Halaman

15 December 2011

Datuk Seri Nazri Aziz tinjau penempatan PPRT Kampung Pangkalan Atap,Kuala Besut

Oleh: Mohammad Ishak


Nazri diiringi Dr Abdullah malam tadi meninjau kawasan pantai


Ketakutan penduduk yang tinggal di penempatan Projek Perumahan Termiskin (PPRT) Kampung Pengkalan Atap,Kuala Besut, yang dilanda banjir laut Ahad lalu,akibat ombak besar dan air pasang terubat apabila penderitaan mereka mendapat perhatian pemimpin kerajaan.

Kehadiran Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Seri Nazri Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kencana Alam Negara, melakukan lawatan mengejut ke penempatan berkenaan yang terletak kira-kira 400 meter dari laut pada jam 8.30 malam tadi.

Mengiringi beliau ialah Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera,Muhammad Pehimi Yusof,Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh serta pegawai-pegawai kanan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Nazri berpelung melihat secara lebih dekat kesan kemusnahan benteng penahan ombak yang dipukul ombak besar menyebabkan 44 rumah kediaman di situ dimasuki air dan 196 mangsa terpaksa dipindahkan ke balai raya berhampiran.

Pada sesi bertemu penduduk Nazri yang bersimpati dengan nasib malang menimpa penduduk berjanji akan member bantuan kepada semua mangsa terbabit selepas mendapat senarai terperinci daripada MKN dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, kerajaan Barisan Nasional akan memberi pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik dan jika mereka menghadapi bencana dan berpindah adalah layak menerima wang ehsan RM5,000 bagi setiap keluarga.

“Walaupun ada penduduk terutama penyokong pembangkang yang tidak mahu berterima kasih kepada sumbangan itu, ia tetap diteruskan kerana menjadi tanggungjawab kerajaan membela semua nasib mereka yang ditimpa bencana,” katanya.

Beliau berkata, program turun padang yang dilakukan beliau ke semua kawasan yang dilanda banjir dan bencana alam bukan kerana pilihan raya akan tiba bila-bila masa sebaliknya ia dilakukan sejak 2004 selepas beliau dilantik sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap bencana alam.


Yang Di-Pertuan Muda terima pengurniaan DKR


Oleh: Aida Abd Rahman

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Pingat Darjah Kerabat DiRaja Terengganu Yang Amat Mulia Darjah Yang Pertama (DKR) kepada Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Pengurniaan kepada anakanda sulung baginda itu bersempena Majlis Istiadat Penghadapan Setelah Menyempurnakan Kewajipan Sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13, di Istana Maziah, Kuala Terengganu, semalam (14 Disember).
Turut berangkat ke istiadat berkenaan, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, kerabat-kerabat raja, Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Dalam majlis penuh istiadat bermula jam 9.30 pagi, Sultan Mizan turut berkenan menyembahkan titah dari singgahsana selepas Menteri Besar selesai menyampaikan ucapan.

Selepas titah ucapan baginda, nobat dipalu lagu `Ibrahim Khalil’ berserentak dengan tembakan meriam 21 das.

Keberangkatan masuk baginda dan Sultanah Terengganu diiringi dengan paluan nobat lagu `Iskandar’, sementara keberangkatan dari majlis istiadat itu diakhiri dengan paluan lagu `Sri Istana’.




14 December 2011

Tugas cemerlang pacu pembangunan negara- MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri begitu kagum dengan kejayaan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan begitu cemerlang dalam memacu pembangunan negara yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat jelata.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata di bawah pemerintahan baginda negara mengalami pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang begitu memberangsangkan walaupun dalam situasi keruncingan ekonomi global dunia yang tidak menentu di mana terdapat negara seperti Portugal, Ireland, Greece dan Sepanyol menghadapi krisis kewangan begitu teruk yang boleh membawa kepada kebangkrapan negara.

“Syukur negara kita sepanjang di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku melalui Program Transformasi Ekonomi, kesan permasalahan ekonomi global dan krisis kewangan antarabangsa dapat ditangani dengan jayanya. bermanfaat dan bermakna dalam tempoh memerintah negara.

“Patik-patik sekalian percaya dan yakin dengan pengalaman yang penuh bermanfaat dan bermakna dalam tempoh memerintah negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dapat membawa balik mutiara pengalaman pemerintahan negara bagi kesinambungan pemerintahan baginda ke Terengganu Darul Iman,” katanya ketika berucap sempena Istiadat Penghadapan Setelah Menyempurnakan Kewajipan Sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13, di Istana Maziah, Kuala Terengganu, pagi ini.

Berkenan berangkat, Sultanah Terengganu, Tuanku Nur Zahirah serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, kerabat-kerabat raja, Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Menteri Besar berkata, dengan mutiara pengalaman berharga tersebut sudah pasti akan dapat membantu meligatkan putaran kemajuan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri bagi membolehkan Terengganu tampil menjadi sebagai negeri maju menjelang 2020.

Beliau juga bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dalam keadaan keruncingan krisis ekonomi global, rakyat masih lagi dapat bertahan dengan menjalani hidup dalam suasana aman damai, tenteram dan harmoni.

Walaupun menghadapi persekitaran luar yang begitu mencabar ekonomi negeri masih dapat mencatat pertumbuhan pada kadar 4.3% pada 2010 dan pada tahun ini pula ekonomi negeri dijangka berkembang pada kadar 4.5%.

Dari segi kemasukan pelabur pula, pada 2010 jumlah pelaburan yang telah diluluskan di Terengganu sebanyak RM2.33 billion. Manakala bagi tempoh Januari hingga Julai 2011 sebanyak RM1.68 billion diluluskan dengan mewujudkan 3,464 peluang pekerjaan.

Katanya, dijangka pada tahun ini Terengganu akan menerima pelaburan berjumlah sebanyak RM3.5 billion.

“Kerajaan negeri Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku mempunyai wawasan menjadikan Negeri Terengganu sebuah negeri maju menjelang tahun 2020. Bagi merealisasikan matlamat tersebut Kerajaan Negeri Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah merangka perancangan Strategik Pembangunan Lima Tahun Negeri Terengganu yang dikenali sebagai ‘Halatuju Pembangunan Negeri Terengganu 2009-2013’.

“Halatuju Pembangunan Negeri Terengganu memberi penekanan kepada peningkatan ekonomi dan rantaian nilai lebih tinggi, memupuk keupayaan pengetahuan dan inovasi, menangani isu sosioekonomi secara berterusan, meningkatkan kualiti hidup dan mengukuhkan ‘delivery system’ kerajaan,”katanya.

Beliau berkata, bagi melaksanakan projek-projek dan program-program yang dikenalpasti di bawah hala tuju tersebut peruntukan sebanyak RM14.4 billion adalah diperlukan.



Mara sedia peruntukan usahawan berniaga

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyediakan pembiayaan perniagaan berjumlah RM27.5 juta kepada usahawan dan RM18.3 juta lagi untuk Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (Spike) di Terengganu.

Timbalan Pengarah Mara negeri, Encik Mohd. Tahir Mat Yusof berkata, pihaknya juga menyediakan Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (3P), dan latihan keusahawanan.

“Mara turut memperkenalkan program baru iaitu program UK Dinamik bagi meningkatkan pendapatan kumpulan usahawan kecil dari kalangan penjaja dan peniaga kecil,” katanya.

Menurutnya, program UK Dinamik dilaksanakan melalui skim pembiayaan Islam Al-Ghardul Hasan berkonsepkan kebajikan tanpa caj keuntungan bernilai sehingga RM10,000 di samping khidmat bimbingan, perundingan dan pemasaran.

Selain itu katanya, Mara berjaya melahirkan kira-kira 3,000 usahawan bumiputera sehingga akhir tahun ini dan berharap jumlah berkenaan akan bertambah tahun depan.




YPKT tumpu lapan bidang

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) mengambil pendekatan membasmi kemiskinan tegar di kalangan penduduk Terengganu melalui lapan bidang utama di mana boleh menambah baik ekonomi keluarga.

Bidang itu adalah kemahiran, Kraftangan, ternakan, perikanan, perkhidmatan barangan, perniagaan makanan, perniagaan dan pertukangan.

Pengarah YPKT, Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa, berkata daripada lapan bidang itu, perkhidmatan barangan paling ramai peserta, membabitkan 1,056 orang; diikuti perniagaan makanan (801); kemahiran jahitan dan sulaman (706); ternakan (207); pertukangan (198); pertanian (94); perikanan (37) dan kraftangan (8).

Katanya, antara objektif YPKT membantu meningkatkan pendapatan golongan miskin menerusi penyediaan peluang meningkatkan ekonomi golongan sasar adalah mengalakkan rakyat miskin menyertai program pembangunan diri, memberi suntikan minda kepada golongan sasar ke arah mencapai kejayaan, membangkitkan kesedaran dan keupayaan diri sendiri untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Yang pasti YPKT memantau setiap bulan terhadap peserta dan menilai laporan kemajuan di samping mereka perlu mengikuti kursus perubahan minda dan motivasi diri dari masa ke semasa sehingga Berjaya mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan menerusi projek yang dilaksanakan,” katanya.


Perodua tawar diskaun servis kereta terlibat banjir

Oleh FAUZI MOHD

Perodua menawarkan bantuan kepada semua pemilik kereta Perodua yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri termasuk Terengganu baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Urusan Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, bantuan itu termasuk perkhidmatan menunda kereta, diskaun ke atas alat ganti terpilih serta pemeriksaan percuma bagi menentukan jumlah kerosakan ke atas kenderaan masing-masing.

Katanya, syarikat itu menawarkan perkhidmatan menunda percuma sehingga maksimum RM100 ke pusat servis terdekat Perodua.

“Perodua menawarkan 20 peratus diskaun ke atas alat ganti terpilih kepada pemilik Perodua yang kenderaan mereka rosak akibat banjir.

“Alat ganti terbabit termasuk semua barangan elektronik, karpet, tempat duduk kenderaan serta baik pulih gasket enjin,” kata kenyataan itu.

Katanya, pelanggan Perodua yang kenderaan mereka rosak semasa banjir baru-baru ini digalakkan memanggil talian pelanggan bebas tol Perodua di 1800-88-6600 untuk bantuan.


Bina kekuatan untuk hadapi cabaran-Sultan Mizan


Oleh: Aida Abd Rahman

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya semua pihak melihat serta mengkaji kejadian di sekeliling untuk membina kekuatan bagi menghadapi cabaran semasa dan akan datang.

Baginda mahu supaya kerajaan baginda sentiasa sensitif dan responsif dengan keperluan rakyat jelata, sentiasa bersedia dengan formula yang baik untuk menghadapi kesan serta implikasi daripada perubahan yang berlaku di persekitaran dengan maksud melindungi kepentingan negeri dan rakyat jelata.



Sementara rakyat jelata pula titah baginda, haruslah meningkatkan ilmu Fardu Kifayah kerana dengan ilmu dan kepakaran dalam pelbagai bidang seperti perubatan, pertanian, ekonomi dan ilmu semasa sahaja, mampu merumuskan kaedah-kaedah serta solusi-solusi terkini yang bukan sahaja berguna bagi mengatasi masalah, malah dapat menambahbaik pencapaian sedia ada.

“Sesungguhnya, ilmu dan kepakaran seumpama itu boleh menjadi satu ibadah, yang pastinya dapat dimanfaatkan untuk kesejahteraan negeri dan dinikmati oleh semua rakyat jelata.

“Seperkara lagi yang menarik perhatian beta pada masa mutakhir ini ialah tindakan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab yang masih berusaha menimbulkan kegelisahan umat Islam di negara kita,” titah baginda sempena Istiadat Penghadapan Setelah Menyempurnakan Kewajipan Sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13, di Istana Maziah, Kuala Terengganu, pagi ini

Turut berangkat ke istiadat berkenaan, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.



Turut hadir, kerabat-kerabat raja, Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Titah baginda, sesungguhnya perpaduan di antara umat Islam akan menjamin kedaulatan dan membina benteng kukuh agar Islam tidak dipersenda-sendakan.

Pada masa yang sama,sejarah membuktikan bahawa pemerintahan berasaskan ajaran Islam tidak pernah menafikan keadilan kepada mana-mana golongan atau puak walaupun berlainan agama dan keturunan.

“Sebagai contohnya, Terengganu aadalah negeri terawal menerima Islam di Semenanjung Tanah melayu dengan bukti penemuan Batu Bersurat di Kuala Berang.




Kayuhan Jejak Perpaduan 1Malaysia kini di Terengganu

Sebahagian peserta program kayuhan Jejak Perpaduan 1Malaysia peringkat Zon Timur yang singgah di Pasar Batu Enam, Kuala Terengganu, hari ini

Oleh FAUZI MOHD

Program kayuhan Jejak Perpaduan 1Malaysia peringkat Zon Timur singgah di Parlimen Kuala Nerus dengan lebih 100 belia dan pemimpin masyarakat bersemangat berbasikal dengan membawa mesej perpaduan 1Malaysia.

Program kayuhan anjuran bersama Biro Tata Negara (BTN), Pertubuhan Penyokong Integrasi Perpaduan dan Prihatin Nasional Malaysia (Pemimpin) dan Kelab ‘Ngayuh’ Kuala Nerus itu bermula di perkarangan Pejabat Ahli Parlimen Kuala Nerus, Seberang Takir.

Jurucakap program itu, Apli Yusoff berkata, kayuhan itu singgah di Pasar Batu Enam sebelum ke Pasar Bukit Tunggal untuk bersama masyarakat peniaga sambil mengedarkan poster mesej 1Malaysia dan kalendar tahun baru 2012.

“Sejurus selepas itu, program diteruskan ke Pulau Duyong untuk menyertai aktiviti khidmat masyarakat di pulau itu dan sebahagian peserta akan bermalam di Homestay (Inap Desa) Pulau Duyong,” katanya ketika ditemui pemberita di Pasar Batu Enam.

Sebelum itu kata Apli, program yang membawa 15 pengayuh tetap itu berlansung selama tujuh hari di Terengganu yang bermula di Besut semalam setelah menamatkan misi kayuhan di Kelantan sebelum meneruskan perjalanan ke Pahang.

Sejurus program sehari di Kuala Nerus katanya, kayuhan diteruskan ke Pantai Batu Buruk di Parlimen Kuala Terengganu, Kampung Surau Haji Yaacob (Marang), Pulau Serai (Dungun) dan berakhir di Kampung Geliga (Kemaman).

“ Di setiap persinggahan, jelajah berkenaan akan bersama dengan masyarakat setempat untuk pelbagai aktiviti dan setiap parlimen akan disertai belia berbasikal masing-masing,” katanya yang juga Pengerusi Kelab ‘Ngayuh’ Kuala Nerus.

Sementara itu, BTN dalam satu kenyataan berkata, Zon Utara adalah zon pertama yang memulakan program itu sebelum diikuti dengan kayuhan oleh 15 peserta daripada Zon Timur yang bermula di Rantau Panjang, Kelantan pada 6 Disember lalu.

Kata kenyataan itu, seterusnya 14 peserta daripada Zon Selatan bermula di Johor Bharu, Johor pada 12 Disember lalu dan 10 peserta Zon Sabah dan Sarawak bermula di Kota Kinabalu dan Kuching pada 20 Disember ini.

“Keseluruhan pengayuh tetap adalah 54 orang mengambil sempena 54 tahun negara mencapai kemerdekaan dan sama-sama mengayuh basikal mengelilingi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 29 dan 30 Disember ini.

“Pada 31 Disember, para peserta terbabit akan berbasikal ke majlis sambutan tahun baru 2012 di Shah Alam dan seorang wakil mereka akan menyerahkan Buku Jejak Perpaduan bagi program itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” kata kenyataan itu.


Mangsa banjir beransur pulang

Oleh; Esah Abdullah

Gelombang kedua banjir yang melanda dua daerah iaitu Kemaman dan Besut di negeri ini sejak tiga hari lalu mula surut dan mereka yang berada di pusat perpindahan sudah beransur pulang ke rumah masing-masing.

Menurut kenyataan bilik operasi banjir negeri, sehingga pukul 9.20 pagi ini terdapat hanya 73 orang daripada 14 keluraga masih berada didua pusat perpindahan iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga (27 orang) dan balai raya Padang Kemunting, Kemaman (46 orang).

Katanya, jumlah ini berkurang berbanding semalam 123 mangsa daripada 26 keluarga yang membabitkan dua pusat perpindahan di daerah Kemaman dan ini tidak termasuk mangsa yang berpindah ke rumah keluarga.

Sementara itu di Besut, seramai 169 mangsa daripada 41 keluarga telah dibenarkan pulang kira-kira jam 10 pagi semalam selepas pihak berkuasa berpuas hati dengan keadaan cuaca yang sudah pulih dan kembali normal.

Katanya, peristiwa ombak besar yang memecah benteng dan air pasang memasuki rumah penduduk di penempatan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pengkalan Atap,Kuala Besut, malam kelmarin masih menghantui fikiran mereka namun penghuni terbabit dibenarkan pulang selepas dua malam berada di pusat pemindahan.

Penduduk yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing perlu berjaga-jaga kerana bimbang kejadian sama akan berulang semula dalam tempoh terdekat.




100 pelajar daerah Besut dan Setiu berjaya mengikuti kursus fotografi

Oleh: Mohammad Ishak


Peserta kursus bergambar kenangan bersama urusetia penganjur


Seramai 100 pelajar sekolah rendah dan menengah dari daerah Besut dan Setiu berjaya mengikuti kursus fotografi yang berlan gsung di Pusat Aktiviti Perpaduan (PAP) daerah Besut. di Kampung Raja, semalam.

Kursus dua hari anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jertih dengan kerjasama Pejabat Perpaduan Daerah Besut itu bertujuan memberi kemaharian kepada pelajar yang sedang bercuti bagi memenuhi masa lapang mereka.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Besut, Zaidi Sulong merasmikan kursus dan menyampaikan sijil kepada peserta yang julung kali diadakan di daerah itu secara percuma.Hadir sama wakil Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu, Kamaruddin Deraman.

Pegawai Perpaduan Daerah Besut, Puan Nor Almizah Mahmood berkata, kursus jangka pendek itu mendapat sambutan baik daripada peserta malah mereka menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang berkenaan.

Katanya, peserta yang dipilih mengikuti kursus itu berumur antara 12 dan 21 tahun mewakili kumpulan sasar dari Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daerah Besut dan Setiu.

Menurutnya, selain diberi latihan amali di dalam kelas peserta juga turut di bawa keluar untuk mengambil gambar dibeberapa lokasi terpilih kemudian dipilih gambar terbaik untuk dinilai penganjur dan diberikan hadiah.

Peserta pelbagai kaum yang menyertai kursus itu menzahirkan rasa seronok dan gembira kerana dipilih menyertai kursus yang jarang diadakan oleh pihak tertentu terutama secara percuma.

Zaidi ketika menutup kursus itu memuji pihak menganjur kerana mengambil peluang musim cuti dengan memberi ilmu kemahiran fotografi yang sememangnya diminati ramai generasi masa kini.