Halaman

10 January 2012

SPRM jumpa pegawai MB prosedur biasa dalam siasatan

Oleh FAUZI MOHD

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said mengesahkan kehadiran beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di pejabatnya hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, itu adalah prosedur biasa dan sudah menjadi tanggungjawab pegawai SPRM sekiranya ada laopran dibuat kepada pihak mereka.

“Bila dah ada orang buat laporan kepada SPRM, maka mereka perlu membuat siasatan.

“Mereka (SPRM) jumpa pegawai saya dan ini adalah perkara biasa, kita tidak ada masalah malah kita akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di temui selepas Program Diskusi Bajet 2012 anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman hari ini.

Sebelum ini, ADUN Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi ada membuat laporan rasmi kepada SPRM berhubung dakwaan penyelewengan bantuan pakaian dan alatan sekolah di negeri ini.


Guru perlu mempunyai peribadi mulia – Idris

Oleh: Mohammad Ishak


Sebahagian guru daerah Besut yang menghadiri majlis perhimpunan bulanan


Setiap guru perlu mempunyai peribadi mulia dalam memastikan kecemerlangan pendidikan dicapai setaraf dengan negara-negara maju.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Idris Jusoh berkata menjadi seorang guru bukan setakat melaksanakan tugasan sebagaimana yang telah ditetapkan malah sifat mulia hati, tingkahlaku , pemikiran ,tekad dan keimanan perlu dimiliki pada setiap masa.

“ Di negara-negara maju dalam bidang pendidikan sepertri Finland setiap gurunya bersifat mulia yang berjaya dibuktikan dari minat mereka yang mendalam dalam melaksanakan sistem pendidikan mereka”, kata Idris ketika menyampaikan ceramah pada perhimpunan bulanan para pengetua dan guru-guru besar di Pejabat Pelajaran daerah Besut di Kampung Raja disini hari ini.

Menurutnya, Finland hebat dalam bidang pendidikan di peringkat dunia kerana mereka sentiasa memberatkan sistem, budaya, proses pelaksanaan , guru dan disentralkisasi dalam sistem pendidikan mereka.

Katanya, kelebihan yang ada pada negara kita yang dianggap setanding dengan pendidikan di Finland ialah sistem pendidikan kita di perkuatkan dengan unsur kerohanian yang mampu memandu pendidikan negara ke arah kejayaan di dunia dan di akhirat.

Idris turut menyatakan kekesalannya kerana masih terdapat sebil;angan kecil guru yang lebih mementingkan aktiviti luaran mereka daripada memberikan tumpuan kepada kerjaya mereka sebagai pendidik.

“ Ada yang menjadi guru kerana tiada pilihan kerjaya lain selain ingin duduk dikampung dan beranggapan boleh banyak berehat dari bekerja”, katanya lagi

Idris menyampaikan ceramahnya bertajuk “ Finland: A Case study0 kreativiti dan innovasi dalam pendidikan di perhimpunan tersebut.



Konvensyen KIK lahir kumpulan kreatif

Oleh; Esah Abdullah

Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) bertujuan menggalakkan generasi pelajar hari ini mampu berfikir di luar kotak yang menjadi teras utama dalam pembangunan modal insan.

KIK juga dilihat mampu membantu pengurusan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyelesaikan masalah berkaitan kerja serta penambahbaikan secara berterusan.

Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr Aziz Deraman berkata, maklum balas yang diterima sepanjang konvensyen berguna untuk memperkemaskan sistem pengurusan pentadbiran.

Menurutnya, kreativiti dan inovasi merupakan teras kejayaan dalam pekerjaan dan setiap individu perlu membuat lonjakkan sama ada ketika bergelar pelajar atau penjawat awam dan swasta.

Katanya, UMT sentiasa memberi peluang dan ruang warganya menunjukkan kreativiti dan inovasi melalui bahagian masing-masing dan melalui persaingan sihat akan muncul yang terbaik dikalangan yang baik.

Sehubungan itu kumpulan Cube dari bahagian Pejabat Pendaftaran UMT mendapat johan melalui projek ‘Penghantaran Laporan Kemajuan Pengajian Pegawai Cuti Belajar Tidak Mengikut Jadual’ akan mewakili universiti ke pertandingan KIK antara Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Mac ini.




YPU anjur Anugerah Usahawan Terengganu 2011

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 600 orang, termasuk usahawan dari seluruh negeri akan menghadiri majlis Anugerah Usahawan Terengganu 2011 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada esok (11 Januari), jam 8 malam.

Program anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) itu diadakan bagi memberi penghargaan kepada usahawan tempatan yang berjaya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan menyampaikan anugerah kepada para usahawan yang memenangi pelbagai kategori yang dipertandingkan.

Penolong Pengurus Komunikasi Korporat YPU, Encik Mazubir Ngah, berkata sebanyak lapan kategori, termasuk Tokoh Usahawan Terengganu 2011 akan dipertandingkan pada program berkenaan.

“Pada hari sama iaitu jam 11 pagi, program Bual Bicara Bersama Tan Sri Mohammad Ali Hashim turut dianjurkan bagi membincangkan topik `Membisneskan Budaya dan Membudayakan Bisnes’,” katanya.



Little Master Chef di PPAT

Oleh: Suriati Ali

Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail akan menganjurkan program `Little Master Chef’ di ruang legar PPAT, Kuala Terengganu.

Program yang bakal disertai 60 pelajar sekolah rendah di sekitar Kuala Terengganu akan diadakan pada 28 Januari ini, bermula jam 10 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata program pertama kali dianjurkan itu cukup menarik kerana setiap peserta hanya perlu membuat dan menghidang makanan tanpa perlu menggunakan bahan bakar atau dapur.

“Program seumpama ini perlu diketengahkan kerana ia bukan saja dapat mencungkil bakat dan kreativiti pelajar malah mampu membantu mereka membuat hidangan sendiri di rumah,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Puan Hajah Nor Akmal turut memberitahu, PPAT tidak jemu mengadakan pelbagai aktiviti semata-mata mahu menarik minat pengunjung.

“Aktiviti yang dianjurkan itu bukan saja tertumpu pada hari bekerja malah turut diadakan waktu cuti am dan hujung minggu kerana menyedari lebih ramai pengunjung dapat meluangkan masa,” katanya


Kadar jenayah kurang di Setiu

Oleh; Esah Abdullah

Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu berjaya menyelesaikan kes-kes yang berlaku di daerah itu sebanyak 60 peratus berbanding 20 peratus yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani berkata, sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu pihaknya berjaya menyelesaikan 85 kes daripada 146 kes yang dilaporkan.

“Perkembangan ini berlaku hasil kerjasama semua pihak pegawai bertugas dan masyarakat keliling yang tampil memberi maklumat,” katanya.

Tambahnya, tahun ini pihaknya akan memberi tumpuan kepada kes kecurian susu getah beku yang berleluasa selain meningkatkan tangkapan penjualan air ketum.

Menurutnya, kes penyalahgunaan dadah dan jenayah lain juga tidak akan terlepas dari tindakan pihak polis sejajar dengan hasrat menjaga keselamatan rakyat sentiasa terjamin.

“Kita berhasrat untuk memastikan kadar penyelesaian kes jenayah dapat diselesaikan secara keseluruhan bagi memastikan daerah ini terus berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Katanya, kadar jenayah daerah itu adalah yang terendah berbanding daerah lain di negeri ini di mana sepanjang November lalu pihaknya berjaya selesai lima daripada tujuh kes yang dilaporkan.





T-Team mahu kumpul mata benam Kedah

Oleh FAUZI MOHD

Pasukan T-Team yang akan memulakan kempen saingan Liga Perdana dengan menentang Kedah malam ini yakin untuk membenam pasukan utara itu bagi mendapatkan mata penuh.

Jurulatihnya Yunus Alif berkata, anak buahnya kini mempunyai semangat juang yang tinggi untuk mendapatkan mata pembakar semangat bagi meneruskan perlawanan akan datang dalam liga berkenaan.

"Semangat mereka begitu kental tambahan pula dengan kehadiran pemain import untuk membaham pasukan Kedah dalam perlawanan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Syah malam ini," katanya.

Beliau berkata T-Team akan menggunakan sepenuhnya khidmat pemain penyerang iaitu Zacharia Simokonda (Zambia) yang juga bekas pemain Perlis untuk merobek gawang Kedah.

Yunus bagaimanapun mengingatkan anak buahnya jangan memandang ringan keupayaan pasukan Kedah kerana pasukan lawan itu merupakan barisan pemain yang terbaik dalam liga musim ini.


Kalendar 2012 percuma kepada peserta Diskusi Bajet


Oleh: Aida Abd Rahman

Kalendar 2012 akan diedarkan secara percuma di program Diskusi Bajet 2012 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini, jam 2 petang.



Selain kalendar, beberapa cenderahati sampingan lain juga disediakan kepada peserta terawal program itu nanti.

Program anjuran kerajaan negeri menerusi Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) akan menterjemahkan secara terperinci mengenai kepentingan Bajet 2012 menerusi ulasan dan pandangan ahli-ahli panel.
Moderator diskusi, Timbalan Rektor Hal Ehwal Korporat TATiUC, Haji Zulkifli Mohamad. Ahli panel, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Dato’ Ir Ismail Tengku Jaafar; Pengarah Pusat Pembangunan Sosial Ekonomi Universiti Malaysia Terengganu, Dr Ibrahim Mamat dan Ketua Jabatan Sains Sosial Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA, Encik Che Wan Takwa Che Wan Bakar.

Dalam pada itu, pembentangan Bajet 2012 oleh kerajaan negeri perlulah difahami dan mesejnya dapat diterima oleh setiap lapisan masyarakat.

Bagi memastikan perkara itu dapat direalisasikan, orang ramai terutama ketua jabatan, pegawai dan kakitangan kerajaan, pemimpin masyarakat, jawatankuasa Umno Bahagian dan sayap seluruh Terengganu dijemput ke program berkenaan.

Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong, berkata Bajet 2012 yang dibentangkan Menteri Besar dalam Sidang Dewan Undangan Negeri pada 5 Disember lalu perlu difahami oleh seluruh masyarakat di peringkat akar umbi.

“Pemimpin masyarakat, sama ada ketua jabatan dan kakitangan kerajaan, penghulu, pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung harus menghadiri diskusi yang julung kali dilaksanakan ini supaya mereka boleh mengambil input berguna dan pendedahan itu nanti boleh disalurkan kepada masyarakat umum,” katanya.

Selain itu, katanya diskusi itu juga memberi peluang kepada orang ramai mengajukan soalan berkaitan Bajet 2012 supaya segala persoalan yang timbul mampu dirungkaikan.



09 January 2012

Warga INSPI gotong royong masak bubur asyura

Oleh: Nurul Aziela Saberi



Seperti institusi pengajian lain, Institut Pengajian Islam (INSPI) Yayasan Islam Terengganu, di Binjai, Kemaman juga tidak ketinggalan memasak bubur asyura sempena Maal Hijrah.

Seluruh warga INSPI amat berbesar hati dengan penduduk Kampung Pengkalan Binjai kerana sudi menyertai mereka memasak bubur asyura secara bergotong-royong sejak dari awal pagi kelmarin.

Menurut Pengetua INSPI, Ustaz Firdaus Khairi Abdul Kadir, kira-kira RM2,500 duit tabung telah diperuntukkan untuk memasak empat kawah bubur asyura yang bertempat di pekarangan letak kereta pusat pengajian tersebut.

Lebih menarik lagi selepas acara memasak bubur asyura, setiap penyertaan akan mendapat satu nombor cabutan bertuah yang memenangi hadiah hamper sumbangan dari pejabat Parlimen Kemaman.

“Kami juga amat berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Air Putih, YB Haji Wan Abdul Hakim Tan Sri Haji Wan Mokhtar kerana sudi meluangkan masa bersama kami memasak bubur asyura dan menyumbangkan peruntukan makan tengah hari,” katanya.

Katanya, program itu diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan antara pelajar-pelajar INSPI dengan penduduk setempat di samping dapat membina sikap tolong-menolong antara satu sama lain.




Kerja-kerja pembinaan gelanggang baru futsal sedang giat dijalankan.

Tambah beliau lagi, gelanggang baru futsal di pusat pengajian itu masih dalam proses pembinaan dan akan siap dibina penghujung Januari ini. Projek tersebut terpaksa di tangguhkan pada hujung tahun lepas memandangkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

UniSZA terima baucar buku RM1.26 juta

Oleh FAUZI MOHD

Baucar buku bernilai RM200 untuk penuntut institusi pengajian tinggi yang diumumkan dalam Perdana Menteri dalam Bajet 2012 mula diagihkan kepada lebih 6,300 pelajar di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini hari ini.



Baucar bernilai RM1.26 juta itu disampaikan Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Datuk Wira Dr. Rosli Mat Hassan yang mewakili Kementerian Pengajian Tinggi kepada Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Alias Daud.

Alias ketika ditemui berkata, langkah kerajaan memberi peruntukan tambahan kepada penuntut membuktikan kerajaan prihatin terhadap masa depan bidang pendidikan negara untuk melahirkan modal insan yang berkualiti.

“Peruntukan besar yang disalurkan pihak kerajaan itu cukup baik kerana setiap semester pelajar akan membeli sekurang-kurangnya tiga buah buku baru mengikut subjek dan silibus tertentu.

“Walaupun kemudahan pinjaman buku disediakan di perpustakaan, kalangan pelajar lebih suka membeli bahan rujukan itu untuk simpanan mereka biarpun harganya lebih dari RM200 untuk sebuah buku,” katanya.

Pada program itu, UniSZA turut menganjurkan pameran dan jualan buku selama empat hari bagi memberi peluang penuntut universiti itu mendapatkan buku-buku pilihan dan terbaru.

Tambah Dr. Alias, pemberian baucar tersebut diberikan tanpa mengira penuntut itu mengikuti pengajian pada peringkat diploma, sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah secara sepenuh masa atau pun sebaliknya.

“Seorang penuntut akan mendapat empat baucar bernilai RM50 sekeping dan mereka hanya dibenarkan membeli buku akademik, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran berdasarkan keperluan masing-masing.



“Pelajar akan menebus baucar itu di mana-mana kedai buku yang dilantik dan berdaftar dengan pihak kementerian. Baucar itu hanya boleh digunakan di kedai tertentu dan dilarang menebus dengan wang tunai,” jelasnya.