Halaman

11 January 2012

Kerajaan jamin pantai selamat


Oleh; Esah Abdullah

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian,Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw memberi jaminan kerajaan akan memastikan kawasan pantai di negeri ini selamat dan terpelihara namun orang ramai perlu berhati-hati pada masa-masa tertentu.

Katanya, setakat ini Jabatan Parit dan Saliran (JPS) sedang membuat kajian bagi mengenal pasti kawasan pantai yang kritikal dan berbahaya akibat fenomena ombak besar yang melanda baru-baru ini.

“Kita memang ada senarai pantai terbabit yang dikategorikan sebagai kritikal, sederhana dan selamat serta mencari jalan memperbaiki keadaan,” katanya.

Menurutnya, sebelum tindakan dibuat pelbagai aspek termasuk arus air serta ombak diambil kira sama ada akan membina benteng pemecah ombak atau pendekatan semula jadi yang mungkin efektif di beberapa kawasan.

“Benteng konkrit dan batu juga dilihat berkesan bagi memulihara kawasan semula jadi termasuk kawasan hutan nipah dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, mengenai fenomena air pasang yag melanda beberapa kawasan pantai, beberapa langkah awal akan diambil seperti mengeluarkan amaran awal kepada penduduk berdekatan atau memasang papan tanda bagi membolehkan orang ramai membuat persediaan awal.