Bajet 2012 bertema “MERAKYATKAN PENTADBIRAN DAN PEMBANGUNAN: BAJET KESEJAHTERAAN RAKYAT” memberi penekanan kepada tiga strategi utama iaitu memantapkan pembangunan modal insan berkualiti, memelihara kesejahteraan rakyat dan meningkatkan daya saing negeri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata melalui strategi pertama peruntukan RM60.3 juta disediakan bagi sektor pendidikan bagi memastikan rakyat mendapat pendidikan terbaik bermula dari peringkat asas hingga tahap tertinggi.
“Matlamat kerajaan adalah menjadikan Negeri Terengganu sebagai hab pendidikan Malaysia yang terunggul, mengatasi dan mendahului dalam semua aspek baik dari segi kecemerlangan mahupun inovasi dan kreativiti.
“Usaha ke arah ini telah menampakkan hasilnya melalui pelbagai kejayaan yang kita capai dalam program flagship pendidikan dari peringkat pra sekolah hingga peringkat universiti,” katanya ketika membentangkan Bajet 2012 di Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.
Beliau berkata, melalui strategi kedua pula kerajaan meletakkan sasaran untuk mengsifarkan kemsikinan tegar dan menurunkan kadar kemiskinan kepada 1 peratus pada tahun 2013.
Menteri Besar berkata, Bajet 2012 memperuntukkan RM42.6 juta bagi program pembasmian kemiskinan, pembangunan kampung dan masyarakat.
Pada masa yang sama, kerajaan akan meneruskan Program Bantuan Rumah, Program Peningkatan Pendapatan, Program Latihan Kemahiran & Kerjaya serta Program Jaya Diri.
“Kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM27.3 juta tahun depan dengan tumpuan kepada projek-projek sambungan antara lain Projek Jelapang Padi, Projek Pembangunan Ladang Kelapa Sawit, Projek Tanaman Kelapa dan projek kecil berkelompok yang boleh menjana pendapatan rakyat,” ujar beliau.
Dato’ Seri Haji Ahmad turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju menyediakan satu Dana Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu dengan peruntukan permulaan sebanyak RM50 juta.
Melalui skim itu yang kini sedang diperhalusi kaedah pelaksanaan dan syarat-syarat pinjaman, setiap pemohon boleh meminjam sehingga RM50,000 dan pinjaman tersebut berteraskan syariah.
“Langkah ini membuktikan kerajaan sangat prihatin kepada keperluan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dari segi mendapat kemudahan rumah,” katanya.
Menerusi strategi ketiga, kerajaan negeri akan memanfaatkan sepenuhnya potensi sektor di mana Terengganu mempunyai kelebihan dengan cara memperkenalkan lebih banyak kreativiti dan inovasi.
“Bagi menggalakkan pelancongan dari dalam dan luar negara, kerajaan telah mengumumkan tahun 2013 sebagai Tahun Melawat Terengganu dan seterusnya menjadikan setiap tahun adalah Tahun Melawat Terengganu,” katanya sambil menambah peruntukan RM138.85 juta disediakan tahun depan bagi melaksanakan projek di bidang pelancongan.