Halaman

17 December 2011

Pertandingan asyura KWDI pupuk muafakat

Oleh: Aida Abd Rahman

Semangat muafakat dan keceriaan berjaya dipupuk pegawai dan kakitangan Kelab Wisma Darul Iman (KWDI) yang bergotong- royong mengacau bubur asyura sempena sambutan Hari Keluarga 2011 kelab itu, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, petang semalam (16 Disember).



Acara yang julung kali diadakan di perkarangan stadium berkenaan sebagai meraikan ketibaan bulan Muharam 1433 Hijrah yang turut sinonim dengan penyediaan bubur asyura di kalangan masyarakat Islam di seluruh dunia.
Lebih 1,000 kakitangan daripada sepuluh kelab yang bernaung di bawah KWDI menggembeleng tenaga menyertai acara memasak asyura yang mengambil masa lebih lima jam sebelum dua juri bertindak mengambil markah bagi asyura paling sedap berjaya disediakan peserta.

Kelab Tigers muncul juara, manakala Perbendaharaan mendapat tempat kedua dan ketiga menjadi milik pasukan Lebah. Masing-masing membawa pulang RM300, RM200 dan RM100.



Pengerusi KWDI yang juga Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah turut meluangkan masa menyertai acara itu sambil beramah-mesra dengan pegawai dan kakitangan.

Pada sebelah malam dan keesokannya, kesemua ahli KWDI meneruskan program tahunan itu dengan menyertai pertandingan karaoke, sukaneka serta acara cabutan bertuah yang menyediakan 210 hadiah termasuk sepuluh hadiah `grand finale'.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud turut meluangkan masa ke sambutan itu dan menyampaikan hadiah kepada dua pemenang utama cabutan bertuah yang berupa motosikal berharga lebih RM6,000 seunit.





Bantuan RM500 ringan bebanan mangsa banjir

Oleh: Aida Abd Rahman dan Mastura Jamaldin

Kesulitan yang dihadapi 165 mangsa banjir dari tiga Dewan Undangan Negeri di Parlimen Hulu Terengganu sedikit terubat apabila menerima sumbangan wang tunai RM500 bagi setiap keluarga, baru-baru ini.

Kesemua mangsa dari Kuala Berang, Ajil dan Telemong menerima bantuan yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang, YB Haji Mohd Zawawi Ismail, di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu.
“Kita sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan negeri yang begitu peka permasalahan rakyat lebih-lebih lagi terhadap mangsa banjir.

“Bantuan RM500 yang diberikan ini,kita berharap ianya dapat meringankan beban dan perasaan dukacita mangsa banjir terhadap musibah yang berlaku.Terima kasih juga diucapkan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung serta ketua cawangan yang sentiasa menjaga kebajikan penduduk demi meringankan permasalahan mereka,”kata YB Haji Mohd Zawawi ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Ehsan Kepada Mangsa Banjir 2011 Daerah Hulu Terengganu.

Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Hulu Terengganu, wakil Majlis Keselamatan Negara,pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jurutera Daerah Hulu Terengganu, ketua-ketua jabatan serta penerima-penerima bantuan.

Katanya, kerajaan senetiasa memikir dan merancang sesuatu yang terbaik untuk rakyat. Malah, sebagai pemimpin dan Adun Kuala Berang contohnya, beliau turut berusaha mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah banjir di kawasan beliau.

“Saya bersyukur kerana satu takungan banjir yang melibatkan kos RM5 juta akan dibina untuk mengatasi masalah ini menerusi peruntukan yang disediakan kerajaan untuk kepentingan rakyat,”katanya lagi.



Jabatan Penerangan laksana 486 program

Jabatan Penerangan Terengganu akan melaksanakan 486 program dan aktiviti melibatkan peringkat negeri dan daerah sepanjang tahun ini.

Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu Azizah Awang berkata semua program yang dirancang itu berdasarkan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian dan jabatan.

"Semua program yang akan dijalankan itu adalah mengikut sasaran tertentu dan kesesuaian sesuatu tempat. Setakat ini, sebanyak 25 peratus daripada program itu telah dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Karnival 1Malaysia anjuran jabatan itu di Kolej Islam, Sains dan Teknologi (KIST) cawangan Terengganu di Kuala Berang, baru-baru ini.
Azizah berkata semua aktiviti jabatan itu melibatkan kumpulan sasar seperti Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, kakitangan kerajaan, pelajar sekolah, masyarakat umum dan belia.

Jabatan itu juga mengadakan program Wacana Bicara 1Malaysia di peringkat sekolah selain menubuhkan Kelab Setia di setiap sekolah menengah yang akan membantu menyebarkan dasar kerajaan.

Beliau berkata untuk masyarakat di akar umbi pula, jabatan mewujudkan Komuniti 1Malaysia yang sebelum ini dikenali sebagai Komuniti Bestari di 83 mukim.

Sementara itu, Roomai Nor berkata KIST kini sedang meninjau peluang pendidikan di luar negara.

"Beberapa pegawai tinggi KIST Group Holding kini berada di Pakistan untuk meninjau peluang di negara itu," katanya.

Di Terengganu KIST mempunyai kira-kira 530 penuntut dalam enam jurusan iaitu Diploma Psikologi, Diploma Sains Senaman dan Sukan, Diploma Farmasi, Diploma Teknologi Makmal Perubatan, Diploma Kesihatan Persekitaran dan Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

"Kita akan tambah tiga kursus lagi di sini mulai pengambilan Jun ini iaitu Diploma Pembantu Perubatan, Diploma Kejururawatan dan Diploma Domestik Radioterapi," katanya.


Peruntukan tambahan RM28 juta biaya kenaikan gaji penjawat awam

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan tambahan RM28 juta setahun untuk melaksanakan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan mula dilaksanakan pada tahun depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata peruntukan tersebut melibatkan kenaikan purata pendapatan penjawat awam melibatkan semua agensi negeri, kira-kira 10 peratus.

Beliau berkata, penerangan secara terperinci mengenai SBPA dan borang penukaran kepada skim tersebut yang akan dikendalikan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, akan diadakan minggu depan.

Katanya, penjawat awam masih lagi diberi pilihan sama ada mahu kekal dalam sistem lama atau menyambung perkhidmatan mereka melalui skim baru SBPA.

“Ini bukan paksaan, tetapi penjawat awam diberi peluang untuk kekal dalam skim lama atau memilih skim baru yang membolehkan mereka menikmati kenaikan gaji,” katanya.


11 masjid solat dua Imam di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengesan 11 buah masjid yang tidak diiktiraf kerajaan beroperasi di negeri ini sehingga mendorong berlaku kejadian solat berasingan dalam satu kariah.

Pesuruhjaya JHEAT, Mohd. Rozali Salleh berkata, kebanyakan masjid tersebut terletak di Besut dan Marang.

Bagaimanapun katanya, jumlah masjid tidak diiktiraf kerajaan menurun berbanding 23 buah sebelum ini.

"JHEAT telah membuat pemantauan dan akan menyerahkan laporan lengkap kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk tindakan lanjut.

"Sebuah jawatankuasa kecil akan ditubuhkan bagi memperhalusi perkara itu sebelum dipersembahkan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Masjid Sultan Ismail, Chendering.

Pada majlis itu, Sultan Mizan melahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di beberapa daerah di Terengganu.

Baginda bertitah, kejadian seumpama itu boleh mencemar serta menodai kesucian agama Islam seterusnya menyebabkan umat Islam dihina dan dipermainkan.

Mengulas lanjut, Mohd. Rozali berkata, senario itu dikesan berlaku sejak sekian lama berikutan wujud pihak tertentu cuba menghalang pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan.

"Ada juga segelintir penduduk bertindak luar jangkaan dengan tidur di bawah jengkaut bagi menghalang tindakan kita," katanya.

Beliau juga berharap supaya tiada mana-mana pihak yang mencampuri urusan pentadbiran di masjid-masjid di negeri ini dengan politik atau kepartian.


16 December 2011

DARI LENSA UKOM: SEKITAR HARI KELUARGA KWDI 2011

Gambar oleh Zulkipli Putra














Sultan Mizan berkenan rasmi Masjid Sultan Ismail

Oleh FAUZI MOHD

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Masjid Raja atau nama barunya Masjid Sultan Ismail di Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.



Hadir sama pada majlis itu, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, kenamaan negeri dan rakyat jelata.

Masjid yang dibina dengan kos RM7.5 juta itu mengekalkan reka bentuk kubah tradisional Terengganu sebagaimana yang terdapat di Masjid Abidin dan Masjid Simpang Tok Ku di daerah ini.

Masjid itu menempatkan ruang solat tertutup yang mampu memuatkan jemaah seramai 1,000 manakala di ruang solat terbuka pula seramai 1,500 orang.

Semasa bertitah, Sultan Mizan melahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di beberapa daerah di Terengganu tanpa kebenaran pemerintah.

Titah baginda, kejadian seumpama itu boleh mencemar serta menodai kesucian agama Islam seterusnya menyebabkan umat Islam dihina dan dipermainkan.

"Keadaan ini amat menyedihkan Beta selaku ketua agama dan pemimpin umat Islam di negeri ini.

"Oleh itu, beta menyeru rakyat sekelian supaya sama-sama mencari jalan ke arah kedamaian dan kemurnian hubungan antara dua pihak bertelangah agar masyarakat hidup dalam keadaan aman sejarahtera," titah baginda.



Selepas bertitah dan menandatangani plak perasmian, Sultan Mizan kemudian menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan bersama rakyat jelata.

Sesudah solat, baginda berkenan bersalaman dengan rakyat jelata yang berpusu-pusu beratur mengambil kesempatan menatap wajah raja yang disanjung tinggi itu.



Piala FA - laluan berliku buat skuad Penyu

Oleh FAUZI MOHD

Juara Piala FA musim lalu, Terengganu dapat merasakan laluan yang akan dihadapinya pada saingan tahun depan dalam mempertahankan kedudukannya itu agak berliku dan mencabar.

Namun, jurulatih baru skuad penyu itu, Mat Zan Mat Aris berkata menerusi usaha yang berlipat ganda piala itu dapat dikekalkan terus berada dalam tangan Terengganu.

"Kalau dilihat pada undian semalam memang laluan kita agak sukar," katanya ketika diminta mengulas undian Piala FA 2012 yang diadakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pada undian tersebut Terengganu berkedudukan agak mudah di pusingan pertama tetapi bakal berdepan laluan lebih berliku dan mencabar sekiranya dapat memasuki pusingan kedua.

Terengganu akan bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada sepak mula 18 Feb sebelum berdepan dengan Perak atau Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di pusingan kedua.

Mat Zan berkata mempertahankan kejuaraan Piala FA adalah sasaran Terengganu di tahun depan sementelah pula pemain yang menjadi watak penting dalam pertandingan akhir Piala FA musim lalu masih berada dalam pasukan tahun ini.

"Ini menambahkan keyakinan dan Terengganu akan membuat persiapan benar-benar mantap di setiap aspek kemampuan dalam memastikan Piala FA tidak berhijrah ke negeri lain tahun depan," katanya.


Bantuan Kerajaan kepada rakyat bukan untuk memancing undi

Oleh: Mohammad Ishak

Kerajaan tidak berniat untuk memancing undi melalui pelbagai jenis bantuan yang disalurkan kepada rakyat termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sedang dilaksanakan sekarang kerana ianya dilakukan semata-mata bagi menjalankan tanggungjawab membantu rakyat yang susah disamping mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa menolong kerajaan selama ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz berkata kerajaan membantu rakyat juga adalah bagi memenuhi janji yang rakyat sentiasa didahulukan dalam pentadbiran kerajaan pada masa ini.

“ Inilah antara jenis kebajikan yang dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat yang telah dilaksanakan sejak 50 tahun lalu “, kata Mohamed Nazri yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Perak di perjumpaan dengan penduduk di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut di sini malam tadi.

Justeru, beliau meminta rakyat jangan mudah terpedaya dengan polimik, ucapan maupun ungkapan pihak pembangkang yang cuba menggunakan pendekatan seperti dilakukan kerajaan dalam membantu rakyat dengan menjanjikan slogan negara kebajikan sekiranya diberikan mandat dalam PRU13 nanti.

Namun begitu, Mohamed Nazri sedih dengan sikap pemimpin pembangkang yang sengaja menyuruh pengikutnya menerima setiap bantuan yang disalurkan kerajaan tetapi tidak mengajar mereka supaya bersyukur dengan pemberian apatah lagi untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan.

“ Kita beri tidak kira parti tetapi mereka suruh ambik apa yang UMNO (kerajaan) beri tetapi bila tiba pilihanraya undi mereka (pembangkang) “, katanya lagi.

Mohamaed Nazri menambah kita berharap agar rakyat berfikir dan membuat penilaian yang ikhlas dan jangan terus menerus dijadikan sebagai alat kepada pembangkang hingga menghancurkan negara.

Beliau juga melahirkan rasa sedih dengan tingkah laku yang ditunjukkan oleh ahli-ahli pembangkang wanita termasuk Muslimah dari PAS di parlimen yang ketika berhujah tidak menunjukkan contoh-contoh yang baik sebagai orang islam.

“ Apa yang depa (mereka) keluarkan dari mulut semuanya kasar yang sentiasa dipenuhi fitnah serta maki hamun yang tidak sesuai dilakukan sebagai seorang wanita Islam”, katanya lagi.

Beliau berharap pemimpin dan pengikut pembangkang supaya tidak menggunakan agama sebagai asas untuk memecahbelahkan umat Islam dengan mengadakan fatwa-fatwa yang dibuat sendiri yang tidak berlandaskan al-quran dan hadis.

Mengenai permintaan PAS supaya dua wakil persekutuan menyertai Jawatankuasa Kajian Hukum Hudud , beliau berkata permintaan itu tidak perlu dilayan.

“ Kalau benar perlembagaan PAS itu Al-Quran kenapa pula nak salahkan perlembagaan Malaysia kerana mereka sepatutnya boleh melakukannya di negeri-negeri yang mereka kuasai seperti di Kelantan dan Kedah”, jelas Mohamed Nazri lagi.

Katanya, kalau tidak mampu melakukannya , janganlah menyalahkan orang lain bagi mengelirukan rakyat.







15 December 2011

Kerajaan Terengganu saman ADUN PAS, Harakah

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan Negeri Terengganu hari ini memfailkan saman terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Batu Buruk, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan tiga lagi kerana didakwa menerbitkan artikel berunsur fitnah terhadapnya dalam akhbar Harakah pada November lalu.

Kerajaan Negeri selaku plaintif pertama bersama Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said sebagai plaintif kedua serta Mek Hawa Abdul Rahman dan Hamie Azreen Ami Nordin dari Hamie Enterprise sebagai plaintif ketiga dan keempat mendakwa artikel bertajuk 'Seleweng RM30j bantuan sekolah' yang ditulis ADUN Pas itu menjejaskan reputasi mereka dengan teruk.

Artikel yang didakwa berniat jahat itu dipaparkan pada muka surat N5 melalui suara rasmi parti PAS, Harakah bertarikh 11-13 November 2011.

Selain Syed Azman selaku defendan pertama, plaintif menamakan Dato' Mustafa Ali selaku pemegang permit Harakah sebagai defendan kedua, Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman (defendan ketiga) dan pencetak Harakah, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd (defendan keempat).

Writ saman tersebut difailkan oleh peguam plaintif, Abdullah Omar Wahbi Bawadi melalui firma guaman, Tetuan Hisham, Sobri & Kadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Beserta saman berkenaan, Kerajaan Terengganu turut mengemukakan permohonan injunksi bagi menghalang pihak defendan atau pekerja-pekerja atau ejen-ejennya daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan kata-kata yang didakwa fitnah itu atau perkataan yang sama.

Menurut pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, tujuh kenyataan fitnah defendan pertama melalui akhbar Harakah antara lain bermaksud atau secara kiasan beliau memiliki moral politik yang rendah, fitnah yang melampau, bersikap autokratik dan tidak menghormati orang lain.

Sebelum ini, Dato' Seri Ahmad menjelaskan, dalam laporan Ketua Audit Negara kontrak pembekalan pakaian hanya satu tahun iaitu pada tahun 2009 dengan nilai kontrak sebenar RM7.995 juta dan bukannya RM10 juta.

"Tidak disebut dalam laporan Ketua Audit Negara 2010 kononnya berlaku salah lalu dan
penyelewengan serta kebocoran sebaliknya pujian diberikan kerana ia telah dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga miskin," ujarnya.

Katanya, pembekal dilantik setelah membuat perbandingan harga yang ditawarkan syarikat lain iaitu Mysutera Sdn. Bhd. yang dahulunya dikenali sebagai KUB Tekstil Sdn. Bhd. (sebagai tanda aras kualiti) dengan harga yang ditawarkan RM161.60 bagi set lelaki dan RM173.90 bagi set perempuan.

"Tetapi harga yang dibekalkan oleh kerajaan hanyalah RM150. Hanya pada tahun itu kerajaan meluluskan pembelian pakaian untuk mengelak pemberian disalah guna manakala pada 2007, 2008 dan 2010 dalam bentuk wang tunai," ujarnya.

Beliau memberitahu, sebenarnya terdapat salah faham pihak audit terhadap harga yang ditawarkan pembekal berbanding harga di pasaran kerana menganggap ia harga pasang.