Halaman

07 December 2011

Tarik pelabur mampu tawar pekerjaan

Oleh: Suriati Ali

Terengganu berjaya menduduki tangga ketiga kerana berjaya menarik sejumlah pelabur tempatan dan asing untuk berusniaga di beberapa lokasi strategik.

Langkah itu berjaya menawarkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan kepada rakyat terutama golongan belia dan graduan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam serta Swasta..

YB Ir Rosli Othman (Kemasik-BN) dalam sesi perbahasan hari ini, berkata maklumat itu dinyatakan secara tidak rasmi oleh pihak Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

“Bagi merancakkan lagi pembangunan industri, Menteri Besar pernah hadir pada majlis pecah tanah di Awana Kijal berhubung pembinaan Kilang keluli bernilai RM1.8 bilion yang akan beroperasi pada tahun 2013 di Kemaman.

“Eastern Steel Sdn. Bhd. Sudah memulakan pembinaan fasa pertama kilang keluli bersepadu bernilai RM1.8 juta di Taman Perindustrian Berat Kemaman di Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

“Syarikat tempatan, Hiap Teck Venture Bhd. dan China Shougang Group, yang mementerai perjanjian pembinaan kilang di bawah Eastern Steel akan membina kilang berkenaan secara berperingkat,” katanya.

Menurutnya, peringkat pertama fasa satu kilang itu, dengan keupayaan pengeluaran tahunan 700,000 tan metrik keluli, dijangka siap menjelang pertengahan 2013 pada kos RM750 juta.

“Peringkat dua melibatkan pelaburan sebanyak RM1.05 bilion lagi, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran kilang kepada 1.5 juta tan metrik setahun.
“Kerja-kerja menaiktaraf tapak PelabuhanMaritim di Teluk Kalong, Kemaman sedang giat dijalankan dan bakal siap tidak lagi,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga turut mengadakan usaha sama antara syarikat terkenal di Korea dan Perancis bagi menjalankan beberapa projek hiliran di Kemaman dengan membabitkan kos RM2 bilion.

“Melihat perkembangan yang cukup positif ini, projek yang berkaitan seperti perumahan dan bangunan perkedaian perlu diperbanyakkan di kawasan berkaitan untuk kemudahan dan keselesaan penduduk,” katanya.