Halaman

14 January 2012

AUT dorong tingkat ekonomi- tokoh usahawan

Oleh: Aida Abd Rahman

“Saya rasa gembira dan bangga dengan anugerah tokoh usahawan yang julung kali saya terima ini. Dengan pengiktirafan ini menaikkan semangat untuk terus rajin dan berusaha memajukan perniagaan ini bagi meningkatkan ekonomi di Terengganu.

“Apabila berniaga kita kena berusaha bersungguh-sungguh dan jangan mudah putus asa apabila ditimpa masalah termasuk ketika berdepan dengan ekonomi yang meleset ,” kata penerima Anugerah Tokoh Usahawan, Chong Fah Ming di majlis Malam Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (11 Januari).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyampaikan hadiah kepada semua pemenang bagi sembilan kategori AUT yang menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah RM54,000 beserta piala, sijil penghargaan dan cenderahati sumbangan Nuriz Kosmetik.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik.

Perasaan gembira dan bangga dengan pengiktirafan itu turut dikongsi pengerusi MSET Engineering Corporation Sdn Bhd, Haji Hasnan Dato’ Abdullah, yang menerima anugerah bagi kategori perkilangan dan pembuatan.

“Saya bersyukur dengan anugerah ini. Ia menjadi perangsang dan pembakar semangat untuk terus bertindak sebagai peneraju yang mampu mengubah lanskap dan dimensi syarikat dengan lebih cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Azizah Omar pengusaha Zie Florist, di Jalan Air Putih, Kemaman, yang berjaya meraih anugerah peniaga dan penjaja kecil pula menyifatkan kemenangan itu sebagai satu suntikan semangat untuk terus melebarkan perniagaannya.

“Sebagai peniaga wanita dan Bumiputera saya sentiasa bersedia berdepan dengan persaingan dan jatuh bangun dalam perniagaan kerana itu semua menjadi rencah dan suatu pengalaman yang mampu mematangkan kita demi memajukan profesion kita,” katanya.