Halaman

13 December 2011

Tiada krisis kekurangan minyak masak di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu menafikan laporan sebuah akhbar tempatan beberapa hari lalu yang menyatakan negeri ini menghadapi krisis kekurangan bekalan minyak masak yang serius.

Timbalan Pengarahnya, Ab. Ghani Harun yang kesal dengan laporan itu sebaliknya berkata, bekalan barangan subsidi itu bukan sahaja mencukupi, malah melebihi daripada keperluan penduduk negeri ini.

Sehubungan itu, beliau meminta pengguna dan peruncit di negeri itu agar tidak terpengaruh dengan laporan tersebut dan panik dengan membeli bahan makanan secara berlebihan.

"Sehingga hari ini, bekalan minyak masak mencukupi, malah kita memastikan kuota 1,800 metrik tan minyak masak bersubsidi berada di pasaran runcit sebulan sedangkan penggunaan biasa kurang daripada jumlah itu.

"Jumlah itu tidak termasuk bekalan yang terdapat di beberapa pasaraya seperti Mydin dan Giant yang mendapat bekalan terus dari pusat pengedaran masing-masing,” katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan harian PPDNKK di Pasaraya H-Lai Mart, hari ini.

Tambah Ab. Ghani, sebanyak 11 syarikat pembungkus diberi permit mengedar minyak masak bersubsidi di negeri ini dengan jumlah 1,113 metrik tan sebulan, manakala 4 pemborong membekalkan 574 metrik tan dan selebihnya dari Sime Darby.

Sepanjang tahun ini katanya, pihak PPDNKK tidak pernah menerima sebarang aduan berhubung krisis kekurangan bekalan minyak masak di pasaraya atau gedung peruncit walaupun ianya sering menjadi tajuk berita media cetak dan elektronik.

“Apabila khabar angin ketiadaan atau kekurangan minyak masak tersebar, pengguna mula panik dengan membeli barang itu secara berlebihan manakala peruncit pula menghadkan jumlah penjualan minyak masak bagi mengelakkan terputus bekalan.

“Di pihak pengguna kita telah beri jaminan bekalan mencukupi sepanjang tahun. Manakala, peruncit yang hadkan jualan telah diarahkan tidak berbuat demikian kerana mereka boleh diambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh didenda antara RM100,000 hingga RM200,000,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya terdapat premis runcit yang mengalami kekurangan bekalan, PPDNKK negeri akan mengarahkan pembekal menghantar bekalan minyak masak dengan segera.