Halaman

02 January 2012

Konti radio Hot FM mula beroperasi di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Stesen ‘Lebih Hangat Daripada Biasa’, Hot FM memperkukuhkan jenamanya apabila melakar satu lagi sejarah baru bagi pendengar apabila konti radio di Kuala Terengganu mula beroperasi pukul 6 pagi tadi.



Hot FM dalam satu kenyataan berkata, beroperasi di frekuensi 105.0 fm, stesen radio yang mula beroperasi tahun 2006 itu memulakan siaran dengan celoteh nakal Hot FM AM Krew bersama Fara Fauzana, AG, Faizal Ismail dan Usop.

Dengan segmen yang sama, frekuensi tersebut akan dipanaskan dengan kehadiran penyampai Ain melalui slot Hot FM T’Ganu bermula dari pukul 11 pagi hingga 3 petang.

“Seterusnya, penyampai Rafli dan Bell meneruskan slot Hot FM T’Ganu Bereh Boh antara pukul 3 petang hingga 7 malam dan Hot FM Refleksi antara 7 malam hingga 8 malam.

“Slot Hot FM T’Ganu kembali bersama pendengar antara pukul 8 hingga 12 tengah malam bersama penyampai Azri,” kata kenyataan itu hari ini.

Turut hadir melawat konti stesen itu di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah.

Tambah kenyataan itu, konsep pengisian yang lebih peribadi mengikut loghat masyarakat Terengganu turut memperkenalkan Hot FM Cakne yang bakal memberikan infomasi mengenai acara-acara terkini yang berlaku di Terengganu.

“Selari dengan prinsip Hot FM yang mahu dekat di telinga para pendengar, stesen ini juga akan mengadakan mini konsert Hot FM T’Ganu Yeah Yeah Tour pada 6 Januari ini di sini.

“Acara lain yang turut dirangka seperti Hot FM LOL yang mengkhususkan bidang pendidikan,” ujar kenyataan itu.