Halaman

21 December 2011

Peyatim sasar RM380 juta jualan Skim Tanah Wakaf Pendidikan

Oleh FAUZI MOHD

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) menyasarkan jualan berjumlah RM380 juta daripada Skim Tanah Wakaf Pendidikan Anak Yatim dan Miskin dalam tempoh lima tahun akan datang.

Presiden Peyatim Dato’ Dr Tengku Mahmud Mansor berkata tanah seluas 128 hektar di Mukim Tasik, Setiu itu mula dijual dan diwakafkan dengan kadar RM300 bagi setiap meter persegi mulai Disember tahun lepas.

"Kini, kita telah mendapat lebih RM1 juta daripada derma wakaf.


“Skim Derma Wakaf Pendidikan ini dapat membantu anak-anak yatim dan miskin melanjutkan pelajaran sama ada dalam bidang akademik ataupun kemahiran di Kolej Teknologi Bestari (KTB) dan Institut Kemahiran Bestari (IKB),” katanya semalam.

Katanya, skim itu turut membantu membangunkan infrastruktur di kampus KTB di Pak Kancil, Setiu dan IKB di Saujana, Setiu.

Terengganu import 30 hingga 40 peratus daging ayam

Oleh: Aida Abd Rahman

Permintaan terhadap daging ayam yang tinggi di seluruh daerah menyebabkan Terengganu terpaksa mengimport antara 30 hingga 40 peratus daging ayam setahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Asha'ari Idris, berkata pengimportan barang kawalan itu bagi menampung keperluan penduduk yang memilih ternakan itu sebagai menu utama sajian serta seiring dengan pertambahan penduduk Terengganu.
Beliau berkata, berdasarkan kepada populasi penduduknya, Terengganu memerlukan kira-kira 35,000 tan metrik daging ayam setahun.

"Pengeluaran daging ayam di Terengganu hanya kira-kira 23,000 tan atau 70 peratus setahun menyebabkan kita terpaksa mengimport keperluan selebihnya," katanya .

Terengganu memiliki kira-kira 300 ladang ayam dengan jumlah penternak melebihi 2,000 orang yang dapat mengeluarkan antara 5,000 hingga 50,000 ekor ayam bagi satu pusingan pengeluaran.

YB Asha'ari berkata jumlah keperluan daging ayam semakin meningkat dari semasa ke semasa seiring dengan pertambahan penduduk Terengganu sebanyak 1.4 peratus setahun.



Ujian Kafa – Terengganu catat kelulusan 100 peratus, 4,212 calon dapat 8A

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu terus berada di kedudukan teratas buat tiga tahun berturut-turut apabila mencatatkan jumlah calon paling ramai mendapat 8A iaitu 4,212 calon dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) di seluruh negara tahun ini.

Jumlah itu merupakan 23.8 peratus daripada semua 17,684 calon yang berjaya mencatatkan keputusan 8A dari seluruh negara yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, semalam.

Katanya, calon paling ramai mendapat 8A adalah dari Terengganu iaitu seramai 4,212 calon diikuti Kelantan (4,074) dan Kedah (2,478).

"Keputusan UPKK 2011 menunjukkan terdapat 12 buah negeri telah mencapai keputusan cemerlang apabila mencatatkan kelulusan 100 peratus.

"Negeri terlibat ialah Kedah, Terengganu, Kelantan, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Sarawak, Melaka, Johor, Pahang dan Perlis," katanya.

Seramai 189,594 calon menduduki UPKK yang dikelolakan oleh Jakim pada 3 hingga 6 Oktober lalu.

Ia melibatkan lapan mata pelajaran iaitu Amali Solat, Penghayatan Cara Hidup Islam, Bidang al-Quran, Ulum Syariah (Aqidah & Ibadah), Pelajaran Jawi, Sirah, Adab (Akhlak Islamiah) dan Lughatul Quran.

Katanya, keputusan itu menjadi penanda aras kepada kejayaan pelajar dalam menguasai ibadat solat, tilawah al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan.


20 December 2011

Kekal prestasi tahunan-Pengurus Besar PMINT

Oleh: Aida Abd Rahman

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) berhasrat mengekalkan kejayaan yang diraih sepanjang tahun ini termasuk penarafan tertinggi empat bintang bagi Pengurusan Kewangan PMINT dalam Laporan Audit Negara 2010.

Selain itu, PMINT turut meraih Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2001 dan Persijilan Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S 2011 buat tahun kedua berturut-turut.

Pengurus Besar PMINT, Dato’ Osman Muda berkata, pihaknya tidak mahu mendabik dada dan alpa dengan pencapaian yang diraih sepanjang tahun ini.

Sebaliknya, beliau mahu semua kakitangan mengekalkan kejayaan dan pengiktirafan itu pada masa akan datang supaya perbadanan itu dipandang tinggi serta memiliki pengurusan yang baik dan cemerlang.

Katanya, bagi mengekalkan kejayaan itu, semua pihak terutama pegawai dan kakitangan PMINT harus mempunyai sikap terbuka, meningkatkan ilmu dalam diri dari semasa ke semasa.

“Malah, kita juga perlu menambah ilmu pengetahuan dalam bidang yang diceburi dan bersedia serta sanggup melakukan transformasi mengikut perkembangan semasa,” katanya ketika Majlis Makan malam MPINT, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail.

Dato’ Osman juga berharap supaya semua anak syarikat PMINT yang dikesan bermasalah dapat mengatasi masalah yang timbul serta mematuhi peraturan yang ditetapkan Jabatan Audit Negara bagi memastikan perbadanan itu dapat mengekalkan prestasi cemerlang yang diraih sebelum ini.




Bina 6,757 rumah dalam tempoh tiga tahun

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri membina 6,757 unit rumah awam kos rendah dan mampu milik dalam tempoh tiga tahun membabitkan kos hampir RM700 juta tanpa melibatkan pinjaman daripada Kerajaan Pusat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) giat melaksanakan projek perumahan bagi memastikan sasaran sebanyak 10,000 unit rumah bagi tempoh lima tahun (2008-2013) di seluruh Terengganu.

“Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga sedang menyusun semula Bandar Kuala Terengganu. Kita tahu nilai tanah di Bandar Kuala Terengganu mahal yang menyebabkan kita terpaksa mengambil balik tanah ini dengan harga yang tinggi.

“Kita mahu memastikan geopolitik masyarakat Melayu dapat dikekalkan dalam bandar. Contohnya, apabila kita mengambil balik 15 ekar tanah di Ladang Tok Pelam yang harga mengambil balik tanah melibatkan RM80 juta. Seterusnya kita akan tempatkan penduduk terlibat dalam satu penempatan yang sama iaitu di Ladang Gemilang (Pangsapuri),” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam PMINT, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail dan Pengurus Besar PMINT, Dato’ Osman Muda.

Dalam perkembangan yang sama, Menteri Besar turut memuji langkah pengurusan PMINT yang melakukan transformasi baru dengan hanya memberi tumpuan kepada bidang pelaburan tertentu yang berdaya saing dan mampu menjana keuntungan kepada perbadanan itu.

“Tiada makna kita mempunyai anak syarikat yang banyak tetapi menjejaskan prestasi kita.Walaupun antara perbadanan terawal yang dibangunan di negara kita, banyak perkara PMINT ketinggalan dan dulu banyak bidang yang diceburi sehinggakan perkara yang tiada kepakaran pun mahu niaga menyebabkan kita terpaksa gulung tikar.

“Kita mahu melihat PMINT berdaya saing dan mengorak langkah bagi menentukan hala tuju barunya sebagai agensi terbesar kerajaan yang terlibat dalam pembangunan ekonomi serta fizikal negeri selain mampu menambah lebih ramai kakitangan,” katanya.

Beliau sebelum itu turut berbangga dengan kejayaan PMINT yang memperolehi penarafan empat bintang daripada Jabatan Audit Negara baru-baru ini.





Pas perlu bertanggungjawab selesai isu dua solat Jumaat satu kariah

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pemimpin Pas perlu bertanggungjawab melarang pengikut parti itu daripada meneruskan kegiatan mendirikan dua solat Jumaat dalam satu kariah kerana perbuatan itu haram di segi hukum syarak, demi menjaga kesucian Islam.

Mereka perlu akur dengan pandangan ulamak bahawa perbuatan tersebut salah di sisi agama dan sebagai pengikut mahzab Shafie umat Islam dilarang menunaikan solat Jumaat berasingan dalam satu kariah.

Mufti Perak, Tan Sri Harusani Zakaria dalam kenyataannya semalam menegaskan mengikut mazhab Shafie, umat Islam dilarang menunaikan solat Jumaat berasingan dalam satu kariah dan solat yang sah hanyalah solat didirikan di masjid yang diiktiraf dan diperkenan Sultan selaku Ketua Agama Negeri.

Beliau berkata, umat Islam di negara ini tidak boleh mengikut kaedah yang digunapakai di negara Arab yang mengikut mazhab Hanafi kerana tiada istilah surau dalam mazhab tersebut, malah bukan semua masjid boleh mendirikan solat Jumaat.

Di Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengesan 11 masjid yang tidak diiktiraf kerajaan beroperasi di negeri ini sehingga mendorong berlaku kejadian solat berasingan dalam satu kariah.

Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohd. Rozali Salleh berkata, kebanyakan masjid tersebut terletak di Besut dan Marang.

Bagaimanapun katanya, jumlah masjid tidak diiktiraf kerajaan menurun berbanding 23 buah sebelum ini.

Pada majlis perasmian Masjid Sultan Ismail, Chendering, baru-baru ini Sultan Terengganu sebagai ketua agama melahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di beberapa daerah di Terengganu.

Baginda bertitah, kejadian seumpama itu boleh mencemar serta menodai kesucian agama Islam seterusnya menyebabkan umat Islam dihina dan dipermainkan.

Kegiatan dua solat Jumaat dalam satu kariah berpunca daripada Amanat Haji Hadi yang dikeluarkan Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dalam satu ceramah di Banggol Peradong, hampir 30 tahun lalu.

Bermula dari situ berpuluh-puluh masjid yang tidak diiktiraf dan surau di negeri ini mula menunaikan solat Jumaat walaupun masjid yang diiktiraf kerajaan telah sejak sekian lama diwartakan sebagai tempat umat Islam menunaikan ibadat tersebut.

Selepas perbuatan tersebut ditegur oleh Sultan Terengganu, amat wajarlah pemimpin Pas mengambil peranan membantu kerajaan membanteras kegiatan itu, demi perpaduan umat Islam.

Dalam hal ini, pemimpin Pas tidak boleh membiarkan isu ini berlarutan kerana kepentingan politik parti itu semata-mata, tetapi masalah umat Islam sejagat perlu diberi keutamaan.



JPW bantu tingkat kemahiran ibu tunggal

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Terengganu membelanjakan kira-kira RM270,000 dalam usaha meningkatkan kemahiran dan ekonomi golongan wanita termasuk ibu tunggal dan belia tahun ini.

Penolong Pengarah JPW negeri, Puan Rafiah Sulaiman berkata, daripada peruntukan tersebut sebanyak 38 kursus telah dianjurkan dengan pelbagai kemahiran yang memberi manfaat kepada kira-kira 1,500 peserta di seluruh negeri,

Katanya, antara program yang diperkenalkan ialah `jejari bestari’ yang melatih mereka dalam bidang gubahan, dan jahitan sebagai dorongan mereka dapat mengusahakannya sendiri.

``Selain itu program ` kraf kreatif’ yang memberi pendedahan mengenai bidang masakan dan jahitan langsir serta `Imarah Rumah Nur’ dengan aktiviti motivasi dan jahitan,’’ katanya.

Menurutnya, adalah menjadi matlamat jabatan melalui program yang dianjurkan itu dapat membantu meningkatkan ekonomi keluarga dan sekaligus mengurangkan kadar kemiskinan.

Selain itu, JPW negeri juga turut mengadakan program Inkubotur Kemahiran yang diberi khusus kepada golongan ibu tunggal.

Katanya, melalui program itu dua fasa telah dilaksanakan yang membabitkan fasa pertama dalam bidang menggunting rambut dan fasa kedua dalam bidang masakan.

``Bagi program tersebut kita bekerjasama dengan Kolej Komuniti negeri untuk melatih dan memberi kemahiran kepada peserta,’’ ujarnya.





RISDA sedia peruntukkan RM2 juta untuk pekebun kecil Daerah Besut

Oleh: Mohammad Ishak



Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Getah (Risda) daerah Besut memperuntukkan RM2 juta kepada pekebun kecil daerah Besut bagi program tanam semula getah tahun depan.

Peruntukkan itu bertujuan untuk memberi galakkan kepada pekebun kecil yang memiliki tanah dan menanam semula komuditi berkenaan bagi menambah hasil pendapatan penoreh getah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi MARA berkata, pekebun kecil hendaklah merebut peluang yang disediakan oleh agensi itu kerana ia bertujuan membantu petani menambah pendapatan.

Katanya, peneroh getah kini boleh berbangga kerana maampu meraih pendapatan lumayan berikutan kenaikan harga komuditi berkenaan malah ada penoreh yang mampu meraih sehingga RM15, 000 sebulan.

“Usaha yang dilakukan oleh RISDA melalui prlbagai program dan pningkatan hasil torehan sebahagian usaha kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah memperolehi hasil lumayan,” katanya selepas penyerahan replika cek Risda kepadape kebun kecil Daerah Besut di Jertih semalam.

Idris turut menyertai proses menabur baja sempena program Kempen Membaja anjuran RISDA Daerah Besut di Kampung Bukit Bunga, Hulu Besut.Hadir sama ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad.

Beliau berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah melaksanakan pelbagai program kebajikan untuk rakyat dan tidak perlu lagi model Negara Berkebajikan seperti yang diwar warkan oleh sesetengah pihak.

Menurutnya, pemimpin pembangkang kini sudah bergerak menababur janji bagi menarik sokongan rakyat terhadap mereka tetapi rakyat sudah tahu antara kerajaan yang mampu memberi kebajikan kepada rakyat atau memberi janji kosong.





JKKK Dun Bandar terima tunggakan elaun RM67,000


Oleh FAUZI MOHD

Seramai 48 Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar menerima bayaran tunggakan mereka dalam satu majlis malam kelmarin.

Penyerahan bayaran yang keseluruhan lebih RM67,000 itu berikutan kenaikan elaun perkhidmatan Januari lalu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Toh Chin Yaw.

Dato’ Chin Yaw yang juga ADUN Bandar berkata, jika sebelum ini kerajaan memberi elaun sebanyak RM450 sebulan

telah dinaikkan kepada RM800 sebulan mulai Januari lalu iaitu kenaikan RM350 sebulan.

Katanya, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha JKKK masing-masing turut menerima kenaikan RM150 dan RM100.

“Bayaran kadar baru ini dibuat selepas kerajaan mengambil kira perkhidmatan mereka semakin membebankan selain kos sara hidup semakin meningkat sekarang,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Tunggakan itu di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu.




Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Sabri Alwi dan Penyelaras UMNO DUN Bandar, Dato’ Ibrahim Mohamad.

Caj RM1 untuk rawatan warga emas dihapus

Berita baik untuk warga emas, mulai 1 Januari 2012, Kementerian Kesihatan menghapuskan caj pendaftaran pesakit sebanyak RM1 kepada semua warga emas berusia 60 tahun ke atas, di Jabatan Pesakit Luar Am, semua hospital dan klinik kerajaan.

Setiausaha Bahagian Kewangan kementerian, Wong Foong Lai, berkata pelaksanaan itu bagi merealisasikan hasrat Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, yang diumumkan dalam Bajet 2012 bagi menghargai jasa warga emas menikmati kemudahan awam terutama perkhidmatan kesihatan.

“Semua hospital dan klinik kerajaan dikehendaki melaksanakan pengecualian caj pendaftaran itu, sebagaimana ditetapkan mengikut Jadual A, Bahagian 1, Perintah Fi (Perubatan) 1982 kepada semua warga berusia 60 tahun ke atas,” katanya dalam Pekeliling Bahagian Kewangan, Bilangan 4 tahun 2011, yang dikeluarkan dalam laman sesawang kementerian, semalam.

Ketika membentangkan belanjawan bertemakan ‘Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara’ baru-baru ini, Najib mengumumkan, semua warga berumur 60 tahun ke atas tidak perlu lagi membayar caj pendaftaran pesakit luar di semua hospital dan klinik kesihatan.

Foong Lai berkata, bagi membolehkan pesakit menikmati pengecualian itu, mereka perlu mengemukakan dokumen pengenalan diri iaitu MyKad bagi membolehkan pihak klinik atau hospital terbabit membuat pengesahan.

“Bagi membolehkan pesakit terbabit mendapatkan perkhidmatan itu nanti, mereka perlu mengemukakan MyKad bagi membuat pengesahan kewarganegaraan dan umur berdasarkan tarikh lahir pesakit,” katanya.

Sementara itu, kementerian mengumumkan 60 klinik kesihatan melaksanakan waktu bekerja selepas waktu pejabat di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Kenyataan itu berkata, rakyat menyambut baik perkhidmatan yang mula dilaksanakan sejak 2008 itu, menyaksikan perkhidmatan dilanjutkan dari jam 5 petang hingga 9.30 malam setiap hari bekerja, manakala hari Sabtu daripada jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Antara klinik terbabit ialah Klinik Kesihatan Kuala Perlis, Perlis; Alor Setar, Kedah; Seberang Jaya, Pulau Pinang; Taiping, Perak; Shah Alam, Selangor; Putrajaya; Masjid Tanah, Melaka; Seremban, Negeri Sembilan dan Batu Pahat, Johor.

Turut dilanjut masa rawatan Klinik Kesihatan Kuantan, Pahang; Kuala Terengganu, Terengganu; Bandar Kota Bharu, Kelantan; Miri, Sarawak dan Lahat Datu, Sabah.