Halaman

07 January 2012

Capaian penggunaan internet di Terengganu berkembang pesat

Oleh: Mohammad Ishak


Penolong Pengarah UKOM Kamaruddin Mat Akib menyampaikan cenderamata kepada Badrol ketika melawat gerai UKOM


Kecenderungan penduduk Terengganu terhadap penggunaan internet melepasi sasaran apabila lebih 50 peratus daripada jumlah pengguna melangani kemudahan teknologi berkenaan menjadikan negeri ini bergerak pantas dalam bidang komunikasi.


Gerai UKOM dikunjungi maskot Upin dan Ipin.

Pengurus Besar Telekom Malaysia,Badrul Hisham Bahari berkata perkembangan itu menujukkan tahap kemajuan penggunaan internet di negeri ini amat membanggakan hasil kesedaran dan kencenderungan penduduk.

Katanya, Telekom Malaysia sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan komunikasi terutama internet yang disalurkan melalui pelbagai pakej termasuk Pusat Internet Desa (PID), Pusat Jalur Lebar (PJK) dan TMWife yang disediakan oleh syarikat berkenaan.

Menurutnya, kemudahan TMWife yang disediakan oleh Telekom kini meliputi kawasan bandar dan luar bandar bagi memberi kemudahan kepada orang ramai menggunakan rangkaian internet di mana sahaja mereka berada.

“Sehingga ini terdapat 800 perkhidmatan TMWifi yang disediakan di lokasi strategik seluruh Terengganu bagi menggalakkan rakyat menggunakan kemudahan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas melawat gerai pameran di Karnival Jalur Lebar 1Malaysia di Dataran Jertih Souq di sini hari ini.

Sebanyak 15 organisasi berkaitan komunikasi termasuk Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) menyertai pameran dua hari yang akan berakhir jam 6 petang ini. Hadir sama ialah Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB) Ibrahim Mohamad.

Karnival anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapat sambutan daripada penduduk daerah Besut.

UKOM yang turut menyediakan bahan penerbitan berkaitan negeri ini turut diserbu orang ramai untuk mendapatkan bahan bercetak dari gerai UKOM yang mula beroperasi sejak awal pagi ini.

Pas diperkudakan PKR

Pendirian Pas Selangor menyokong perhimpunan haram yang dirancang Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hari keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kuala Lumpur pada 9 Januari ini jelas membuktikan bahawa parti tersebut kini diperkudakan oleh PKR, khususnya Anwar yang merupakan penasihat parti itu.

Justeru itu, tidak hairanlah jika semakin ramai pemimpin dan pengikut Pas yang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap perkembangan terkini yang berlaku dalam parti, sekaligus memberontak kerana tidak rela parti mereka diperkudakan PKR.

Disebabkan keterlanjuran Pas menyokong PKR sehingga mengetepikan perjuangan asal parti itu menegakkan Negara Islam, ramai pemimpin Pas akan meninggalkan perjuangan yang sia-
sia itu.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, menegaskan bahawa parti itu membazirkan masa lebih tiga tahun hanya kerana seorang pemimpin, iaitu Anwar sedangkan banyak kerja lain lebih daripada berfaedah dapat dilakukan dalam tempoh berkenaan.

Beliau dengan lantang mengkritik tindakan Pas Selangor yang menyokong perhimpunan haram tersebut serta perhimpunan Bersih sebelum ini, tetapi pada masa yang sama menolak Himpunan Sejuta Umat yang menghimpunkan NGO Islam seluruh Negara.

Dr Hassan tidak rela pembangkang menang besar pilihan raya tetapi matlamat perjuangan itu tidak dapat dilaksanakan.

Sehubungan itu, beliau tidak rela Pas terus menerus melakukan program yang menjurus kepada kepentingan Anwar semata-mata kerana bukan itu matlamat perjuangan Pas.

Kenyataan Dr Hasan ini sepatutnya membuka minda rakyat negara ini, khususnya mereka yang menyokong atau simpati dengan Pas.

Biarkan mahkamah dan hakim yang mengadili kes Anwar, kerana sistem perundangan di Negara kita adalah antara yang terbaik di dunia.

Orang ramai tidak perlu berkumpul di depan mahkmah pada hari Isnin ini kerana untuk membela Anwar kerana mahkamah akan membuat keputusan sama ada Anwar bersalah atau tidak dalam kes liwat yang dihadapinya berdasarkan prosiding sepanjang perbicaraan itu dilakukan.

Apa yang pasti, penyokong Pas perlu menilai semula kewajaran mereka terus menerus menyokong parti itu yang telah tersasar jauh dari matlamat perjuangan asalnya.




T-Team tidak dibubar jika pamer persembahan terbaik - MB

Oleh FAUZI MOHD

Pasukan T-Team diberi jaminan akan terus dikekalkan untuk beraksi dalam Liga Malaysia sekiranya memberikan persembahan terbaik.

Jaminan itu diberikan Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Said yang mahukan pasukan kelab tersebut terus mengekalkan prestasi baik mereka musim ini.

"Tahun lepas saya telah beri amaran akan membubarkan pasukan ini tetapi nampaknya mereka telah melepasi halangan dan berjaya memasuki peringkat separuh akhir Piala Malaysia," katanya.

Kerajaan negeri melabur sebanyak RM3 juta setahun kepada pasukan itu bagi menghadapi Liga Malaysia.

Dato' Seri Ahmad berkata kehebatan pasukan T-Team adalah setanding malah lebih baik daripada sesetengah pasukan negeri.

Sementara itu jurulatih T-Team, Yunus Alif berkata pasukannya telah bersiap sedia bagi mengharungi perlawanan pertama Liga Super menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Selasa depan.


FAM benarkan Terengganu, T-Team beraksi waktu malam di SSINS

Oleh FAUZI MOHD

Tiga pasukan Liga Super, Terengganu, T-Team serta Sabah boleh menarik nafas lega apabila venue stadium tuan rumah perlawanan mereka melepasi tahap pencahayaan lampu limpah seperti yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata sehubungan itu tiga pasukan tersebut akan beraksi pada sebelah malam di gelanggang sendiri.

"Pihak FAM telah membuat pemeriksaan di Stadium Likas, Sabah pada 29 Dis lalu sementara di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Kuala Terengganu pula dua hari kemudian.

"Kedua-dua venue itu kini melepasi syarat-syarat lampu limpah minimum 800 lux yang dibenarkan sebelum ini," katanya.

Terengganu dan T-Team berkongsi stadium yang sama namun bergilir-gilir beraksi di laman sendiri.

Jelas Hamidin hanya empat stadium yang masih dalam proses pembaikan iaitu Stadium Shah Alam dan Stadium Cheras di Lembah Klang, Stadium Darul Makmur, Pahang dan Stadium Tan Sri Hassan Yunus Larkin, Johor.

Bagaimanapun katanya, hanya satu venue Liga Super akan bermain di sebelah petang iaitu di Stadium Hang Jebat, Melaka di mana pasukan kelab Felda United FC dan Kuala Lumpur akan menjadikan stadium tersebut sebagai venue perlawanan berikutan Stadium Cheras masih dalam pembaikan padang.



Fama sasar jualan pasar tahun RM24.5 juta tahun 2012

Oleh FAUZI MOHD

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mensasarkan jualan pasar tani di Terengganu tahun ini RM24.5 juta memandangkan perkembangan ekonomi negara yang semakin baik.

Pengarahnya Hasan Jusoh berkata pada tahun lepas jualan pasar tani di Terengganu adalah sebanyak RM22.5 juta.

"Biasanya sasaran kita tidak meleset, tambahan pula keadaan ekonomi negara bertambah baik dari semasa kesemasa," katanya baru-baru ini.

Hasan berkata pada tahun ini pihaknya merancang akan membuka tiga buah lagi pasar tani baru, masing-masing di Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Besut menjadikan 19 buah kesemuanya.

Menurut beliau ketiga-tiga buah pasar tani baru yang dapat memberi peluang pekerjaan kepada lebih 120 orang itu dijangka akan beroperasi selewat-lewatnya bulan Mei atau Jun nanti.

Beliau berkata Fama telah memberi pekerjaan kepada lebih 1,000 orang melalui pasar tani yang ada, selain mendidik peserta pasar tani menjadi usahawan.

Dalam perkembangan yang lain, Hasan berkata Fama Terengganu akan menghantar seramai kira-kira 20 usahawan untuk menyertai sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di Kerian, Perak mulai 14 Jan ini.

Beliau berkata usahawan yang terlibat terdiri daripada pengusaha keropok lekor dan juga nasi dagang.

Hasan berkata pihaknya memberi fokus kepada dua makanan itu untuk memberi peluang pengunjung pesta itu merasai dan menikmati makanan tradisi Terengganu itu.


YPKT saran pengusaha taska ikuti kursus

Oleh: Suriati Ali

Pengusaha atau pendidik yang diberi kepercayaan mengendalikan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) sepatutnya mengikuti kursus asas asuhan kanak-kanak supaya setiap perkara yang berlaku sepanjang tempoh penjagaan di taska dapat dikendalikan dengan baik.

Pengarah Yayasan Penbangunan Keluarga (YPK) Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, YPK memberi peluang kepada pengusaha dan pendidik taska serta rumah penjagaan di Terengganu mengikuti kursus berkenaan,sekurang-kurangnya sekali selama 21 hari.

“Ia penting agar semua pengusaha dan pendidik mengetahui asas penjagaan serta penyediaan makanan mengikut modul yang ditetapkan supaya kebarangkalian berlaku perkara di luar jangkaan dapat dielakkan.

“Kami mengadakan kursus ini bukanlah mahu membebankan pengusaha tetapi sebagai syarat wajib yang ditetapkan kerajaan”, katanya.

Menurutnya, dalam sesetengah kes, masih terdapat lagi pengusaha tidak mengikuti kursus asas asuhan kanak-kanak.

“Jika perkara ini dibiarkan, kami bimbang berlaku kejadian buruk sehingga membabitkan nyawa kanak-kanak tidak berdosa.
“Setakat ini YPK giat mengendalikan kursus dari masa ke masa. Sekiranya pengusaha berminat, pendaftaran boleh dilakukan secara terus ke pejabat YPK,” katanya.


06 January 2012

UKOM sertai Karnival Jalur Lebar 1Malaysia

Oleh: Mohammad Ishak


Petugas UKOM menyusun bahan penerbitan untuk diedarkan kepada pengunjung


Selepas Program Semarak Merdeka yang berlangsung pada September tahun lalu, Dataran Jertih Souq sekali menjadi tumpuan penduduk Besut apabila Karnival Jalur Lebar 1Malaysia selama dua hari bermula hari ini diadakan di tempat berkenaan.

Program anjuran Kementerian Penerangan,Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Telekom Malaysia Berhad ™ mengetengahkan syarikat gergasi kumunikasi mengadakan pameran dan jualan produk masing-masing.

Paling membanggakan Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) adalah antara agensi kerajaan negeri yang turut serta dalam karnival terbesar sebagai pembuka tirai tahun 2012


Pengunjung mendapatkan bahan penerbitan di gerai UKOM

Selain UKOM 13 lagi agensi dan syarikat berkaitan komunikasi turut serta dalam carnival dua hari yang bermula hari ini dan berakhir esok.

Pengarah UKOM, Haji Shamsuddin Sulong berkata, penyertaan agensi itu dalam carnival terbesar diharap dapat menyampaikan mesej kerajaan negeri melalui pelbagai penerbitan risalah dan akhbar kepada rakyat negeri ini.

Ketika mennyaksikan kerja-kerja persiapan gerai UKOM oleh petugas terbabit Shamsuddin berharap, rakyat negeri ini terutama penduduk daerah Besut akan mendapat maklumat tepat mengenai pentadbiran kerajaan negeri melalui bahan berkenaan.

Selain UKOM jabatan lain yang terbabit ialah Terengganu FM yang turut menyediakan slot siaran langsung mengenai aktiviti yang diadakan di tapak carnival berkenaan

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman menjadi tetamu kehormat yang dijangka melakukan lawatan ke karnival itu esok.


MB beri amaran kepada individu cuba murtad orang Melayu

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said memberi amaran kepada mereka yang dianggapnya cuba 'bermain api' dengan cuba memurtadkan orang Melayu, termasuk orang kelainan upaya (OKU) di negeri ini.

Beliau mengingatkan pihak itu supaya menghormati umat Islam dengan menghentikan perbuatan yang bertentangan dengan Perlembagaan dan dikhuatiri akan turut mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

Dato’ Seri Haji Ahmad menyifatkan gerakan tersebut sebagai serius dan perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

"Saya harap perkara ini diberi perhatian serius oleh JHEAT dan mengemukakan laporan kepada kerajaan. Kita juga minta kerjasama masyarakat Islam yang tahu mengenainya agar memaklumkan kepada pihak berwajib.

"Kita kena hormati orang Islam kerana ini negara Islam. Perkara ini adalah isu yang sensitif. Ini soal yang serius. Jangan cuba bermain api," ujarnya.

Beliau mengulas pendedahan JHEAT baru-baru ini bahawa wujud pihak tertentu yang kini bergerak aktif dalam misi memurtadkan orang Melayu di negeri ini termasuk OKU.

Pesuruhjaya JHEAT, Mohd. Rozali Saleh ketika mendedahkan perkara itu berkata, gerakan itu turut menyusup ke hospital-hospital untuk memperdaya para pesakit yang 'sebatang kara' selain mat-mat rempit dan golongan tidak berkemampuan.

Mohd. Rozali turut meluahkan kebimbangannya dengan gejala itu dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi membendungnya daripada menjadi bertambah serius.
Dato’ Seri Haji Ahmad bagaimanapun menjelaskan, pihaknya masih belum menerima laporan terperinci mengenai soal itu.

Jelasnya, berbeza dengan pendakwah Islam yang berdakwah secara menyampaikan ceramah, gerakan terbabit lebih licik dengan menabur bantuan bagi keperluan mereka yang terdesak.



05 January 2012

JKM belanja RM89.8 juta bantu golongan miskin.

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri membelanjakan RM89.8 juta daripada peruntukan RM92.2 juta melalui enam jenis bantuan bulanan kepada 32,877 orang golongan miskin sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu (JKMT), Encik Zuhami Omar berkata, melalui bantuan am (negeri), JKM membelanjakan RM44.7 juta membabitkan 19,393 kes.

Manakala Bantuan Kanak-kanak (BBK) JKM membelanjakan RM20.3 juta membabitkan 5,619 kes dan Elaun Pekerja Cacat (EPC) membelanjakan RM9.4 juta membabitkan 2,893 orang.

Encik Zuhami berkata, jabatan juga tidak mengabaikan golongan warga emas dan telah membelanjakan RM9.5 juta dibawah Bantuan Orang Tua (BOT) membabitkan 1,350 orang manakala bantuan penjagaan OKU dan pesakit kronik RM4.1 juta dan bantuan kepada OKU tidak bekerja RM1.5 juta.

Katanya, rangsangan berterusan daripada kerajaan mampu mendorong OKU untuk hidup berdikari dan dalam masa yang sama dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

“Kerajaan sentiasa memastikan OKU tidak terpinggir dari arus pembangunan negara serta dapat menikmati kehidupan yang sama rata dalam masyarakat.

Katanya, JKM juga berusaha mengenalpasti OKU yang mampu berdikari serta mempunyai bakat dan keistimewaan serta membuktikan pencapaian terbaik dalam bidang yang diceburi.




IQ Terengganu naik taraf Kolej Universiti 2015

Oleh FAUZI MOHD



Institut al-Quran Terengganu (IQ) merancang untuk menaiktaraf kedudukan mereka sebagai sebuah kolej atau kolej universiti menjelang 2015.

Sehubungan itu, bagi memenuhi kriteria berkenaan, pihak IQ telah merangka pelan jangka panjang untuk menaik taraf kemudahan dan kursus pengajian di institusi milik Kerajaan negeri itu.

Pegarahnya, Dr. Ahmad Bazli Shafie berkata, IQ mampu menjadi sebuah pusat pengajian al-Quran yang berwibawa berdasarkan kemampuannya mengeluarkan lebih 1,000 sijil tahfiz kepada penuntutnya sejak diasaskan pada 1984.

Menurutnya, institusi itu kini menawarkan dua program iaitu Sijil Tahfiz Wal Qiraat serta Diploma Tahfiz Wal Qiraat dengan penuntut seramai 246 orang serta kuliah al-Furqan untuk masyarakat umum pelbagai peringkat umur.

“Kami bercadang untuk menambah tiga lagi program peringkat diploma iaitu Diploma al-Quran dan Qiraat, Diploma al-Quran dan Hadis serta Diploma al-Quran dan Bahasa al-Quran.

“Serentak dengan itu, sebuah asrama baru telah diluluskan pembinaannya oleh Kerajaan Terengganu yang mampu menampung sehingga 500 pelajar,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Bual Bicara Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah bersama warga IQ Terengganu di institusi itu di Padang Midin, Kuala Terengganu hari ini.