Halaman

09 December 2011

Kerajaan negeri sentiasa cakna rakyat

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Seramai 7,579 orang mendapat manfaat daripada Tabung Darui Iman dalam tempoh 2009 hingga November tahun ini, melibatkan perbelanjaan RM6.37 juta.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri sentiasa prihatin kepada golongan yang ditimpa musibah di mana mereka diberi bantuan melalui peruntukan Tabung Darul Iman.

Beliau berkata, bantuan tersebut diberikan kepada mangsa yang menghadapi musibah seperti bencana alam, mala petaka, kebakaran, kemalangan dan pelbagai penyakit kronik.

“Bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, kerajaan bersetuju mencarumkan RM5 juta lagi kepada Tabung Darul Iman di mana RM2 juta akan digunakan untuk bantuan kebajikan sosial perubatan iaitu membantu pesakit yang kurang berkemampuan membiayai kos rawatan atau pembelian peralatan perubatan pesakit,” katanya ketika membentangkan Bajet 2012 di sidang Dewan Undangan Negeri, baru-baru ini.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memperluaskan akses kepada perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat selaras dengan agenda “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Selain itu, kerajaan negeri telah menambah RM2 juta sebagai modal pusingan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bagi program Mikro Kredit Ar-Rahnu tahun ini, untuk memberi pinjaman mudah kepada rakyat tempatan.



1 comment:

nordinismail said...

Satu tindakan yg sangat baik, menunjukkan keperihatinan kerajaan negeri. TAHNIAH