Halaman

13 January 2012

Industri pasir silika buka laluan pelaburan berteknologi tinggi

Oleh; Esah Abdullah

TRG Industrial Minerals Sdn Bhd (TIM) akan mewujudkan Lembah Silika (Silica Valley) di negeri ini serta membuka laluan pelaburan dalam sektor perindustrian di Koridor Raya Pantai Timur (ECER).

“Projek silika ini dibangunkan dalam empat peringkat dan peringkat pertama adalah pembinaan industri lembah silika berteknologi tinggi,” kata Ketua Eksekuti Kumpulan TIM, Encik N.Surendren di majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) TIM dan Lembaga Tabung Amanah Terengganu di Primula Beach Resort semalam.

Katanya, projek pertama dan terbesar di Asia Tenggara ini menggunakan teknologi tinggi dan kepakaran rakan sekutu dari Jepun, India dan Perancis membuat anggaran keluaran kasar sebanyak 800,000 ton setahun.

Tambahnya, pada peringkat kedua TIM membuat tambahan nilai hasil silika diikuti pembinaan kilang sodium silicate dan pembinaan kilang cermin.

“Usaha ini direalisasikan hasil kerjasama kerajaan negeri yang menyediakan kawasan seluas 1,200 hektar di Setiu dan Marang dijangka mampu meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, projek ini juga akan membuka rangkaian perniagaan lain berkaitan industri pasir silika serta membantu meningkatkan taraf hidup ekonomi rakyat terutama yang tinggal di kawasan luar bandar.

MoU berkenaan disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail mewakili Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu manakala N. Surendren mewakili TIM.

Turut menyaksikan MoU berkenaan, Pengerusi Kumpulan TIM, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baharuddin dan Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Hadir sama rakan sekutu TIM, Sumitomo Corporation Asia dari Jepun iaitu Ketua Pegawai Operasi, Mr.Manabu Yamane dan Ketua Jabatan Mr. Akihisa Mino serta Mr. Ezhlilmani wakil SG India.