Halaman

15 December 2011

Kerajaan tanggung kos tinggi urus Taska Permata

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri komited dalam usaha membangunkan modal insan termasuk mewujudkan Taska Permata di seluruh Terengganu yang memerlukan kos pengurusan yang tinggi tanpa membebankan ibu bapa dengan kadar yuran yang tidak munasabah.

“Untuk itu, kita telah `menelan’ sebahagian besar daripada kos itu dan hari ini ibu bapa hanya perlu membayar RM180 bagi setiap anak berusia empat tahun ke bawah, manakala RM200 bagi setiap bayi berusia setahun ke bawah yang dihantar ke Taska Permata kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).
“Jika dilihat dari segi kemudahan prasarana, kemudahan dan juga tenaga pengajar yang terlatih, kos itu jauh lebih murah berbanding taska-taska lain,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said Majlis Penyampaian Sijil Program Hafazan Muqaddam (23 Surah lazim) Kanak-kanak Taska Permata Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), di Stadium Negeri, hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor; isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib dan Pengarah YPKT, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa.

Dalam majlis itu, seramai 1,012 kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun dari Taska Permata YPKT seluruh Terengganu berjaya menghafaz 23 surah muqaddam.

Menteri Besar berkata, bukan hasrat kerajaan negeri bersaing dengan taska lain tetapi usaha itu sebagai agenda kerajaan bagi membangunkan modal insan di kalangan rakyat Terengganu, selain membuka peluang kepada rakyat berpendapatan rendah menghantar anak mereka ke taska yang bermutu tinggi.

Menurutnya, YPKT juga meninggalkan satu penanda aras yang agak tinggi untuk diteladani dan diikuti oleh semua taska kerajaan serta swasta yang lain.

Katanya, aspek tenaga pengajar menjadi suatu penanda aras yang sangat penting di Taska Permata YPKT dan terbukti dengan adanya lima orang pendidik yang memiliki kelulusan Ijazah dan Diploma, manakala lima orang pendidik berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.

“Kerajaan komited membelanjakan sejumlah wang yang besar demi memastikan kita dapat menghasilkan para cendikiawan dan pelapis kepimpinan negara yang bermutu tinggi.

“Sekalung terima kasih kepada Datin Paduka Seri Rosmah sebagai pelopor kepada program Permata Negara dan juga memberikan peruntukan RM20.4 juta bagi membina 32 Taska Permata di seluruh Terengganu,” katanya.