Halaman

02 January 2012

Ukom anjur Diskusi Bajet 2012

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerajaan negeri menerusi Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) akan menganjurkan Diskusi Bajet 2012 yang bertempat di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, pada 10 Januari ini, jam 2 petang.

Program bertujuan mendapatkan pandangan dan ulasan ahli-ahli panel mengenai Bajet 2012 yang dibentangkan Menteri Besar dalam Sidang Dewan Undangan Negeri pada 5 Disember lalu.

Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong, berkata pihaknya mengambil tindakan proaktif mengadakan program itu bagi memastikan pandangan dan perbincangan yang dilontarkan mampu memberi pengetahuan kepada seluruh pemimpin masyarakat serta rakyat bagaimana mereka mendapat faedah dari bajet yang dibentangkan itu.

“Selain menerangkan kepada rakyat mengenai kepentingan Bajet 2012 kita juga mahu supaya rakyat memahami segala perbelanjaan kerajaan menggunakan pendekatan pembangunan yang berpaksikan konsep `Merakyat Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu’.

“Oleh itu, semua pihak perlu mengambil peluang menyertai diskusi bajet yang akan mengupas lebih jelas dan terperincik kepentingan bajet yang berteraskan kesejahteraan rakyat ini,” katanya.

Beliau berkata, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka merasmikan program yang turut memaparkan slot tayangan video dan sesi soal-jawab serta rumusan isu itu nanti.

Selain itu, moderator diskusi, Timbalan Rektor Hal Ehwal Korporat TATiUC, Haji Zulkifli Mohamad. Ahli panel adalah Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Dato’ Ir Ismail Tengku Jaafar; Pengarah Pusat Pembangunan Sosial Ekonomi Universiti Malaysia Terengganu, Dr Ibrahim Mamat dan Ketua Jabatan Sains Sosial fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA, Encik Che Wan Takwa Che Wan Bakar.

Katanya, pihak penganjur menjemput semua pemimpin masyarakat, jawatankuasa Umno Bahagian dan sayap, ketua dan setiausaha cawangan dalam semua parlimen seluruh Terengganu menghadiri program itu nanti.