Halaman

04 December 2011

Menteri Besar melawat gerai UKOM di PWTC

Laporan: Mohammad Ishak



Kesibukan menyertai Perhimpunan Agung Umno tidak menghalang Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ahmad Said, meluangkan masa untuk mengunjungi gerai pameran yang disediakan oleh Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) di Aras Dua, Pusat Dagangan Dunia Putera, Kuala Lumpur.

Ketibaan Dato’Seri Ahmad yang diiringi Setiausaha Politiknya, Dato’ Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, disambut oleh Pengarah UKOM, Haji Shamsuddin Sulong, Timbalannya, Encik Ruslan Abdul Rahman dan Setiausaha Akhbar, Encik Rosli Zakaria.

Gerai UKOM yang menyediakan pelbagai bahan penerbitan kerajaan negeri mendapat sambutan pengunjung yang ingin mengetahui maklumat berhubung pentadbiran kerajaan negeri.

Menteri Besar, diberi penerangan oleh Shamsuddin mengenai operasi UKOM yang menjadi gerai agensi kerajaan negeri terulung mengadakan pameran di PWTC sempena perhimpunan berprestij itu.

Sebaik dibuka pada 29 November dan ditutup pada 3 Disember gerai UKOM tidak putus-putus dikunjungi orang ramai kerana ingin mengetahui perkembangan terkini mengenai kemajuan di negeri Terengganu.

Selain membekalkan bahan penerbitan bercetak dan video gerai berkenaan juga diserbu orang ramai untuk mendapatkan bahan makanan terkenal keropok lekor yang turut diberikan percuma di gerai terbabit.

Pengunjung juga memuji usaha yang dilakukan oleh UKOM kerana ia satu-satunya agensi kerajaan negeri yang mengambil bahagian dalam pemeran berkenaan.