Halaman

20 December 2011

Kejohanan Sepaktakraw Piala Menteri Besar Mac depan

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSNT) akan menganjurkan Kejohanan Sepaktakraw Terbuka Piala Menteri Besar Terengganu pada tahun depan sebagai usaha menyemarakkkan sukan itu.

Presidennya yang juga Naib Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Mohd Shapian Ali berkata kejohanan itu akan berlangsung pada awal bulan Mac dan terbuka kepada semua pasukan negeri dan kelab.

"Kejohanan itu akan menjadi landasan bagi melahirkan pemain-pemain untuk negara pada masa depan," katanya baru-baru ini.

Beliau berharap dengan adanya kejohanan itu nanti yang sebelum ini diadakan di peringkat negeri Terengganu sahaja, suasana sukan sepak takraw negara yang ketika ini agak suram dan sepi akan kembali meriah.

PSNT juga akan mengadakan kejohanan sepaktakraw super siri untuk peringkat negeri Terengganu mulai tahun depan sebagai salah satu usaha menyemarakkan sukan itu.

Kata Mohd Shapian, kejohanan yang bakal diperkenalkan PSNT itu melibatkan pasukan daerah-daerah di negeri berkenaan dan sekaligus menarik minat belia dalam sukan tersebut.

"Namun begitu kejohanan-kejohanan itu tidak bermakna PSNT akan mengabaikan acara sukan sedia ada, malah akan memantapkannya lagi pada tahun depan.

"Acara sukan itu antaranya kejohanan sepaktakraw bawah 21 tahun sebagai gelanggang untuk mencungkil bakat-bakat baru dan kejohanan antara regu Piala Presiden PSNT," ujarnya.

Beliau berkata dalam masa yang sama, PSNT akan memperhebatkan lagi kejohanan sepaktakraw antara regu wanita di negeri ini.


19 December 2011

Tasik Kenyir zon pancing bertaraf dunia

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri optimis untuk menjadikan Tasik Kenyir sebagai zon kaki pancing bertaraf dunia apabila usaha untuk mengekal serta menambah saiz populasi pelbagai spesies ikan giat dijalankan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, selain mengazetkan Santuari Kelah sepanjang tiga kilometer di Sungai Petang, usaha turut digiatkan dengan melepaskan benih dan ikan induk yang diancam kepupusan.

Menurutnya, spesis ikan air tawar yang diancam kepupusan seperti lampam, kerai, tenggalan dan siakap putih antara yang sedang dibiakkan di tasik berkenaan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Isu penangkapan ikan secara tidak terkawal tidak lagi berbangkit apabila usaha pemeliharaannya melibatkan pewartaan beberapa kawasan yang luas seperti Sungai Leban dan Sungai Petang di tasik ini.

“Dalam tempoh beberapa tahun lagi, kita harapkan tiada lagi pengunjung yang mengeluh kerana semakin sukar untuk memperoleh hasil tangkapan di tasik ini yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai syurga kaki pancing,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pelepasan Benih Ikan di Sungai Leban, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharom, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi LKIM, Dato’ Mohd. Jidin Shafie.

Pada majlis itu, 10,500 benih ikan siakap putih dilepaskan dengan melibatkan kos RM23,000 daripada kos keseluruhan program itu berjumlah RM100,000.

Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad memberitahu, spesis sikap yang mampu membesar sehingga 23 kilogram seekor itu mampu mengembalikan Tasik Kenyir sebagai yang menjadi buruan kaki pancing serata dunia termasuk China, Korea, Indonesia dan Singapura.

Katanya, kewujudan Pusat Pembenihan Ikan Air Tawar di Kampung Sungai Chamar, di sini dan Pusat Pembenihan dan Asuhan Ikan Laut Berteknologi Tinggi di Kampung Limau Nipis, Setiu dengan kos pembinaan RM12.6 juta awal tahun lalu merancakkan program berkenaan.

“Sehingga kini terdapat 38 spesies ikan di Tasik Kenyir dan apa yang penting spesies itu bukan sekadar boleh dipancing malah boleh dilihat dan sesuai dijadikan lokasi untuk kegiatan penyelidikan,” ujarnya.


Keputusan PMR diumum Khamis ini



Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 akan diumumkan Khamis ini (22 Disember).

Menurut satu kenyataan Kementerian Pelajaran yang dikeluarkan hari ini, analisis keputusan PMR akan diumumkan di Putrajaya pada hari berkenaan.

"Calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing selepas 10 pagi pada hari sama," menurut kenyataan itu.

Mulai tahun ini, kementerian memperkenalkan khidmat semakan keputusan PMR melalui mySMS 15888 yang diaktifkan mulai 10 pagi Khamis hingga 12 tengah malam, 28 Dis.

Maklumat lanjut berhubung khidmat pesanan ringkas (SMS) itu boleh diperoleh di laman sesawang kementerian www.moe.gov.my.

Seramai 23,157 calon di Terengganu menduduki Penilaian Menengah Rendah pada bulan Oktober lalu.

Daripada jumlah itu, 91 calon adalah pelajar Pendidikan Khas terdiri daripada enam calon masalah penglihatan, pendengaran (10), pembelajaran (75) dan kurang upaya fizikal (9).

Seramai 481,292 calon menduduki peperiksaan PMR di seluruh negara tahun ini.
Terengganu telah menjuarai peperiksaan selama tiga tahun berturut-turut mulai tahun 2009.

PPT akan buka ladang sawit

Oleh; Esah Abdullah

Pulangan lumayan yang diperolehi melalui industri kelapa sawit telah mendorong Pertubuhan Peladang Terengganu (PPT) memajukan tanaman itu secara besar-besaran.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPT, Dato’ Haji Wan Zakaria Abdul Rahman berkata, PPT akan terus mencari kawasan baru untuk mengembangkan industri berkenaan di negeri ini.

“Setakat ini kita ada 400 hektar tanah berkelompok yang dibeli daripada individu di negeri ini dan akan dimajukan secara berperingkat sedikit masa lagi,” katanya.

Katanya, pihak lembaga masih berminat untuk membeli tanah-tanah terbiar yang sesuai untuk tanaman kelapa sawit jika ada individu yang sedia menawarkan harga yang berpatutan.

Sehubungan itu PPT juga akan memajukan kira-kira 200 hektar tanah di Langkap, Setiu dengan tanaman yang sama di samping mengurus ladang-ladang kecil milik persendirian dan milik Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Katanya, sehingga ini pertubuhan mempunyai 38,000 keahlian seluruh negeri dan sedia merekrut ahli baru dalam usaha membantu mewujudkan golongan peladang, petani berdaya maju.




Kenyir Motocross promosi Tasik Kenyir

Oleh:Aida Abd Rahman

Kejohanan Kenyir Motocross Monsoon Challenge 2011 yang dianjurkan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Tasik Kenyir bertujuan mempromosikan tasik buatan manusia itu kepada umum khususnya kepada pelancong dalam dan luar negara.

Pengurus Besar Ketengah, Encik Wan Mat Amin Wan Daud, berkata program itu juga diadakan bagi memperkaya atau mempelbagaikan aktiviti Sport Tourism di tasik terbesar buatan manusia itu.

"Kejohanan motocross ini merupakan kali kelima kita adakan di sini, tetapi kali pertama ia dikenali sebagai Kenyir Motocross Monsoon Challenge, di mana ia berlangsung dalam keadaan hujan sepanjang hari.

"Kita terima sambutan yang memberangsangkan daripada peminat motocross dari Jerman, Thailand dan Malaysia sendiri," katanya.

Kejohanan itu diadakan dalam sembilan ketegori melibatkan 170 peserta dengan menawarkan hadiah keseluruhan RM40,000, piala serta hadiah sampingan yang lain.

Encik Wan Mat Amin berkata, kejohanan itu merupakan program terakhir daripada 12 program yang diadakan Ketengah di tasik itu tahun ini.

Pada tahun depan, pelbagai program lagi bakal dilaksanakan termasuk `motocross’, `International Triathlon’, kejohanan memancing `Kenyir Cup’ dan pertandingan ayam serama.

"Kita juga merancang untuk mengadakan `Mini Kenyir Fest’ pada tahun hadapan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke tasik itu," katanya.

Pada kejohanan yang berlangsung selama dua hari, peserta dari Jerman Daniel Sediak muncul juara bagi kagetori Expert dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 serta hadiah sampingan yang lain.

Manakala Kategori Novice A dimenangi Mohd Izat Azwan (RM1,500), Kategori Novice B ( Sharum Nizam Mohd Nazri (RM1,000), Kategori Junior pula dimenangi Mohd Izuddin Zulkifli (RM1,000) dan Kategori Endurance Open pula dirangkul Looi Son Kim (RM1,000).

Kategori Endurance Veteran pula dimenangi Mohd Jefri Abdullah (RM1,000), Kategori Cub Cross 4T - Azwadi Mohamad (RM1,000), Kategori Cub Cross 2T dirangkul Mohd Hassan Wahab (RM1,000) dan Kategori Cub Cross (Terengganu) Mohd Abdul Salam (RM1,000).





RM34,000 bakal jadi rebutan di ABN

Oleh; Esah abdullah

Sebanyak sembilan kategori termasuk lapan kategori individu bakal menjadi rebutan 540 pertubuhan belia berdaftar dengan 35,000 keahlian di seluruh negeri bersempena majlis Anugerah Belia Negara (ABN) peringkat negeri yang akan berlangsung di Primula Beach Resort esok (Selasa).

Pegawai Pembangunan Sosial Ekonomi Jabatan Belia dan Sukan negeri, Fikri Mahmud berkata, lapan kategori individu yang dipertandingan itu melibatkan Aktivis Sosial, Kepimpinan, Inovasi dan Kreativiti , Usahawan Agro dan Usahawan.

“Manakala kategori individu lain yang turut dipertandingkan ialah Daya Juang Malaysia Boleh, Tokoh Belia Lelaki dan Tokoh Belia Wanita,” katanya.

Katanya, kira-kira RM34,000 hadiah wang tunai disediakan untuk pemenang ABN tahun ini.

Tambahnya, kategori individu masing-masing menerima wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan manakala kateogri persatuan belia akan menerima wang tunai RM10,000 dan sijil penghargaan.

Menurut Fikri, anugerah tersebut merupakan program tahunan sebagai menghargai jasa dan sumbangan persatuan serta individu yang banyak membantu dalam meningkatkan pembangunan belia di peringkat negeri khasnya dan negara amnya.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat (gambar atas kiri) dijangka merasmikan majlis tersebut serta menyampaikan hadiah kepada pemenang.





18 December 2011

Enam fasa pemantapan lonjak kualiti penyelidikan

Oleh; Esah Abdullah

Sekurang-kurangnya enam perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam fasa pemantapan penyelidikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi tempoh 2011-2015.

Antaranya, menghasilkan kualiti penyelidikan berimpak tinggi, sistem mentor mentee, penyelidikan multi-disiplin, etika penyelidikan dan system penarafan – Malaysia Research Assessment (MyRA).

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman (gambar kanan) berkata, fasa ini bakal merubah fizikal UMT bagi menyokong kativiti penyelidikan dapat dilaksana dengan berkesan hasil kemudahan fizikal termasuk pembinaan Makmal Berpusat Akreditasi.

“Para penyelidik perlu mengekalkan konsep ‘penyelidik berintegriti’ yang terus memelihara moral dan integrity yang tinggi dalam melaksanakan kajian dan penyelidikan,” katanya.

Katanya kesibukan tugas tidak harus dijadikan penghalang untuk menghasilkan kualiti penyelidikan dan penerbitan yang lebih tinggi.




Stadium mula dibaiki awal tahun depan

Oleh: Aida Abd Rahman


Kerajaan negeri akan memastikan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang terbiar akibat struktur bumbungnya runtuh dua tahun lalu mula dibaiki awal tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri mengambil keputusan itu selepas mendapati semakin banyak kerosakan berlaku pada stadium itu akibat terbiar dalam tempoh yang lama sebaik kejadian runtuhan itu.
"Kita akan mula baiki kawasan padang sebelum membaiki bahagian bumbung stadium. Kerja membaiki bumbung stadium akan mengambil masa kerana banyak struktur mengalami kerosakan dan memerlukan reka bentuk baru,"katanya.

Menurutnya, Jabatan Kerja Raya akan mengeluarkan tender sebut harga untuk kerja-kerja berkenaan dalam masa terdekat.

"Kita tidak akan buat bumbung biasa dan mungkin buat bumbung seperti bumbung Stadium Bukit Jalil (di Kuala Lumpur) yang lebih ringan," katanya yang turut tidak pasti berhubung kos baik pulih berkenaan.

Menteri Besar berkata, sebaik kerja membaik pulih padang siap, perlawanan bola sepak akan dilangsungkan di stadium itu, tetapi hanya pada siang hari kerana stadium berkenaan masih mengalami masalah lampu limpah.

Stadium berkenaan mengalami kerosakan apabila bumbung utama runtuh pada 2 Jun 2009 selepas kira-kira setahun digunakan bagi kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2008.

Kemudahan gelanggang boling dan skuasy turut disediakan di stadium yang boleh memuatkan 50,000 penonton dan terbesar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia itu.



Bekas aktivis PAS Besut mahu Pemimpin parti itu selesai masalah solat Jumaat berasingan

Oleh: Mohammad Ishak

Bekas aktivis PAS Kawasan Besut mahu pemimpin parti itu membantu menyelesaikan masalah solat Jumaat berasingan yang masih berlaku di negeri ini kerana ia memecahkan belahkan masyarakat Islam akibat kejadian yang berlaku lebih 20 tahun itu.

Raja Ayub Raja Kecik, 59, bekas Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Besut , meletakkan tanggungjawab itu kepada Presiden Pas,Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana beliaulah orang yang bertanggungjawab mencetuskan isu berkenaan menyebabkan umat Islam mendirikan solat Jumaat berasingan dalam satu kampung.

Katanya,kejadian yang memalukan itu tidak akan berlaku jika Abdul Hadi tidak mengeluarkan “Amanat Hai Hadi” kepada penyokong yang mengkafirkan orang Umno kerana bekerjasama dengan orang Cina dalam MCA.


“Disebabkan amanat itulah penyokong setia PAS masih mengerjakan solat berkenaan kerana tidak mahu berimamkan orang Umno kerana dituduh kafir,” katanya.

Beliau ingin bertanyakan penyokong PAS bagaimana kedudukan mereka sekarang selepas PAS kini bekerjasama dengan Cina dari DAP,tidakkah mereka juga kafir.

Raja Ayub yang menyertai UMNO pada 2000 selepas PAS berjaya memerintah Terengganu, berkata , beliau dan ramai aktivis lain dalam PAS turut tertipu dengan Amanat Haji Hadi menyebabkan beliau ketika itu begitu percayakannya hingga sanggup menyertai solat di masjid yang tidak diiktiraf kerajaan.

Beliau berkata, walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk membendung kejadian itu tetapi ia masih gagal dan penyokong PAS terus menjadikan markas dan masjid PAS sebagai tempat solat Jumaat berasingan.

Menurutnya, titah Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin sepatutnya dipatuhui oleh penyokong PAS malah pemimpin parti itu hendaklah bertanggungjawab terhadap apa yang sedang berlaku sekarang.

Ketika ini masih ada 9 masjid PAS di daerah Besut yang dijadikan tempat mereka mendirikan solat Jumaat berasingan setiap minggu.




YPKT sedia modul seiringan program Permata Negara

Oleh: Aida Abd Rahman

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menyediakan pelbagai kursus kepada ibu bapa bagi memastikan golongan itu dibekalkan dengan ilmu pengasuhan dan pendidikan yang seiringan dengan kurikulum program Permata Negara.

Antara kursus dan bengkel keibubapaan termasuk Bengkel Menggilap Potensi Awal Kanak-kanak, Bengkel Bermain di Taska, Bengkel Kreatif Bersama Ibu Bapa dan Bengkel Urutan Bayi.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata usaha yang dilaksanakan YPKT itu sebagai pendedahan supaya golongan ibu bapa memahami konsep kepentingan program Permata Negara yang bakal diterapkan kepada anak-anak mereka kelak.

Katanya, selain kursus dan bengkel berkenaan, pihaknya turut menekankan isu pemakanan yang menjadi elemen penting dalam pembangunan serta perkembangan minda awal kanak-kanak.

“Kerajaan melalui YPKT bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu bagi mengadakan satu bentuk menu berkhasiat dan berkualiti menggunakan sumber pemakanan asas-asas dengan kos hidangan yang lebih rendah,” katanya di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menurut beliau, kerajaan juga berharap agar dengan adanya menu pemakanan yang sihat bersesuaian dengan diet dan nutrisi yang terkandung dalam menu itu mampu membantu perkembangan minda kanak-kanak.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata bermula tahun ini, YPKT mengambil inisiatif memasukkan kurikulum Program Cahayaku Cepat Membaca kepada anak-anak berumur tiga hingga empat tahun bagi mengasah minda dan mengenal huruf ketika kecil lagi.

Malah, usaha itu bagi memastikan kanak-kanak berkenaan berupaya membaca dengan baik apabila mereka mula memasuki tadika sebaik sahaja berusia lima tahun kelak.