Halaman

06 January 2012

MB beri amaran kepada individu cuba murtad orang Melayu

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said memberi amaran kepada mereka yang dianggapnya cuba 'bermain api' dengan cuba memurtadkan orang Melayu, termasuk orang kelainan upaya (OKU) di negeri ini.

Beliau mengingatkan pihak itu supaya menghormati umat Islam dengan menghentikan perbuatan yang bertentangan dengan Perlembagaan dan dikhuatiri akan turut mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

Dato’ Seri Haji Ahmad menyifatkan gerakan tersebut sebagai serius dan perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

"Saya harap perkara ini diberi perhatian serius oleh JHEAT dan mengemukakan laporan kepada kerajaan. Kita juga minta kerjasama masyarakat Islam yang tahu mengenainya agar memaklumkan kepada pihak berwajib.

"Kita kena hormati orang Islam kerana ini negara Islam. Perkara ini adalah isu yang sensitif. Ini soal yang serius. Jangan cuba bermain api," ujarnya.

Beliau mengulas pendedahan JHEAT baru-baru ini bahawa wujud pihak tertentu yang kini bergerak aktif dalam misi memurtadkan orang Melayu di negeri ini termasuk OKU.

Pesuruhjaya JHEAT, Mohd. Rozali Saleh ketika mendedahkan perkara itu berkata, gerakan itu turut menyusup ke hospital-hospital untuk memperdaya para pesakit yang 'sebatang kara' selain mat-mat rempit dan golongan tidak berkemampuan.

Mohd. Rozali turut meluahkan kebimbangannya dengan gejala itu dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi membendungnya daripada menjadi bertambah serius.
Dato’ Seri Haji Ahmad bagaimanapun menjelaskan, pihaknya masih belum menerima laporan terperinci mengenai soal itu.

Jelasnya, berbeza dengan pendakwah Islam yang berdakwah secara menyampaikan ceramah, gerakan terbabit lebih licik dengan menabur bantuan bagi keperluan mereka yang terdesak.