Halaman

09 December 2011

Berhati-hati dengan dakyah merosakkan perpaduan

Oleh; Esah Abdullah

Orang ramai terutama pemimpin masyarakat diingat jangan mudah percaya kepada sumber berita dan maklumat yang diterima sebelum memastikan kesahihannya terlebih dahulu.

Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Ismail berkata, keadaan hari ini sudah berubah dan sumber berita diperolehi pelbagai cara melalui perkembangan teknologi maklumat (IT) yang menjadi medium utama penyaluran berita terkini.

Katanya, dalam suasana sekarang, semua orang sedang ternanti-nanti pengumuman tarikh Pilihanraya UMUM yang bakal menjelang tidak lama lagi dan pelbagai isu ditimbulkan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab bertujuan menarik perhatian dan sokongan masyarakat.

“Saya harap berhati-hati dengan dakyah yang cuba ditimbulkan serta sengaja merosakkan perpaduan kalangan penduduk tempatan di negeri ini,” katanya di majlis Anugerah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cemerlang 2011 di Taman Tamadun Islam (TTI) semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Yusof Ali; Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, Dato’ Che Mat Jusoh dan Pegawai Pembangunan DUN Ladang, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh.

Menurut Haji Wan Nawawi, sejumlah 292 buah JKKK dalam daerah itu, 26 buah dikategorikan sebagai baik dan aktif, mengadakan mesyuarat setiap bulan dan menjalankan aktiviti untuk mengeratkan ikatan silatulrahim penduduk kampung.

Sementara itu, JKKK Kampung Bukit Wan mengekalkan gelaran JKKK Cemerlang tahun lalu bila sekali lagi terpilih memenangi anugerah itu tahun ini manakala JKKK Padang Midin tempat kedua dan JKKK Teluk Ketapang (ketiga).

Pemenang pertama menerima RM5,000 dan sijil penghargaan, RM3,000 (kedua) dan RM2,000 (ketiga), manakala 23 JKKK masing-masing menerima saguhati RM500.

Selain itu, sebanyak RM120,000 diagihkan kepada 24 buah JKKK (RM5,000 setiap JKKK) yang tidak ada balai raya atau tempat khusus untuk mengadakan mesyuarat dalam usaha membantu komuniti kampung melaksanakan aktiviti kemasyarakatan.