Halaman

14 December 2011

Mara sedia peruntukan usahawan berniaga

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyediakan pembiayaan perniagaan berjumlah RM27.5 juta kepada usahawan dan RM18.3 juta lagi untuk Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (Spike) di Terengganu.

Timbalan Pengarah Mara negeri, Encik Mohd. Tahir Mat Yusof berkata, pihaknya juga menyediakan Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (3P), dan latihan keusahawanan.

“Mara turut memperkenalkan program baru iaitu program UK Dinamik bagi meningkatkan pendapatan kumpulan usahawan kecil dari kalangan penjaja dan peniaga kecil,” katanya.

Menurutnya, program UK Dinamik dilaksanakan melalui skim pembiayaan Islam Al-Ghardul Hasan berkonsepkan kebajikan tanpa caj keuntungan bernilai sehingga RM10,000 di samping khidmat bimbingan, perundingan dan pemasaran.

Selain itu katanya, Mara berjaya melahirkan kira-kira 3,000 usahawan bumiputera sehingga akhir tahun ini dan berharap jumlah berkenaan akan bertambah tahun depan.