Penderitaan Iman Adam Raman, 9, yang koma sejak tujuh bulan lalu akibat menjadi mangsa langgar lari penunggang motosikal dipercayai Mat Rempit mendapat perhatian Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang turut melawat mangsa di rumahnya, di Kampung Kebor Manir, Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam kunjungan itu Dato’ Seri Haji Ahmad, bersetuju meluluskan sumbangan sebanyak RM1,500 sebulan, termasuk bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada ibu mangsa, Nik Ainy Mohd, 51, berjumlah RM200.
Bantuan itu nyata melegakan dan meringankan beban keluarga mangsa yang terpaksa membelanjakan hampir RM2,000 sebulan bagi membeli pelbagai barangan keperluan seperti lampin pakai buang, ubatan dan susu khas.

“Saya dukacita dengan sikap individu yang melanggar Iman Adam kerana nyata tidak bertanggungjawab selain tiada perasaan belas kasihan,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan itu.
Dalam laporan akhbar sebelum ini Iman Adam hanya mampu membuka mata, tetapi tidak boleh melihat selain lumpuh kerana otaknya tidak berfungsi berikutan koma tahap dua akibat dirempuh seorang penunggang motosikal ketika mengikut bapanya membeli peralatan sekolah di sebuah kedai alat tulis berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Manir, Kampung Kubang Jela, Kuala Terengganu, pada 2 Mei lalu.
Iman kadangkala memberi sedikit rangsangan dengan menggerakkan kepala apabila disentuh .

“Sumbangan yang dihulurkan ini mampu menampung perbelanjaan bulanan Iman yang mencecah ribuan ringgit sebulan.
“Saya terpaksa mengadaikan barangan kemas semata-mata ingin membeli tilam dan katil khas terpakai yang berharga RM6,000 untuk keselesaan Iman,” katanya.
Menurutnya, dia dan keluarga cukup merindui gelagat iman yang sememangnya pandai mengaji, mendengar cakap ibu bapa dan rajin mengulangkaji pelajaran.
