Halaman

07 December 2011

RKK Tepoh – Batu 6 babitkan 29 projek

Oleh; Esah Abdullah



Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tepoh - Batu Enam berjalan lancar di mana kerajaan mengenal pasti 29 projek utama, termasuk 19 projek di kawasan Batu Enam dan 10 projek di kawasan Tepoh akan dilaksanakan.

Beberapa projek pembangunan termasuk menaik taraf jalan, pembangunan bercampur, pembinaan institut pendidikan dan lain-lain yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata demikian ketika menjawab soalan lisan YB Haji Muhammad Ramli Noh (BN-Tepoh) yang ingin tahu status terkini RKK Tepoh – Batu Enam di Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Selain itu, katanya, terdapat beberapa projek pembangunan bercampur seperti taman perumahan dan komersil turut dilaksanakan oleh pihak swasta di bawah RKK ini.

“Ini bukan kali pertama RKK dibuat dan Terengganu merupakan negeri pertama yang menyediakan pelan insfrastruktur di semua daerah yang mendahului negeri lain yang melantik Jabatan Perancang Bandar dan Desa selaku urusetia,” katanya.

Katanya, penglibatan agensi kerajaan bukan saja Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Pejabat Tanah, Jabatan Parit Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) malahan sebelum diwartakan ia turut dipamerkan terlebih dahulu untuk mendapat reaksi orang ramai terhadap projek pembangunan yang akan dilaksanakan.

Katanya, pembangunan yang dirancang juga turut merangkumi beberapa projek yang berjalan dari bulatan Batu Enam ke Jambatan Manir telah dikaji bukan saja bermula dari Durian Burung ke Manir dan jambatan Buloh Gading sampai ke Batu Enam dijadikan empat lorong dan bulatan Batu Enam itu akan digantikan dengan lampu isyarat.

Seterusnya projek naiktaraf jalan Persekutuan dari Tepoh ke Gemuruh menjadikan empat lorong yang bersambung ke jalan masuk Lebuh Raya Pantai Timur di samping naiktaraf persimpangan Tepoh.

Katanya, JPS juga membuat cadangan mewujudkan satu sungai baru dan dua kolam takungan air di kawasan berkenaan bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di Kuala Nerus yang membabitkan Paya Tok Jiring dan kawasan sekitarnya.

Sehubungan itu, kerajaan telah melantik konsultan untuk membuat kajian di kawasan berkenaan yang membabitkan kos RM300 juta.