Halaman

12 January 2012

Kerajaan lulus RM2 juta bantu usahawan baru

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM2 juta kepada usahawan yang mahu memulakan perniagaan serta bersedia menambah peruntukan itu tahun depan sebagai usaha dan galakan kepada usahawan baru sekaligus melonjakkan ekonomi negeri.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said, berkata Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) melalui Tabung Pembangunan Usahawan bertanggungjawab menyediakan beberapa skim pembiayaan dan pinjaman bagi membantu usahawan menjalankan perniagaan dan aktiviti mereka.

“Aturkanlah strategi yang sewajarnya dalam mengurus dan mengembangkan perniagaan masing-masing agar selari dengan matlamat kerajaan. Jika ianya dapat dicapai bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada kerajaan malahan kepada rakyat serta semua pihak,” katanya ketika berucap sempena Malam anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik.

Menteri Besar berkata, semua pihak perlu yakin dasar kerajaan yang berprinsipkan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan adalah satu pendekatan terbaik dan langsung tidak menggugat kelancaran perniagaan tetapi satu paradigma untuk menjana kecemerlangan sebenar.

“Dalam menggalakkan perkembangan perniagaan, saya bersama rakan-rakan dalam kerajaan negeri akan memastikan suasana iklim mesra perniagaan dan merangsangkan budaya keusahawanan menjadi paksi dalam merealisasikan Terengganu sebagai destinasi perniagaan terbaik di Pantai Timur,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penerima AUT 2011 supaya menjadikan anugerah itu sebagai motivasi ke arah melangkah cemerlang di masa depan selain tidak riak dan berasa besar hati serta sanggup berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang akhirnya mampu mendatangkan keuntungan kepada semua pihak.