Halaman

06 December 2011

PAS bangkit isu Hudud kerana demam pilihanraya

Oleh FAUZI MOHD



Dato’ Seri Ahmad Said menempelak sikap hipokrit pemimpin PAS yang menimbulkan isu perlaksanaan hukum Hudud disebabkan mereka membayangkan negara bakal menghadapi pilihan raya umum dalam masa terdekat.

Menurut Menteri Besar, PAS tiada pilihan melainkan terus mendendangkan isu berkenaan bagi memastikan penyokong parti itu tidak lari daripada perjuangan PAS dengan beranggapan parti itu serius mahu laksanakan hukum berkenaan.

Katanya, percaturan politik parti pembangkang itu sebenarnya tidak berkesan apabila menganggap rakyat mudah terkeliru dengan rentak bermusim pemimpin parti itu.

“Isu (hudud) ini tidak muncul pada musim panas mahupun musim tenkujuh. Juga tidak timbul pada musim kemarau atau musim hujan. Bahkan isu hukum hudud ini tidak langsung kedengaran pada musim lain seperti musim haji atau musim durian sekalipun.

“Isu hudud hanya muncul dengan segala hujah dan polemiknya apabila tiba musim pilihanraya. PAS tidak ikhlas perjuangkan Islam. Mereka fikir mahu menang pilihanraya walaupun terpaksa mempermainkan hukum-hukum Allah,” katanya mengulas sesi perbahasan yang agak panas di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Perdebatan hangat antara wakil kerajaan dan pembangkang tercetus apabila Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB. Khazan Che Mat menjawab soalan wakil Rhu Rendang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu bertanyakan soalan tentang bila perlaksanaan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yang diluluskan ketika pemerintahan PAS di Terengganu antara tahun 1999 hingga 2004.

Antara wakil yang terlibat dalam sesi yang agak tegang itu Alias Abdullah (BN-Alor Limbat) Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepuh) Dato’ Rosol Wahid (BN-Ajil), Dato’ Harun Taib (PAS-Manir) dan Mohd Nor Hamzah (PAS-Bukit Payong).

Dato’ Seri Ahmad menambah, Kerajaan negeri tidak akan melenting dengan isu berkenaan dan beranggapan ia mainan politik yang perlu dikitar semula bagi mengekalkan sokongan penyokong parti itu terhadap perjuangan PAS.

Katanya, pemimpin PAS perlu sedar lakonan mereka menjadi bahan jenaka kerana rakyat sudah tahu parti itu tidak mampu berbuat apa-apa selagi tanpa persetuan rakan politiknya iaitu PKR dan DAP.

“Bagaimana pemimpin DAP dan PKR menolak Hudud tidak perlu saya beritahu kerana rakyat sudah tahu.

“Rakyat sudah letih mendengar pemimpin PAS bercakap dan berceramah. Siapa PAS dan sejauh mana pengaruh PAS dalam Pakatan Rakyat boleh dilihat di Selangor, Pulau Pinang dan satu ketika dulu di Perak,” jelas beliau.

Sementara itu, YB. Khazan dalam jawapannya memberitahu, Kerajaan tidak mampu berjanji bila masa yang sesuai untuk melaksanakan enakmen berkenaan dan tidak sesekali terpengaruh rentak wakil PAS berhubung isu itu.

Katanya, ia akan dilaksanakan apabila persediaan sudah lengkap berkaitan prasarana, soal teknikal dan pendapat para ulama agar ia bertepatan dengan maqasid syariah iaitu matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syariat demi kepentingan umat keseluruhannya.

"PAS sangat berharap supaya Kerajaan menjawab tidak akan laksana hukum Allah itu untuk dijadikan isu untuk pilihanraya bahawa UMNO zalim tolak hudud, sedangkan pakatan mereka sendiri menolak Hudud. Itu jelas memainkan hukun Allah untuk manafaat politik mereka," ujarnya.


No comments: