Kerajaan negeri memperuntukan RM320,000 bagi memberi bantuan sokongan kepada pengusaha koperasi di Terengganu tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera berkata, peruntukan itu melibatkan bantuan sokongan seperti penganjuran kursus, seminar dan lawatan.
Menurutnya, ia tidak melibatkan pinjaman modal dan pembiayaan pembangunan kerana pertubuhan koperasi di bawah bidang Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan negeri fokus kepada bantuan sokongan untuk memperluaskan perkhidmatan koperasi termasuk usaha mewujudkan koperasi baru,” katanya menjawab soalan YB. Muhamad Ramli Nuh (BN-Tepuh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Mengenai koperasi nelayan semakin mengecil yang dibangkitkan Muhammad Ramli, Dato’ Mohamed berkata, Kerajaan negeri telah menasihatkan pengurusan koperasi terlibat untuk mengalih perniagaan mereka kepada skop lebih maju.
“Mereka (koperasi) perlu alih strategi bisnes sekiranya tidak mampu bertahan. Cari skop bisnes lain selain menjual air batu, diesel dan peralatan menangkap ikan.
“Ada koperasi di Kemaman contohnya, telah beralih kepada bisnes restoran manakala di Setiu menceburi perniagaan homestay untuk menjana pendapatan,” ujarnya.