Oleh FAUZI MOHD
Hampir 20,000 rakyat jelata dijangka membanjiri sepanjang jalan di bandar raya ini bagi menyambut keberangkatan balik Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah ke Terengganu hari ini.
Sambutan itu dibuat sempena tamat tempoh pemerintahan Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.
Mereka yang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat termasuk penjawat awam, warga Institusi Pengajian Tinggi Awam, pelajar serta murid sekolah akan berada di sepanjang jalan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) hingga Istana Maziah sejauh 16 kilometer.
Pegawai Penyelaras Istiadat (Bahagian Pengurusan Majlis dan Protokol), Mohd Zahari Jannah berkata, sebaik tiba di LTSM, aturcara sambutan keberangkatan balik Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah akan berlangsung tiga hari iaitu pada hari ini, Rabu dan Jumaat ini.
Katanya Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah dijangka tiba di LTSM kira-kira pukul 2 petang dengan pesawat khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang, dan akan disambut kira-kira 2,000 orang.
Sejurus tiba, baginda berdua akan disambut kerabatan diraja, para pembesar dan kenamaan negeri diketuai Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail serta Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah.
"Selepas tiba di LTSM, baginda berdua akan ke Istana Maziah untuk majlis Santapan Petang yang dijangka dihadiri kira-kira 300 orang tetamu sebelum berangkat balik ke Istana Nur Nadirah di sini," katanya pada taklimat mengenai keberangkatan pulang baginda semalam.
Turut dijangka hadir ialah Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek serta Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Ibrahim Mohamad yang bertindak sebagai pegawai pengiring dari ibu negara.
Beliau berkata, untuk aturcara pada Rabu ini, Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah akan berangkat ke Istiadat Penghadapan di Istana Maziah kira-kira pukul 8.30 pagi yang dijangka dihadiri kira-kira 600 tetamu.
Manakala pada Jumaat pula, baginda Tuanku Mizan akan berangkat mencemar duli merasmikan Masjid Sultan Ismail di Chendering (sebelum ini dikenali Masjid Diraja) kira-kira pukul 12 tengah hari.
Sementara itu, Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supt Alias Hashim ketika dihubungi mengesahkan tiada jalan ditutup sempena menyambut keberangkatan balik Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri.
Katanya, ribuan rakyat dijangka berada di kiri kanan jalan di sepanjang laluan tersebut dari LTSM ke Istana Maziah, kecuali di atas Jambatan Sultan Mahmud.
Beliau juga menasihatkan orang ramai yang ingin menggunakan Jambatan Sultan Mahmud agar melalui Jalan Manir sebagai alternatif dalam tempoh antara pukul 2.15 petang hingga 3.30 petang esok bagi mengelak kesesakan lalu lintas.