Halaman

09 January 2012

118 guru Kafa dari DUN Kota Putera tandatangan surat perlantikan

Oleh: Mohammad Ishak


Muhammad Pehimi (bersongkok) menyaksikan majlis menandatangani surat perjanjian guru Kafa


Seramai 118 guru Kelas Al Quran dan Fardu Ain (Kafa) dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera menandatangani surat perjanjian penyambungan pelantikan semalam.

Majlis menandatangani surat perjanjian bagi mengajar di 11 buah sekolah rendah dalam DUN berkenaan diada di sebuah resort di sini yang disaksikan oleh ADUN Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof.

Mereka adalah sebahagian daripada 470 guru Kafa yang disambung semula perkhidmatan mereka untuk bertugas mengajar al Quran dan fardu ain di 43 buah sekolah rendah di daerah ini sepanjang tahun ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Pehimi meminta usaha dilakukan untuk menyedar dan menyakinkan ibu bapa bahawa mata pelajaran Kafa sama penting dengan mata pelajaran lain seperti matematik, sains dan bahasa inggeris.

Katanya, kalau sebelum ini ibu bapa sanggup berhabisan wang ringgit untuk menghantar anak-anak mereka mengikuti tiusyen bagi mata pelajaran tersebut kali ini biarlah mereka juga merasa Kafa itu sama pentingnya.

“Biarlah ibu bapa merasa kelas-kelas Kafa yang diadakan di sekolah sama pentingnya dengan mata pelajaran akademik lain dan bukan menjadi pilihan kedua dalam mendidik mereka menjadi insan berguna, “katanya.

Menurutnya, kaedah dan teknik terbaik perlu dilakukan supaya kelas-kelas Kafa lebih diminati oleh pelajar dan bukannya diambil sikap acuh tak acuh oleh pelajar dan juga ibu bapa mereka.

“Guru-guru juga perlu pastikan pendidikan Kafa boleh menjadi budaya yang diamalkan oleh pelajar selain mampu memperbaiki akhlak dan peribadi pelajar serta menjauhkan mereka dari gejala yang berlaku sekarang.” Katanya.

Pehimi berkata, tidak ada gunanya pelajar cemerlang dalam akademik dan mampu memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan tetapi pada masa yang sama aspek akhlak dan peribadi mereka terabai.

Beliau menambah, jika pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan pendidikan al Quran serta fardu ain akan membantu mereka menjadi seorang pelajar yang lebih sempurna untuk bersaing di alam pendidikan.