Halaman

05 January 2012

UMT wujud sudut pidato

Oleh: Suriati Ali

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kini mewujudkan sudut pidato bagi melahirkan lebih ramai graduan yang petah berbicara dan mampu mengungkap buah fikiran dengan menyakinkan di hadapan umum.

Ia boleh menjadi ruang kepada mereka menyuarakan pandangan terhadap pelbagai masalah dalam kampus dan juga situasi di luar di samping cadangan untuk menanganinya.
Sesiapa sahaja boleh ke sudut itu untuk berpidato setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 2 petang jika ada persoalan yang ingin dibangkitkan.

Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT, Muhammad Sufi Ibrahim Shah berkata, dengan adanya sudut pidato itu mahasiswa bebas untuk bersuara dan meluahkan pandangan masing-masing.

"Kita yakin ramai di sini yang berbakat sebagai pemidato tapi tidak ada tempat yang sesuai untuk mengetengahkan bakat mereka. Jadi, ini boleh dianggap sebagai platform terbaik untuk mereka berkumpul dan meluahkan pandangan masing-masing terutamanya berkaitan isu semasa," katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, kebanyakan universiti lain termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Teknologi Mara telah memiliki sudut pidato.

"Jadi, saya rasa sudah tiba masanya UMT juga berbuat demikian kerana pihak universiti sendiri amat menggalakkan kami untuk aktif berpidato," ujarnya.

Tambah Muhammad Sufi, MPPUMT menyasarkan penglibatan sehingga 700 pemidato di universiti itu dalam tempoh setahun.
Katanya, walaupun sasaran itu agak tinggi, beliau yakin ia mampu dicapai sekiranya sudut pidato itu dimanfaatkan sepenuhnya.

"Saya juga yakin setiap daripada 70 penuntut UMT akan ada sekurang-kurangnya seorang pemidato yang akan mewakili mereka," ujar Muhammad Sufi