Halaman

10 January 2012

Little Master Chef di PPAT

Oleh: Suriati Ali

Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail akan menganjurkan program `Little Master Chef’ di ruang legar PPAT, Kuala Terengganu.

Program yang bakal disertai 60 pelajar sekolah rendah di sekitar Kuala Terengganu akan diadakan pada 28 Januari ini, bermula jam 10 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata program pertama kali dianjurkan itu cukup menarik kerana setiap peserta hanya perlu membuat dan menghidang makanan tanpa perlu menggunakan bahan bakar atau dapur.

“Program seumpama ini perlu diketengahkan kerana ia bukan saja dapat mencungkil bakat dan kreativiti pelajar malah mampu membantu mereka membuat hidangan sendiri di rumah,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Puan Hajah Nor Akmal turut memberitahu, PPAT tidak jemu mengadakan pelbagai aktiviti semata-mata mahu menarik minat pengunjung.

“Aktiviti yang dianjurkan itu bukan saja tertumpu pada hari bekerja malah turut diadakan waktu cuti am dan hujung minggu kerana menyedari lebih ramai pengunjung dapat meluangkan masa,” katanya