Halaman

16 December 2011

Sultan Mizan berkenan rasmi Masjid Sultan Ismail

Oleh FAUZI MOHD

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Masjid Raja atau nama barunya Masjid Sultan Ismail di Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.



Hadir sama pada majlis itu, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, kenamaan negeri dan rakyat jelata.

Masjid yang dibina dengan kos RM7.5 juta itu mengekalkan reka bentuk kubah tradisional Terengganu sebagaimana yang terdapat di Masjid Abidin dan Masjid Simpang Tok Ku di daerah ini.

Masjid itu menempatkan ruang solat tertutup yang mampu memuatkan jemaah seramai 1,000 manakala di ruang solat terbuka pula seramai 1,500 orang.

Semasa bertitah, Sultan Mizan melahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di beberapa daerah di Terengganu tanpa kebenaran pemerintah.

Titah baginda, kejadian seumpama itu boleh mencemar serta menodai kesucian agama Islam seterusnya menyebabkan umat Islam dihina dan dipermainkan.

"Keadaan ini amat menyedihkan Beta selaku ketua agama dan pemimpin umat Islam di negeri ini.

"Oleh itu, beta menyeru rakyat sekelian supaya sama-sama mencari jalan ke arah kedamaian dan kemurnian hubungan antara dua pihak bertelangah agar masyarakat hidup dalam keadaan aman sejarahtera," titah baginda.



Selepas bertitah dan menandatangani plak perasmian, Sultan Mizan kemudian menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan bersama rakyat jelata.

Sesudah solat, baginda berkenan bersalaman dengan rakyat jelata yang berpusu-pusu beratur mengambil kesempatan menatap wajah raja yang disanjung tinggi itu.