Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membelanjakan kira-kira RM43.5 juta bagi menaiktaraf kehidupan 19,427 golongan kurang berkemampuan di Terengganu, sepanjang Januari hingga November tahun ini.
Daripada peruntukan itu, Kuala Terengganu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu RM13.3 juta membabitkan 6,612 penerima, diikuti Marang (RM7.2 juta, 2,997 penerima) dan Besut mencatatkan peruntukan berjumlah RM7 juta dengan bilangan 3,121 penerima.
Manakala bagi Dungun pula sebanyak RM5.7 membabitkan 2,460 penerima; Hulu Terengganu (RM3.9 juta, 1,502 penerima); Kemaman (RM3.8 juta, 1,454 penerima) dan Setiu pula mencatatkan jumlah RM2.8 juta membabitkan seramai 1,381 penerima bantuan.
Mereka yang dikategorikan orang miskin, ibu tunggal, bapa tunggal, anak yatim, anak yatim piatu, orang kurang upaya, orang sakit dan warga emas, layak menerima bantuan itu secara bulanan dengan kadar yang ditetapkan JKM.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata kerajaan negeri melaksanakan pelbagai strategi dan kaedah semata- mata ingin melihat rakyat terutama mereka yang kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah merasai kehidupan lebih selesa.
“Penerima sewajarnya memanfaatkan atau membelanjakan wang bantuan yang diterima itu kepada perkara yang berfaedah supaya mampu keluar daripada dibelenggu kemiskinan,” katanya.