Kerajaan Negeri Terengganu hari ini memfailkan saman terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Batu Buruk, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan tiga lagi kerana didakwa menerbitkan artikel berunsur fitnah terhadapnya dalam akhbar Harakah pada November lalu.
Kerajaan Negeri selaku plaintif pertama bersama Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said sebagai plaintif kedua serta Mek Hawa Abdul Rahman dan Hamie Azreen Ami Nordin dari Hamie Enterprise sebagai plaintif ketiga dan keempat mendakwa artikel bertajuk 'Seleweng RM30j bantuan sekolah' yang ditulis ADUN Pas itu menjejaskan reputasi mereka dengan teruk.
Artikel yang didakwa berniat jahat itu dipaparkan pada muka surat N5 melalui suara rasmi parti PAS, Harakah bertarikh 11-13 November 2011.
Selain Syed Azman selaku defendan pertama, plaintif menamakan Dato' Mustafa Ali selaku pemegang permit Harakah sebagai defendan kedua, Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman (defendan ketiga) dan pencetak Harakah, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd (defendan keempat).
Writ saman tersebut difailkan oleh peguam plaintif, Abdullah Omar Wahbi Bawadi melalui firma guaman, Tetuan Hisham, Sobri & Kadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Beserta saman berkenaan, Kerajaan Terengganu turut mengemukakan permohonan injunksi bagi menghalang pihak defendan atau pekerja-pekerja atau ejen-ejennya daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan kata-kata yang didakwa fitnah itu atau perkataan yang sama.
Menurut pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, tujuh kenyataan fitnah defendan pertama melalui akhbar Harakah antara lain bermaksud atau secara kiasan beliau memiliki moral politik yang rendah, fitnah yang melampau, bersikap autokratik dan tidak menghormati orang lain.
Sebelum ini, Dato' Seri Ahmad menjelaskan, dalam laporan Ketua Audit Negara kontrak pembekalan pakaian hanya satu tahun iaitu pada tahun 2009 dengan nilai kontrak sebenar RM7.995 juta dan bukannya RM10 juta.
"Tidak disebut dalam laporan Ketua Audit Negara 2010 kononnya berlaku salah lalu dan
penyelewengan serta kebocoran sebaliknya pujian diberikan kerana ia telah dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga miskin," ujarnya.
Katanya, pembekal dilantik setelah membuat perbandingan harga yang ditawarkan syarikat lain iaitu Mysutera Sdn. Bhd. yang dahulunya dikenali sebagai KUB Tekstil Sdn. Bhd. (sebagai tanda aras kualiti) dengan harga yang ditawarkan RM161.60 bagi set lelaki dan RM173.90 bagi set perempuan.
"Tetapi harga yang dibekalkan oleh kerajaan hanyalah RM150. Hanya pada tahun itu kerajaan meluluskan pembelian pakaian untuk mengelak pemberian disalah guna manakala pada 2007, 2008 dan 2010 dalam bentuk wang tunai," ujarnya.
Beliau memberitahu, sebenarnya terdapat salah faham pihak audit terhadap harga yang ditawarkan pembekal berbanding harga di pasaran kerana menganggap ia harga pasang.