Halaman

13 December 2011

196 mangsa ombak besar di Kuala Besut kembali ke rumah

Oleh: Mohammad Ishak


Anggota bomba dan penyelamat menyembur air pacutan

WALAUPUN peristiwa ombak besar yang memecah benteng dan air pasang memasuki rumah penduduk di penempatan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pengkalan Atap,Kuala Besut, malam kelmarin masih menghatui fikiran mereka namun penghuni terbabit dibenarkan pulang hari ini selepas dua malam berada di pusat pemindahan

Mereka seramai 169 mangsa daripada 41 keluarga dibenarkan pulang kira-kira jam 10 pagi selepas pihak berkuasa berpuas hati dengan keadaan cuaca yang sudah pulih dan dalam keadaan normal hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung terbabit, Abdul Aziz Mahmood berkata, penduduk yang mengambil keputusan untuk pulang hari ini menghabiskan waktu dengan menjalankan kerja membersih rumah yang dipenuhi lumpur dan sampah sarap akibat kejadian air pasang malam kelmarin.

Malah, nasib malang penduduk terbabit turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk keadaan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat,kakitangan Pejabat Daerah Besut, Sukarelawan Jabatan Kemajikan Masyarakat, Sukarelawan Jabatan Belia dan Sukan serta penduduk setempat bergotong royong membersih kawasan penempatan berkenaan.

Kira-kira 100 peserta menyertai gotong royong anjuran JKKK Kampung itu dengan kerjasama Pejabat Penyelaras DUN Kuala Besut.


Penduduk bergotong royong membersih sampah sarap

Penduduk yang kembali semula ke rumah masing-masing meskipun gembira namun mereka masih dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbang kejadian sama akan berulang semula dalam tempoh terdekat.

Sementera itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,Datuk Seri Nazri Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Negara, dijangka melakukan lawatan kerja untuk menemui penduduk kampung itu pada 14 Disember ini (esok).