Halaman

02 January 2012

Karnival Dun Chukai Buka Ruang Rakyat Bertemu Pemimpin

Oleh: Nurul Aziela Saberi



Karnival Hari Keluarga DUN Chukai 2011 anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Chukai mendapat sambutan yang baik daripada semua lapisan masyrakat dan berbilang kaum seperti Melayu, China dan India.

Karnival seperti itu juga menjadi medan kepada rakyat dengan pemimpin untuk beramah mesra dan mengenali antara satu sama lain.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dalam ucapannya berkata, sokongan padu daripada seluruh rakyat DUN Chukai dapat dilihat apabila mereka memberi komitmen tinggi dengan menyertai pelbagai acara sukan yang dipertandingkan.

Karnival tersebut merupakan karnival sukan terakhir di Terengganu setelah ia diadakan di kesemua Dun di negeri ini sekaligus menutup tirai tahun 2011.

Sebagai kesinambungan, Festival Sukan Rakyat akan diteruskan pada tahun 2012 yang bermula pada Febuari atau Mac di setiap Dun dengan menggunakan peruntukan berasaskan sumber kewangan yang disalurkan kepada DUN masing-masing.



Dalam sidang media, Menteri Besar berkata, pihak China Shougang Group telah bersetuju untuk melatih 10 orang juruteknik anak jati Terengganu dalam bidang teknikal selama enam bulan di kilang keluli di China di samping dapat mempelajari bahasa Cina.

“Mereka akan mengikuti kursus antara Febuari atau Mac ini bagi persediaan pembukaan Kilang Keluli Bersepadu Eastern Steel Kemaman di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong yang dibiayai penuh kos pembelajaran oleh pihak syarikat tersebut,” katanya.

Turut hadir, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, ADUN Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera, Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Mohd Hisham Zubir.