Halaman

13 December 2011

Aktiviti laut di Terengganu berbahaya

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk kerja di pelantar minyak di negeri ini adalah berbahaya memandangkan keadaan laut bergelora buat masa ini, menurut Stesen Meteorologi Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam (12 Disember).

Jurucakap stesen itu berkata, angin kencang timur laut selaju 60 kilometer sejam dan ombak setinggi melebihi 5.5 meter dijangka berterusan sehingga 17 Disember ini.

Katanya dalam masa yang sama berlaku air pasang sehingga 13 Disember.

Sementara itu, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata gelombang kedua banjir mula berlaku di Terengganu apabila seramai 196 dari 41 keluarga di Besut dipindah.

Mereka ialah yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Pengkalan Atap Kuala Besut dipindahkan ke balai raya kampung itu.

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran bagaimanapun berkata paras air sungai utama di Terengganu tidak menampakkan tanda-tanda mencemaskan.

"Semuanya berada dalam keadaan stabil dan tidak membimbangkan setakat ini," katanya.

Dalam perkembangan terbaru, kesemua 196 penduduk Kuala Besut yang diarah berpindah itu masih tidak dibenarkan pulang.

Ini kerana ombak besar dan air laut pasang seperti yang berlaku semalam dijangka akan berlaku lagi malam ini, kata anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar.

Ekoran ombak setinggi empat meter yang membadai pantai di situ, dua benteng ombak yang dibina berhampiran perumahan berkenaan runtuh.

Katanya, pihak keselamatan kini diletakkan di kawasan berkenaan bagi memantau keadaan dan memberi laporan tentang keadaan semasa.