Oleh: Aida Abd Rahman
Komitmen tinggi terhadap kedai rangkaian T’Shoppe Durian Burung sehingga mampu menghasilkan pendapatan bulanan mencecah RM80,000 memberi tuah kepada pemilik kedai serbaneka itu, apabila diumumkan penerima Anugerah Khas Usahawan Flagship Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU)Terengganu sempena Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.
Pemiliknya yang juga pengurus Syarikat DB Asba Trading Sdn Bhd, Adibah Shairah Ahmad menerima RM3,000, piala, sijil penghargaan sdan barangan kosmetik yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.
Selain anugerah Khas Usahawan Flagship yang pertama kali diperkenalkan dalam AUT, lapan lagi anugerah turut dipertandingkan dengan menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah RM54,000 beserta piala, sijil penghargaan dan cenderahati sumbangan Nuriz Kosmetik kepada semua pemenang AUT kali ini.
Bagi kategori Tokoh Usahawan dimenangi Chong Fah Ming yang mengusahakan perniagaan dan berasaskan pemasangan produk alat tulis, kasut serta pakaian di bawah syarikat S.P. Chong Sdn Bhd, di Kawasan Perindustrian Gong Badak, Kuala Terengganu.
Fah Ming yang kini memiliki bangunan dan gudang sendiri, selain berupaya menawarkan 4,000 produk hasil perniagaan yang bermula sejak 1984 berjaya membawa pulang RM10,000 beserta piala, sijil penghargaan dan cenderahati sumbangan Nuriz Kosmetik.
Bagi kategori perkhidmatan dan perdagangan dimenangi MSET Engineering Corporation Sdn Bhd, MBM Dagang Sdn Bhd dan DSA Dynamics (M) Sdn Bhd dan DSA Dynamics (M) Sdn Bhd; kategori perkilangan dan pembuatan pula diraih TMM Engineering Services Sdn Bhd, PSM Academy (M) Berhad dan Lieos Technology Sdn Bhd.
Selain itu, dua wartawan, Adnan Mohamad dari Utusan Malaysia dan Majidah Ismail daripada RTM pula masing-masing berjaya membawa pulang RM2,500, piala dan sijil penghargaan menerusi kemenangan bagi kategori khas Media.
