Halaman

10 December 2011

KOMIHT bantu kerajaan hadapi PRU13

Sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Persatuan Belia Komuniti Intelektual Hulu Terengganu (KOMIHT) memberi kesanggupan untuk membantu jentera kerajaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Presiden KOMIHT, Tengku Haphiz Tengku Putera, berkata keputusan itu bagi membuktikan bahawa NGO turut memberi sumbangan kepada kerajaan bagi menghadapi pilihan raya, bukan setakat menganjurkan kerja-kerja amal dan sukarela seperti yang berlaku sebelum ini.

“Kita berpendapat NGO juga perlu menyumbang sesuatu kepada kerajaan, bukan sekadar menerima bantuan daripada kerajaan semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, pada Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-134) nanti, pihaknya akan menggunakan kemahiran yang ada pada ahli-ahlinya untuk sama-sama melakukan gerak kerja bagi membantu kempen pilihan raya jentera kerajaan.

“Ini merupakan tanda terima kasih kami kepada kerajaan yang selama ini banyak memberi bantuan dan tidak mengabaikan kepentingan generasi muda dan belia di negeri ini,” ujarnya.

Maidam taja pelajar cemerlang jadi ulama muda

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan menaja lebih ramai pelajar tempatan dari peringkat Sarjana Muda hingga Doktor Falsafah (PhD) bagi melahirkan lebih ramai ulama dan cendikiawan agama di negeri ini.

Yang Dipertua Maidam, Dato’ Senara Muda Haji Mazlan Hashim, berkata melalui program tersebut yang mula diperkenalkan pada 2009, lima pelajar dihantar ke luar negara manakala pada tahun kedua 10 pelajar.

Beliau berkata, pada tahun ini pula, pihaknya menaja 15 pelajar bagi tujuan yang sama.

“Program tajaan ini akan diteruskan kerana ia merupakan satu transformasi yang dijalankan dalam usaha memartabatkan institusi ulama atau cendikiawan Islam di negeri ini,” katanya.

Bagi program Ijazah Pertama pelajar yang ditaja di bawah skim berkenaan akan menuntut di Universiti Jordan manakala bagi peringkat ijazah sarjana mereka akan melanjutkan pelajaran dalam negara sama ada di Universiti Malaya atau Universiti Islam Antarabangsa.

Manakala di peringkat PhD para pelajar akan melanjutkan pelajaran di United Kingdom atau Amerika Syarikat.

“Pelajar berkenaan dihantar ke universiti di lokasi yang berbeza bagi mendedahkan mereka dengan ilmu yang luas dan pengalaman berbeza, tanpa sempadan,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Dato’ Senara Haji Mazlan meminta pelajar tempatan, khususnya di kalangan anak-anak yatim yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun depan merebut peluang itu untuk belajar di luar neara dan menjadi ulama muda melalui skim tajaan Maidam.



Debat UniSZA lahir pemimpin berwibawa

Oleh; Esah Abdullah

Muhammad Adib Aiman, Fatin Amirah Che Hashim dn Lateefah Kasamu diumumkan sebagai pendebat terbaik kategori bahasa Melayu (BM), bahasa Inggeris (BI) dan bahasa Arab (BA) dalam Pertandingan Debat Piala Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang diadakan di universiti itu baru-baru ini.

Sehubungan itu, Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa (FUHA) muncul juara kategori BM, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK – 1) juara kategori BI dan Fakulti Kotemporari Islam (FKI) (Syariah A) juara kategori BA.

Naib johan (kategori BM) dimenangi FKI (kategori BI) FUHA dan (kategori BA) dimenangi FKI (dakwah A).

Sebanyak tiga kategori pertandingan debat diadakan iaitu Bahasa Melayu , Inggeris dan Bahasa Arab yang pertama kali diperkenalkan.

Juara pasukan menerima Piala Pusingan, wang tunai RM300, sijil penyertaan dan cenderamata daripada UniSZA.

Naib Johan masing-masing menerima wang tunai RM200, sijil dan cenderamata, manakala pendebat terbaik menerima piala, sijil dan cenderamata.

Kira-kira 30 pasukan yang mewakili pelbagai fakuliti menyertai pertandingan debat kali ke empat anjuran Majlis Perwakilan Pelajar dan Persatuan Debat UniSZA.

Terdahulu, Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr. Alias Daud melahirkan rasa bangga dengan keberanian penganjur mempelbagaikan kategori debat yang diharapkan mampu mempertingkatkan kemampuan pelajar dalam menguasai tiga bahasa.

Katanya, walaupun UniSZA sebagai sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang baru, namun ianya tidak ketandusan bakat terutama dalam pertandingan debat mampu sebaris dengan pendebat IPTA lain.

``Saya juga berharap pertandingan ini akan menjadi satu platform terbaik dalam melahirkan mahasiswa yang mampu berkomunikasi di khalayak sejajar dengan pasaran kerja masa kini,’’ ujarnya.

Beliau juga mahu mahasiswa menjadikan budaya berfikir sebagai amalan kehidupan pelajar dan tidak terikut-ikut dengan budaya malas berfikir.






LPT Fasa II beri keselesaan kepada pengguna



Langkah kerajaan membenarkan sebahagian daripada Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa II digunakan sejak beberapa bulan lalu, memberi banyak keselesaan kepada para pengguna jalan raya, khususnya mereka yang ingin ke Kuantan dan Kuala Lumpur.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, YB Datuk Za’abar Mohd Adib, berkata setakat ini pengguna dibenarkan melalui Persimpangan Bukit Besi – Ajil sejauh 42.4 kilometer dan Bukit Payong - Gemuroh (16.3 kilometer).

Beliau berkata, apabila semua pakej pembinaan dari Persimpangan Gemuroh ke Bukit Besi sejauh 64 kilometer siap sepenuhnya pertengahan tahun depan, LPT Fasa II akan memberi lebih banyak keselesaan kepada pengguna, apabila laluan tersebut dibuka sepenuhnya pada waktu tersebut.

Menurutnya, keseluruhan projek LPT Fasa II yang kini membabitkan kos RM2.36 billion dijangka siap pada tahun 2014.

Pembinaan LPT Fasa II berbeza dengan LPT Fasa I di mana projek ini yang mengandungi 17 pakej dan ia diserahkan kepada kontraktor yang berlainan sedangkan hanya satu kontraktor bertanggungjawab membina LPT Fasa I.

“Walaupun projek ini belum siap sepenuhnya, telah kerajaan memutuskan untuk membuka sebahagian daripada lebuh raya berkenaan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas jalan sedia ada,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, pada masa ini kerajaan memutuskan sebahagian lebuh raya itu akan terus dibenarkan penggunaannya tanpa dikenakan tol sehingga ia siap dibina sepenuhnya kelak.




Tambahan dana RM1 juta untuk penjawat awam beli kenderaan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kerajaan negeri akan menambah dana RM1 juta lagi bagi Akaun Amanah Pinjaman Kenderaan menjadikan jumlahnya RM16 juta bagi membolehkan lebih ramai penjawat awam negeri ini mendapat pembiayaan kenderaan tanpa faedah.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meminta penjawat awam supaya terus memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan yang memerintah kerana sentiasa mengutamakan kepentingan dan kebajikan mereka.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia kerana telah mengumumkan tambahan bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam.

“Kerajaan negeri akan membuat bayaran bonus kepada penjawat awam pada bulan Disember ini,” katanya ketika membentangkan Bajet 2012 di sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, pengumuman Perdana Menteri berhubung bayaran bonus tersebut menunjukkan kecaknaan kerajaan dalam mengurangkan kos yang ditanggung oleh penjawat awam.

09 December 2011

T-Team ikat ikat pemain Bosnia hadapi saingan Liga Malaysia

Oleh FAUZI MOHD

Pasukan bola sepak T-Team mengikat seorang lagi pemain import bagi menghadapi persaingan Liga Malaysia tahun depan.

Pengurus pasukan YB. Rozi Mamat berkata berharap Bojan Petrit, 24, berasal dari Bosnia Herzegovina akan dapat membantu T-Team dalam pertandingan itu nanti.

Sebelum ini T-Team telah mengambil bekas pemain pasukan Perlis yang berasal dari Zambia, Zacharia Simikounda.

Pasukan terakhir Bojan sebelum datang ke Terengganu ialah FC Navy Bazar, Bosnia.

Rozi berkata beliau yakin pasukan T-Team akan lebih menyerlah lagi pada tahun depan dengan adanya kedua-dua pemain import berkenaan.

Beliau berkata pasukan T-Team sekarang sedang mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan bagi memantapkan pemain import dengan pemain tempatan.

"Apabila selesai semuanya nanti, kita akan baiki mana-mana yang tidak betul sebelum menghadapi kejohanan sebenar,” katanya.

Rozi berkata mutu permainan pemain-pemain tempatan telah meningkat dari semasa ke semasa.

"Sasaran kita sekurang-kurangnya juara liga tahun depan,” katanya.

Pencapaian terbaik T-Team dalam Liga Malaysia ialah melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia tahun lepas.


Terengganu sedia pakej tunggang, selam

Oleh FAUZI MOHD

Penunggang motosikal berkuasa tinggi di negara ini bakal menikmati pakej peloncongan baru ‘tunggang dan menyelam’ ketika berada di Terengganu bermula tahun depan.



Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Mohd Nasir Kushairi berkata, pendekatan itu diambil kerana kita mendapati banyak pelancong tempatan dan asing berminat menunggang motosikal dengan menjelajah pelbagai destinasi pelancongan di negara ini.

Menurutnya, melalui pakej pelancongan baru ini, penunggang tempatan dan luar negara bukan sahaja dapat meneruskan aktiviti malah berpeluang menyelam di beberapa destinasi yang terkenal dengan keindahan batu karang diperingkat antarabangsa antaranya di Pulau Perhentian, Redang dan Kapas.

“Saya yakin pakej baru ini bukan sahaja dapat menarik perhatian pelancong asing, malah disambut baik pelancong dengan menjadikan Terengganu sebagai destinasi pilihan dalam aktiviti ekspidisi mereka.

“Malah ini adalah antara usaha awal kita dalam memperkenalkan negeri ini terutamanya kepada pelancong asing menjelang Tahun Melawat Terengganu pada 2013,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika di temui sebelum melepaskan peserta konvoi bermotosikal besar Cuti-Cuti 1Malaysia On 2 Wheels - Big Bike Rally 2011 di Primula Beach Resort Hotel, Kuala Terengganu hari ini.



Hadir sama, Ketua Program dan Penjenamaan Big Bike Rental & Tours, Stephen Ronee Lau.

Sementara itu, Stephen berkata, program berkenaan merupakan satu usaha permulaan untuk memperkenalkan pakej menjelajah Malaysia dengan motosikal berkuasa tinggi di negara ini.

Menurutnya, seramai 48 penunggang yang berusia antara 25 hingga 59 tahun telah menyertainya sejak Ahad lalu dengan menjelajah lebih 1,500 kilometer melibatkan beberapa negeri antaranya Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan akan berakhir di Pahang.

"Kita akan menjelajahi tujuh tempat bermula di Putrajaya, Sabtu lalu dan seterusnya ke Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Terengganu adalah destinasi keenam sebelum berkahir di Pusat Pemuliharaan Gajah Negara di Kuala Gandah esok (hari ini)," katanya.



Dalam pada itu, beliau berkata, ketika berada di Terengganu, peserta konvoi berpeluang melawat beberapa destinasi pelancongan yang popular di negeri ini antaranya di Taman Tamadun Islam, perushaan keropok lekor di Losong, Pasar Payang dan Pantai Batu Burok.


311 mangsa banjir daerah Besut mendapat Wang Ehsan

Oleh: Mohammad Ishak



KEPERITAN menghadapi bencana banjir yang dialami penduduk daerah Besut mendapat perhatian Kerajaan Pusat apabila mereka diberi bantuan Wang Ehsan bagi membantu meringankan beban yang dialami mereka.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bertanggungjawab terhadap bencana alam mengambil usaha segera memberi bantuan kepada 311 mangsa banjir di daerah Besut yang menghadapi bencana berkenanan minggu lalu.

Mangsa terbabit ialah dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, Jertih, Kota Putera dan Jabi diberikan wang tunai RM500 kepada ketua keluarga dan mereka yang berpindah ke pusat pemindahan banjir yang disediakan pihak berkuasa.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Negara menyampaikan bantuan berkenaan kepada mangsa terbabit di Dewan Terbuka, Pejabat Penyelaras DUN Hulu Besut di Kampung Cegar Batang, Hulu Besut.Hadir sama ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad.

Nazri berkata, wang berkenaan diberikan tanpa mengira fahaman politik kerana ia satu tanggungjawab kerajaan pusat yang sentiasa prihatin terhadap seluruh rakyat negara ini.
Katanya, pemberian RM500 kepada ketua keluarga hanya diberikan sekali dalam tempoh bencana bagi tahun berkenaan bertujuan membantu mangsa menyediakan keperluan harian.

Menurutnya, mangsa banjir daerah Besut adalah yang pertama mendapat bantuan berkenaan kerana pihak berkuasa dapat mengemukakan senarai nama mangsa lebih cepat berbanding daerah lain.

Sementara itu, Nawi berkata, penerima bantuan berkenaan bukan sahaja dikalangan penyokong Umno malah ahli pembangkang terutama PAS juga mendapat manfaat daripada pelaksanaan bantuan Kerajaan Pusat itu.




Berhati-hati dengan dakyah merosakkan perpaduan

Oleh; Esah Abdullah

Orang ramai terutama pemimpin masyarakat diingat jangan mudah percaya kepada sumber berita dan maklumat yang diterima sebelum memastikan kesahihannya terlebih dahulu.

Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Ismail berkata, keadaan hari ini sudah berubah dan sumber berita diperolehi pelbagai cara melalui perkembangan teknologi maklumat (IT) yang menjadi medium utama penyaluran berita terkini.

Katanya, dalam suasana sekarang, semua orang sedang ternanti-nanti pengumuman tarikh Pilihanraya UMUM yang bakal menjelang tidak lama lagi dan pelbagai isu ditimbulkan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab bertujuan menarik perhatian dan sokongan masyarakat.

“Saya harap berhati-hati dengan dakyah yang cuba ditimbulkan serta sengaja merosakkan perpaduan kalangan penduduk tempatan di negeri ini,” katanya di majlis Anugerah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cemerlang 2011 di Taman Tamadun Islam (TTI) semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Yusof Ali; Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, Dato’ Che Mat Jusoh dan Pegawai Pembangunan DUN Ladang, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh.

Menurut Haji Wan Nawawi, sejumlah 292 buah JKKK dalam daerah itu, 26 buah dikategorikan sebagai baik dan aktif, mengadakan mesyuarat setiap bulan dan menjalankan aktiviti untuk mengeratkan ikatan silatulrahim penduduk kampung.

Sementara itu, JKKK Kampung Bukit Wan mengekalkan gelaran JKKK Cemerlang tahun lalu bila sekali lagi terpilih memenangi anugerah itu tahun ini manakala JKKK Padang Midin tempat kedua dan JKKK Teluk Ketapang (ketiga).

Pemenang pertama menerima RM5,000 dan sijil penghargaan, RM3,000 (kedua) dan RM2,000 (ketiga), manakala 23 JKKK masing-masing menerima saguhati RM500.

Selain itu, sebanyak RM120,000 diagihkan kepada 24 buah JKKK (RM5,000 setiap JKKK) yang tidak ada balai raya atau tempat khusus untuk mengadakan mesyuarat dalam usaha membantu komuniti kampung melaksanakan aktiviti kemasyarakatan.






Terengganu sokong Kejohanan Piala Monsun diteruskan

Oleh: Suriati Ali



Kerajaan negeri menyambut baik hasrat penganjur dan Kerajaan Pusat meneruskan Kejohanan Piala Monsun yang akan tamat kontraknya pada tahun 2012, demi kepentingan negeri dan rakyat Terengganu.



Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said, berkata impak daripada kejohanan ini cukup besar kerana ia bukan saja mendapat liputan meluas oleh media asing, malah mampu memperkenalkan keunikan dan budaya masyarakat Terengganu.

"Kita mempunyai kemudahan bertaraf dunia dan rugi jika tiada penganjuran seumpama ini diadakan pada masa akan datang,” katanya ketika menjawab soalan tambahan YB Abd Wahid Endut (Pas- Wakaf Mempelam).

YB Dato’ Haji Rahin ketika menjawab soalan YB Muhammad Ramli Nuh (BN -Tepuh), berkata bilangan agen pelancongan yang berdaftar di negeri ini adalah sebanyak 126 kesemuanya.

“Pelbagai pakej ditawarkan agen itu semata-mata untuk menarik minat pelancong tempatan dan luar negara mengunjungi Terengganu termasuk di pulau.

“Sebagai contoh, pakej selama tiga hari di pulau dan sehari di kawasan daratan turut diwujudkan bertujuan menarik perhatian mereka supaya turut melawat Pasar Besar Kedai Payang, Muzium Negeri dan sebagainya,” katanya.

Katanya, kerajaan ngeri mengakui sukar untuk menarik minat pelancong Arab supaya datang mengunjungi Terengganu kerana golongan itu lebih berminat mengunjungi Kuala Lumpur yang sememangnya banyak menawarkan pelbagai pusat membeli belah terkenal.

“Jika ingin mempromosi mana-mana pulau terkenal di Terengganu seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian, juga sukar kerana lokasi itu berlainan dengan jiwa mereka yang lebih menggemari lokasi persendirian,” katanya.