Oleh FAUZI MOHD
Eastern Steel Sdn. Bhd. hari ini memulakan pembinaan fasa pertama kilang keluli bersepadu bernilai RM1.8 juta di Taman Perindustrian Berat Kemaman di Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, syarikat tempatan, Hiap Teck Venture Bhd. dan China Shougang Group, yang memeterai perjanjian pembinaan kilang di bawah Eastern Steel akan membina kilang berkenaan secara berperingkat.
"Peringkat pertama fasa satu kilang itu, dengan keupayaan pengeluaran tahunan 700,000 tan metrik keluli, dijangka siap menjelang pertengahan 2013 pada kos RM750 juta.
"Peringkat dua melibatkan pelaburan sebanyak RM1.05 bilion lagi, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran kilang kepada 1.5 juta tan metrik setahun," katanya pada Majlis Perasmian dan Pecah Tanah kilang berkenaan di Awana Kijal, Kemaman hari ini.
Turut hadir, Duta Repblik China ke Malaysia, Chai Xi, Pengerusi Eastern Steel dan Hiap Teck Venture, Tan Sri Alwi Jantan, Pengerusi Shougang Group, Zhu Jimin dan Ketua Pegawai Eksekutif ECER, Datuk Jebasingam Issace John.
Tambah Dato' Seri Ahmad, pembinaan dalam tempoh 18 bulan itu merupakan pelaburan pertama China Shougang dalam kilang keluli di luar China dan pelaburan asing langsung China terbesar di Malaysia setakat ini.
Katanya, kilang itu terletak di kawasan seluas 1,200 ekar itu menghasilkan keluli berkualiti tinggi yang dihasilkan mengguna teknologi relau bagas akan menampung pasaran-pasaran hiliran dan juga serantau.
"Ia menyediakan sehingga 2,000 peluang pekerjaan baru kepada penduduk sekitar di mana aspek teknikal akan diterajui pekerja mahir dari Shougang yang akan melatih pekerja tempatan termasuk latihan kepada penuntut Kolej Universiti Tati," ujarnya.
Ke arah itu katanya, Pelabuhan Kemaman bersebelahannya kini sedang dinaiktaraf dengan kemudahan pelabuhan yang menyeluruh, dermaga laut dalam, zon bebas dan boleh menampung lebih banyak kapal-kapal yang lebih besar.
"Jalan-jalan turut dilebarkan untuk laluan kenderaan berat dan Jambatan Bukit Kuang sedang dalam pembinaan semula serta pelaksanaan projek-projek tebatan banjir di tempat berisiko banjir," jelasnya.