Oleh FAUZI MOHD
Program kayuhan Jejak Perpaduan 1Malaysia peringkat Zon Timur singgah di Parlimen Kuala Nerus dengan lebih 100 belia dan pemimpin masyarakat bersemangat berbasikal dengan membawa mesej perpaduan 1Malaysia.
Program kayuhan anjuran bersama Biro Tata Negara (BTN), Pertubuhan Penyokong Integrasi Perpaduan dan Prihatin Nasional Malaysia (Pemimpin) dan Kelab ‘Ngayuh’ Kuala Nerus itu bermula di perkarangan Pejabat Ahli Parlimen Kuala Nerus, Seberang Takir.
Jurucakap program itu, Apli Yusoff berkata, kayuhan itu singgah di Pasar Batu Enam sebelum ke Pasar Bukit Tunggal untuk bersama masyarakat peniaga sambil mengedarkan poster mesej 1Malaysia dan kalendar tahun baru 2012.
“Sejurus selepas itu, program diteruskan ke Pulau Duyong untuk menyertai aktiviti khidmat masyarakat di pulau itu dan sebahagian peserta akan bermalam di Homestay (Inap Desa) Pulau Duyong,” katanya ketika ditemui pemberita di Pasar Batu Enam.
Sebelum itu kata Apli, program yang membawa 15 pengayuh tetap itu berlansung selama tujuh hari di Terengganu yang bermula di Besut semalam setelah menamatkan misi kayuhan di Kelantan sebelum meneruskan perjalanan ke Pahang.
Sejurus program sehari di Kuala Nerus katanya, kayuhan diteruskan ke Pantai Batu Buruk di Parlimen Kuala Terengganu, Kampung Surau Haji Yaacob (Marang), Pulau Serai (Dungun) dan berakhir di Kampung Geliga (Kemaman).
“ Di setiap persinggahan, jelajah berkenaan akan bersama dengan masyarakat setempat untuk pelbagai aktiviti dan setiap parlimen akan disertai belia berbasikal masing-masing,” katanya yang juga Pengerusi Kelab ‘Ngayuh’ Kuala Nerus.
Sementara itu, BTN dalam satu kenyataan berkata, Zon Utara adalah zon pertama yang memulakan program itu sebelum diikuti dengan kayuhan oleh 15 peserta daripada Zon Timur yang bermula di Rantau Panjang, Kelantan pada 6 Disember lalu.
Kata kenyataan itu, seterusnya 14 peserta daripada Zon Selatan bermula di Johor Bharu, Johor pada 12 Disember lalu dan 10 peserta Zon Sabah dan Sarawak bermula di Kota Kinabalu dan Kuching pada 20 Disember ini.
“Keseluruhan pengayuh tetap adalah 54 orang mengambil sempena 54 tahun negara mencapai kemerdekaan dan sama-sama mengayuh basikal mengelilingi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 29 dan 30 Disember ini.
“Pada 31 Disember, para peserta terbabit akan berbasikal ke majlis sambutan tahun baru 2012 di Shah Alam dan seorang wakil mereka akan menyerahkan Buku Jejak Perpaduan bagi program itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” kata kenyataan itu.