Halaman

08 January 2012

Semakin ramai ahli kritik Pas

Selepas beberapa pemimpin Pas, khususnya bekas Pesuruhjaya Pas Selangop, Datuk Dr Hasan Ali, begitu lantang mengkritik tindak tanduk parti itu sejak kebelakangan ini, kini tiba giliran ahli seumur hidup Pas, Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad, berbuat demikian.

Atas kesedaran perjuangan parti itu kini sudah tersasar dan tidak boleh diterima kerana ia bertentangan dengan matlamat asal penubuhannya, beliau yang pernah bertanding atas tiket Pas pada Pilihan Raya Umum 1999, tampil membuat kenyataan yang ‘memedihkan’ pemimpin Pas.

Sasterawan Negara yang terkenal dengan ‘buah tangan’nya, novel kontroversi berjudul Shit yang diterbitkan pada 1999, secara terbuka menyifatkan kerjasama Pas dengan DAP dalam gabungan pembangkang bercanggah dengan amalam politik Islam yang diajar Rasulullah s.a.w.

Mengikut laporan Berita Harian, hari ini, Datuk Dr Shahnon menegaskan Rasulullah s.a.w tidak pernah bekerjasama dengan kaum Musyrikin Madinah seperti dilakukan Pas pada masa ini, sebaliknya ia hanya merupakan kata sepakat melalui Perjanjian Hudaibiyah.

Sehubungan itu, beliau menolak kerjasama antara Pas dengan DAP seperti yang dilakukan dewasa ini kerana ia tidak sama dengan pendekatan yang dilakukan Nabi Muhammad s.a.w. sebelum ini.

Beliau turut menyelar dasar politik Pas sekarang ini kerana ia langsung tidak menyamai apa yang dilakukan oleh Rasulullah dan sahabat-sahabat Baginda semasa membentuk negara Islam di Madinah.

Dr Shahnon turut membidas Dewan Ulamak Pas yang semakin hilang taringnya dalam menyuarakan dakwah politik Islam semata-mata bagi menjaga hubungan parti itu dengan DAP.

Beliau turut kesal dengan perkembangan terbaru pati itu di mana semua ulamak, termasuk Mursyidul Am Pas, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, kerana gagal memainkan peranan mereka mempertahankan matlamat asal perjuangan parti itu menegakkan Islam.

Dr Shahnon berkata, beliau sendiri sebenarnya kurang faham dengan perjuangan dan latar belakang golongan profesional Pas yang kini membayangi ulamak yang berada dalam parti itu sejak sekian lama.

“Kesimpulannya adalah Pas sekarang tidak sama macam dulu dan saya langsung tidak bersetuju dengan dasar politik semasanya selain konsep kerjasama pemimpin Pas dengan DAP,” ujarnya.

Berdasarkan pandangan veteran Pas itu, tidfak mustahil semakin lama pemimpin dan penyokong Pas akan lari daripada perjuangan parti itu yang kini semakin bercelaru dan hilang arah perjuangan.