Halaman

11 January 2012

Wanita sedia berubah

Oleh; Esah Abdullah



Golongan wanta hari ini semakin terbuka menerima perubahan dan menjadi penyumbang kedua terbesar dalam sektor ekonomi keluarga masing-masing.

“Kita dapat melihat keberanian wanita suri rumah dan mampu pelbagaikan kemahiran untuk menjana pendapatan sampingan,” kata Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Parlimen Setiu, Hajah Wan Maznah Nong.



Katanya, daripada maklum balas yang diterima, kebanyakan wanita termasuk ibu tunggal gigih mengusahakan perniagaan kecil-kecilan termasuk ambil upah menjahit pakaian, mengambil tempahan makanan serta menceburi bidang kecantikan.

Tambahnya, MPWK di bawah program 1Azam, sentiasa bersedia menghulur bantuan peralatan untuk memberi peluang wanita berdikari bagi menambah pendapatan keluarga.

“Mereka sudah bijak mengatur perbelanjaan keluarga serta tidak terlalu bergantung kepada pemberian suami semata-mata,” katanya di majlis Penyampaian Bantuan 1Azam Parlimen Setiu di Dewan Sivik Batu Rakit, semalam.

Seramai 47 suri rumah dan ibu tunggal menerima bantuan peralatan memulakan perniagaan masing-masing termasuklah dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri (17 orang), Batu Rakit (11 orang), Jabi (10 orang) dan Langkap (9 orang).

Beliau menegaskan pihak MPWK akan memantau dari semasa ke semasa aktiviti semua peserta yang berjaya menerima bantuan peralatan ini agar dapat menggunakan sebaik mungkin di samping mampu meningkatkan ekonomi keluarga.