Halaman

08 December 2011

Kerajaan wujud pelan hala tuju pembangunan pertanian, elak krisis makanan dunia.

Oleh; Esah Abdullah



Kerajaan ada perancangan pelan hala tuju pembangunan pertanian negeri khusus untuk menghadapi kemungkinan sekiranya berlaku krisis makanan dunia yang dibimbangi semua orang.

Sehubungan itu, kerajaan tidak bercadang untuk menggubal Dasar Agro Makanan Negeri Terengganu (DAMT) yang sama bentuknya dengan Dasar Agro Makanan Negara (DAMN).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris berkata, buat masa ini kita menerimapakai dan menyokong serta memberi kerjasama kepada DAMN yang dilancarkan Kerajaan Pusat 2011-2020.

“Kita berharap dan berdoa mala petaka itu tidak berlaku kerana kesannya sangat buruk seperti apa yang kita lihat di Somalia dan sebagainya,” katanya ketika menjawab soalan lisan YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Rhu Rendang) di Sidang Dewan Undangan Negeri semalam.

Dato’ Seri Haji Abdul Hadi meminta penjelasan sama ada kerajaan bercadang untuk menggubal DAMNT ekoran krisis bekalan makanan dunia yang mungkin berlaku.

Katanya, kerajaan telah mengambil langkah awal khususnya berhubung dengan penggunaan beras di kalangan rakyat tempatan yang dianggap ‘wajib’ dimakan setiap hari.

Tambahnya, setakat ini negeri hanya mampu menampung 58 peratus keperluan daripada 17,000 hektar kawasan tanaman padi dengan pengeluaran kira-kira 17,000 metrik tan (mt) di seluruh negeri.

“Untuk menjamin kecukupan penggunaan beras menjelang 2020 kita memerlukan kawasan tanaman padi seluas 24,500 hektar dengan andaian hasil pengeluaran sebanyak 146,000 mt,” katanya.

Menurutnya, masih terdapat kawasan yang boleh diusahakan tanaman berkenaan di samping mempunyai teknologi yang setara namun agak membimbangkan situasi kebelakangan ini banyak berlaku kawasan pertanian bertukar syarat kepada kawasan pembangunan.

Katanya, antara langkah kerajaan membendung perkara berkenaan berterusan usaha mewujudkan zon khusus untuk tanaman padi serta mengekalkan keluasan maksimun 24,000 hektar untuk memastikan perancangan berjalan lancar.

“InsyaAllah sebaik selesai projek jelapang padi di Kampung Jelapang, Setiu, projek yang sama akan beralih ke daerah Marang di mana daerah itu mempunyai kawasan yang luas serta sesuai dengan tanaman padi,” katanya.