Halaman

14 December 2011

Tugas cemerlang pacu pembangunan negara- MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri begitu kagum dengan kejayaan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan begitu cemerlang dalam memacu pembangunan negara yang dapat dinikmati oleh seluruh rakyat jelata.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata di bawah pemerintahan baginda negara mengalami pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang begitu memberangsangkan walaupun dalam situasi keruncingan ekonomi global dunia yang tidak menentu di mana terdapat negara seperti Portugal, Ireland, Greece dan Sepanyol menghadapi krisis kewangan begitu teruk yang boleh membawa kepada kebangkrapan negara.

“Syukur negara kita sepanjang di bawah pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku melalui Program Transformasi Ekonomi, kesan permasalahan ekonomi global dan krisis kewangan antarabangsa dapat ditangani dengan jayanya. bermanfaat dan bermakna dalam tempoh memerintah negara.

“Patik-patik sekalian percaya dan yakin dengan pengalaman yang penuh bermanfaat dan bermakna dalam tempoh memerintah negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dapat membawa balik mutiara pengalaman pemerintahan negara bagi kesinambungan pemerintahan baginda ke Terengganu Darul Iman,” katanya ketika berucap sempena Istiadat Penghadapan Setelah Menyempurnakan Kewajipan Sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13, di Istana Maziah, Kuala Terengganu, pagi ini.

Berkenan berangkat, Sultanah Terengganu, Tuanku Nur Zahirah serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud, kerabat-kerabat raja, Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Menteri Besar berkata, dengan mutiara pengalaman berharga tersebut sudah pasti akan dapat membantu meligatkan putaran kemajuan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri bagi membolehkan Terengganu tampil menjadi sebagai negeri maju menjelang 2020.

Beliau juga bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dalam keadaan keruncingan krisis ekonomi global, rakyat masih lagi dapat bertahan dengan menjalani hidup dalam suasana aman damai, tenteram dan harmoni.

Walaupun menghadapi persekitaran luar yang begitu mencabar ekonomi negeri masih dapat mencatat pertumbuhan pada kadar 4.3% pada 2010 dan pada tahun ini pula ekonomi negeri dijangka berkembang pada kadar 4.5%.

Dari segi kemasukan pelabur pula, pada 2010 jumlah pelaburan yang telah diluluskan di Terengganu sebanyak RM2.33 billion. Manakala bagi tempoh Januari hingga Julai 2011 sebanyak RM1.68 billion diluluskan dengan mewujudkan 3,464 peluang pekerjaan.

Katanya, dijangka pada tahun ini Terengganu akan menerima pelaburan berjumlah sebanyak RM3.5 billion.

“Kerajaan negeri Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku mempunyai wawasan menjadikan Negeri Terengganu sebuah negeri maju menjelang tahun 2020. Bagi merealisasikan matlamat tersebut Kerajaan Negeri Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah merangka perancangan Strategik Pembangunan Lima Tahun Negeri Terengganu yang dikenali sebagai ‘Halatuju Pembangunan Negeri Terengganu 2009-2013’.

“Halatuju Pembangunan Negeri Terengganu memberi penekanan kepada peningkatan ekonomi dan rantaian nilai lebih tinggi, memupuk keupayaan pengetahuan dan inovasi, menangani isu sosioekonomi secara berterusan, meningkatkan kualiti hidup dan mengukuhkan ‘delivery system’ kerajaan,”katanya.

Beliau berkata, bagi melaksanakan projek-projek dan program-program yang dikenalpasti di bawah hala tuju tersebut peruntukan sebanyak RM14.4 billion adalah diperlukan.