Halaman

15 December 2011

10,000 pengunjung dijangka hadir pada Karnival Jalur Lebar

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 10,000 pengunjung terutama golongan belia dijangka hadir pada Karnival Jalur Lebar 1Malaysia yang akan diadakan di Jertih Souq, Besut.

Karnival selama tiga hari dan bermula 6 Januari tahun depan itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik, termasuk pertandingan konsol guitar hero, cabaran permainan dalam talian, animasi mania, persembahan badut, pertandingan mewarna dan pertandingan karaoke.

Program anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) danTelekom Malaysia itu mampu meningkatkan kesedaran pengguna mengenai betapa pentingnya jalur lebar dalam kehidupan seharian.

Pengurus Acara karnival itu, Wong Ee Shen, berkata pihaknya yakin dengan adanya penganjuran karnival seumpama ini di serata negeri, matlamat untuk mencapai sasaran 75 peratus pengguna jalur lebar menjelang 2015 mampu dicapai.

“Karnival ini bukan saja mampu mempromosikan penggunaan jalur lebar di kalangan masyarakat malah dapat mempertingkatkan kesedaran pengguna tentang fungsinya serta membentuk komuniti celik teknologi maklumat,” katanya.