Halaman

11 January 2012

Minta PPNT bantu tarik pelancong

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri berharap Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) akan turut membantu kerajaan dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, YB Datuk Za’abar Mohd Adib, berkata dengan kerjasama semua pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) ia dapat meningkatkan industri pelancongan melalui pelbagai aktiviti dan tawaran pakej yang menarik.

“Jika mampu mempertingkat promosi mengenai produk dan tempat menarik di negeri ini, pastinya dapat memberi persepsi yang baik terhadap sektor pelancongan dan kerajaan mensasarkan pelancong domestik lebih ramai berkunjung dalam tahun ini,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap supaya lebih ramai pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Thailand, Brunei, Indonesia dan Filipina datang mengunjungi puluhan destinasi menarik yang terdapat di Terengganu.

“Jika pihak berkaitan bijak mengadakan promosi dan menghebahkan keindahan tentang negeri ini kepada pelancong luar, tidak mustahil sasaran yang dikehendaki itu akan tercapai,” katanya.