Halaman

09 January 2012

UMT usaha tambah pemegang PhD

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melangkah ke tahun baru bersama usaha ke arah pembangunan akademik khususnya meningkatkan bilangan pemegang PhD.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Aziz Deraman berkata, sistem sokongan calon-calon yang sedang bercuti belajar giat dipertingkatkan.

“Ini termasuklah memperkenalkan sistem e-CUBE yang memudahkan komunikasi calon dengan universiti dan penyelia mereka,” katanya.

Menurutnya, sistem mentor juga turut diperkenalkan untuk membolehkan calon mendapat nasihat pelbagai perkara daripada rakan di kampus yang berpengalaman menjalankan penyelidikan di peringkat ijazah PhD.

Dalam perkembangan lain, kerjasama dengan beberapa universiti di Eropah tahun lalu khususnya berkaitan dengan bidang kelautan telah diperbaharui di samping memeterai kerjasama baru dengan John Moore Universiti, Liverpool dalam bidang Maritim.

“Dalam lawatan yang sama persetujuan telah diperolehi dengan Keel Universiti untuk membolehkan seorang pakar dalam bidang kelautan dipinjamkan ke UMT,” katanya.