LPT fasa 2 siap akhir 2014

Oleh: Suriati Ali

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, YB Datuk Za’abar Mohd Adib memberitahu Sidang DUN hari ini bahawa Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) yang kini membabitkan kos RM2.36 billion dijangka siap akhir 2014.

Katanya, kos LPT itu jauh bezanya berbanding LPT fasa 1 kerana ia membabitkan 17 pakej dan setiap pakej melibatkan kontraktor berlainan.



“Di antara pakej-pakej ini ada yang sudah siap sepenuhnya, termasuk pakej 10, 11 dan 12 iaitu Persimpangan Bukit Besi – Ajil sejauh 42.4 kilometer, Telemong –Bukit Payong (10.6 kilometer) dan Bukit Payong – Gemuroh (16.3 kilometer).



“Kerajaan negeri mewujudkan banyak pakej kerana pada asalnya ingin memberi peluang kepada kontraktor Bumiputera tempatan Terengganu bagi menjalankan kerja-kerja ini.

“Kita sebagai pihak yang bertanggungjawab sudah berusaha membantu kontraktor yang dikatakan lemah ini, tetapi mereka tetap gagal menyiapkannya,” katanya ketika menjawab soalan Haji Wan Hassan Mohd Ramli (Pas- Sura).

Menurutnya, rata-rata kontraktor mendakwa projek itu tidak dapat disiapkan kerana disebabkan beberapa faktor iaitu kemendapan tanah, kenaikan harga barang dan kecurian kabel elektrik.

“Disebabkan tidak mahu terus menanggung kerugian dan kelewatan, kerajaan negeri terpaksa menamatkan enam tender yang telah diagihkan kepada enam syarikat.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri melantik segera kesemua tender yang ditamatkan itu. Empat daripada pakej tersebut dimulakan pembinaannya sejak April lalu, satu pakej mula bulan Mei dan satu pakej Julai,” katanya.

Bajet 2012 tumpu tiga strategi utama

Laporan oleh: Kamarudin Mat Akib dan Suriati Ali



Bajet 2012 bertema “MERAKYATKAN PENTADBIRAN DAN PEMBANGUNAN: BAJET KESEJAHTERAAN RAKYAT” memberi penekanan kepada tiga strategi utama iaitu memantapkan pembangunan modal insan berkualiti, memelihara kesejahteraan rakyat dan meningkatkan daya saing negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata melalui strategi pertama peruntukan RM60.3 juta disediakan bagi sektor pendidikan bagi memastikan rakyat mendapat pendidikan terbaik bermula dari peringkat asas hingga tahap tertinggi.

“Matlamat kerajaan adalah menjadikan Negeri Terengganu sebagai hab pendidikan Malaysia yang terunggul, mengatasi dan mendahului dalam semua aspek baik dari segi kecemerlangan mahupun inovasi dan kreativiti.

“Usaha ke arah ini telah menampakkan hasilnya melalui pelbagai kejayaan yang kita capai dalam program flagship pendidikan dari peringkat pra sekolah hingga peringkat universiti,” katanya ketika membentangkan Bajet 2012 di Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

Beliau berkata, melalui strategi kedua pula kerajaan meletakkan sasaran untuk mengsifarkan kemsikinan tegar dan menurunkan kadar kemiskinan kepada 1 peratus pada tahun 2013.
Menteri Besar berkata, Bajet 2012 memperuntukkan RM42.6 juta bagi program pembasmian kemiskinan, pembangunan kampung dan masyarakat.

Pada masa yang sama, kerajaan akan meneruskan Program Bantuan Rumah, Program Peningkatan Pendapatan, Program Latihan Kemahiran & Kerjaya serta Program Jaya Diri.

“Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM27.3 juta tahun depan dengan tumpuan kepada projek-projek sambungan antara lain Projek Jelapang Padi, Projek Pembangunan Ladang Kelapa Sawit, Projek Tanaman Kelapa dan projek kecil berkelompok yang boleh menjana pendapatan rakyat,” ujar beliau.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju menyediakan satu Dana Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu dengan peruntukan permulaan sebanyak RM50 juta.

Melalui skim itu yang kini sedang diperhalusi kaedah pelaksanaan dan syarat-syarat pinjaman, setiap pemohon boleh meminjam sehingga RM50,000 dan pinjaman tersebut berteraskan syariah.

“Langkah ini membuktikan kerajaan sangat prihatin kepada keperluan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dari segi mendapat kemudahan rumah,” katanya.

Menerusi strategi ketiga, kerajaan negeri akan memanfaatkan sepenuhnya potensi sektor di mana Terengganu mempunyai kelebihan dengan cara memperkenalkan lebih banyak kreativiti dan inovasi.

“Bagi menggalakkan pelancongan dari dalam dan luar negara, kerajaan telah mengumumkan tahun 2013 sebagai Tahun Melawat Terengganu dan seterusnya menjadikan setiap tahun adalah Tahun Melawat Terengganu,” katanya sambil menambah peruntukan RM138.85 juta disediakan tahun depan bagi melaksanakan projek di bidang pelancongan.