Halaman

09 December 2011

Terengganu sokong Kejohanan Piala Monsun diteruskan

Oleh: Suriati Ali



Kerajaan negeri menyambut baik hasrat penganjur dan Kerajaan Pusat meneruskan Kejohanan Piala Monsun yang akan tamat kontraknya pada tahun 2012, demi kepentingan negeri dan rakyat Terengganu.



Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said, berkata impak daripada kejohanan ini cukup besar kerana ia bukan saja mendapat liputan meluas oleh media asing, malah mampu memperkenalkan keunikan dan budaya masyarakat Terengganu.

"Kita mempunyai kemudahan bertaraf dunia dan rugi jika tiada penganjuran seumpama ini diadakan pada masa akan datang,” katanya ketika menjawab soalan tambahan YB Abd Wahid Endut (Pas- Wakaf Mempelam).

YB Dato’ Haji Rahin ketika menjawab soalan YB Muhammad Ramli Nuh (BN -Tepuh), berkata bilangan agen pelancongan yang berdaftar di negeri ini adalah sebanyak 126 kesemuanya.

“Pelbagai pakej ditawarkan agen itu semata-mata untuk menarik minat pelancong tempatan dan luar negara mengunjungi Terengganu termasuk di pulau.

“Sebagai contoh, pakej selama tiga hari di pulau dan sehari di kawasan daratan turut diwujudkan bertujuan menarik perhatian mereka supaya turut melawat Pasar Besar Kedai Payang, Muzium Negeri dan sebagainya,” katanya.

Katanya, kerajaan ngeri mengakui sukar untuk menarik minat pelancong Arab supaya datang mengunjungi Terengganu kerana golongan itu lebih berminat mengunjungi Kuala Lumpur yang sememangnya banyak menawarkan pelbagai pusat membeli belah terkenal.

“Jika ingin mempromosi mana-mana pulau terkenal di Terengganu seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian, juga sukar kerana lokasi itu berlainan dengan jiwa mereka yang lebih menggemari lokasi persendirian,” katanya.