Naskah al-Quran bersadur emas yang berusia lebih 500 tahun dari Dinasti Ming, China merupakan antara daripada 80 artifak yang bakal menemui pengunjung pada pameran Khazanah Islam dari Negara China bermula 1 Februari ini di Muzium Terengganu.
Pengarah Muzium Terengganu, Mohd. Yusof Abdullah berkata, pameran selama enam bulan itu antara lain memaparkan sejarah pembuatan al-Quran berkenaan yang bermula dari Kerajaan Islam Uthmaniah di Turki dengan menggunakan skrip Naskhi.
Menurutnya, artifak yang bernilai lebih RM170 juta itu dipercayai dibawa ke Timur Turkestan oleh seorang guru agama berbangsa Arab ketika Dinasti Ming yang kemudiannya dibawa ke Yunan, China.
“Artifak al-Quran itu merupakan satu contoh daripada puluhan symbol kesenian Islam yang bernilai jutaan ringgit dari pelbagai dinasti-dinasti China yang akan menjadi bahan ilmiah untuk dipamerkan di Dewan Mandalika, Muzium Terengganu.
“Pameran julung kali itu turut mengetengahkan kepada pengunjung pelbagai jenis artifak daripada China seperti emas, perak, gangsa, porselin, jed dan batu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pameran pembuka tirai 2012 di Muzium Terengganu itu turut mendapat kerjasama daripada syarikat pengurusan artifak, Topchain Capital Sdn. Bhd. dan Majlis Pengarang dan Sastera Terengganu (Master).
Tambah Mohd. Yusof, pameran bertaraf antarabangsa itu berbentuk ilmiah dengan mampamerkan artifak-artifak autentik yang tidak ternilai harganya dan jauh dari pengetahuan masyarakat kita.
Katanya, dengan bayaran tiket RM10 untuk seorang dewasa, RM5 untuk kanak-kanak dan warga emas serta RM25 untuk sekeluarga (2 dewasa 2 kanak-kanak), waktu pameran dibuka bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari.
“Turut diadakan sepanjang pameran itu, pertandingan penulisan, pertandingan mewarna kanak-kanak dan murid sekolah, kuiz bulanan dan cabutan hadiah kepada pengunjung bertuah,” jelasnya.